Saturday, June 28, 2014

Penulis Yang Baik

Salam w.b.t.
        Setinggi-tinggi kesyukuran dirafa'kan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya dapatlah saya kembali bertinta di sini pada kali ini.Alahmdulillah.Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia , Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda yang telah banyak berkorban demi Islam tercinta.

       InsyaAllah sebenarnya entri kali ni nak bagi motivasi pada diri sendiri untuk siapkan buku saya.Al kisah , telah berlaku satu peristiwa yang amat ngeri bagi diri saya apabila penulisan saya yang bermuka hampir 30 muka surat hilang begitu sahaja.Hal ini disebabkan telah berlaku kerosakkan lappy beberapa bulan lalu. Bila dah hilang karya tu, terus hilang mood nak menulis ditambah lagi apabila kerja oncall di lab , memang tiada masa nak buat penulisan.

       Yang benarnya , cita-cita saya , sekurang-kurangnya ada sebuah buku yang dapat saya kongsikan dan hasilkan sebelum meninggalkan dunia ini buat muhasabah para pembaca.Saya sangat berharap , hobi untuk menulis tidak akan pudar meskipun saya akan menyambung kuliah saya In Shaa Allah selepas raya , juga meskipun saya sudah mendirikan rumah tangga.Malah walaupun hingga saya tua , saya berharap diberikan kekuatan untuk terus menulis.Itu memang impian saya.Menulis menenagkan saya. ;)

     Apabila sudah berumah tangga , saya akan didik anak-anak saya untuk mula menulis seawal muda usia mereka dan berdakwah melalui tulisan.Walaupun pengisian blog saya sebenarnya tidak berapa memberi informasi terkini , tapi itulah gaya penulisan yang mampu saya berikan buat para pembaca.Penulis yang terbaik bukan sahaja lahir dari bengkel penulisan semata, tetapi mereka yang mampu menghasilkan penulisan yang mampu membawa para pembaca kembali kepada Tuhan.Dan saya tahu kekuatan saya belum sampai tahap itu..huhu..masih untuk memperbanyakkan bacaan.


      Di sini izinkan saya quote kata-kata daripada blog myilham.com berkenaan nasihatnya tentang penulisan:

Saya seorang penulis. Alhamdulillah, Allah kurniakan sedikit bakat untuk menulis. Juga minat dan keinginan. Namun saya sering menegur dan mengingatkan diri sendiri ; betapa susahnya untuk menjadi seorang penulis yang baik
.
Ia cukup-cukup sukar.

Penulis yang baik, tidak lahir sekadar dari kursus-kursus dan bengkel-bengkel penulisan.
Penulis yang baik, tidak menjelma dari sekadar keindahan lakaran-lakaran sastera yang puitis.
Penulis yang baik, bukan penulis yang hanya mampu menulis.
Bahkan lebih dari itu, penulis yang baik sebenarnya adalah penulis yang mampu merawat hati-hati manusia.
Tulisannya, adalah ubat kepada hati yang membaca.

Dari mata, ia turun ke hati. Meresap jauh ke dalam sanubari, mengocak tasik keinsafan seterusnya mencetus keinginan dan tekad untuk melakukan perubahan dan penghijrahan. Dari gelap kepada terang. Dari maksiat kepada ibadat. Dari dikir kepada zikir.

Itulah penulis yang paling baik.

Begitu jugalah dengan seorang penceramah.
Ungkapan nasihat dari seorang murabbi berjiwa besar, Al-Fadhil Ustaz Subki Abdur Rahman sentiasa segar di pendengaran. ” Kata-kata dari hati yang tidak baik tidak akan mampu meresap dalam hati-hati yang mendengar “.

Saya menulis tentang cinta. Tentang soal hati. Tentang segala hal yang berkaitan dengannya, yang begitu rapat dengan dunia remaja dan anak muda.

Menulis tentangnya bukan mudah.
Silap tulis, berbicara tentang fitrah boleh menjadi fitnah.

” Banyak lagi benda lain yang perlu ditulis selain pasal cinta “
” Para pendakwah asyik cakap pasal cinta, bukan mendidik ummah ke arah agama “

Serta banyak lagi kritikan yang lain.
Saya menyambutnya dengan senyuman. Dengan jiwa besar. Kerana di awalnya lagi, telah saya pasakkan satu prinsip dalam menulis, khususnya tentang cinta dan hal yang berkaitan dengannya. Justeru segenap sudut pandang telah dinilai di peringkat permulaan.

Namun menyanggahnya sebagai ‘bahan tazkirah’ sudah tentulah suatu perbuatan yang sangat rugi.
Saya bersyukur kerana masih punya hati. Dan hati itu, Allah masih berikan ‘nyawa’ untuk terus hidup.
Lantas menggamit jiwa raga saya untuk merenung topik ini. Sesungguhnya bukan mudah untuk menjadi penulis yang baik.

Menulis tentang cinta contohnya.
Adakah sekadar untuk menambahkan ‘sampah sarap’ dalam otak para remaja?
Adakah sekadar ‘perisa tambahan’ untuk meningkatkan keobsesan para anak muda kepada kalimah cinta?
Atau adakah sekadar pelaris kepada judul-judul cinta-islami yang semakin mendapat tempat di pasaran?
Saya tegas menjawab tidak.
Saya pernah menukilkan satu masa dahulu. Menulis atas tajuk apa sekalipun, jika matlamatnya adalah untuk merawat hati manusia, ia adalah suatu dakwah yang susah. Tiada hamparan permaidani merah dan tiada laluan yang indah-indah.

Ia adalah kerja. Tanggungjawab. Kemestian.

Ada idea, ada bakat, ada kreativiti, ada minat, jika tidak disalurkan demi manfaat agama dan ummah, di akhirat kelak menjawablah di hadapan Allah Ta’ala.

Saya suka dengan tokoh motivasi seperti Ustaz Pahrol Md Juoi.
Bukan saya tidak kenal dengan tokoh-tokoh selainnya. Namun sentuhan dari Ustaz Pahrol, pada saya cukup berbeza.

Bahasa percakapannya ( penulisannya ) semuanya tepat mengena hati.
Zikir yang mencetus fikir. Fikir yang lahir daripada zikir.
Mengajak manusia mengenal Allah dan menjernihkan hati.
Seruan-seruan yang menjadi ubat kepada hati.
Sesungguhnya penulis yang baik bukanlah penulis yang hanya berbicara dengan otak pembacanya, jauh sekali dengan hawa nafsu dan keinginan pembaca semata-mata. Sebaliknya tintanya adalah penyembuh yang cukup berharga kepada hati-hati yang sedang sakit.

Kembali merenung, saya disapa kesayuan.
Situasi sukar menerima solusi yang dilontarkan, masih tidak faham-faham meskipun telah berulangkali dijelaskan, berdegil untuk melakukan perubahan dan masih berdolak dalik dengan sejuta alasan, semuanya sukar diatasi apabila penawar kepada hati gagal diberi.

Semuanya berpunca daripada kesempitan jiwa. Lebih malang, jika kesempitan jiwa itu puncanya dari pengabaian kepada peringatan-peringatan Allah. Sebagaimana Firman Allah Ta’ala :

Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya bagi dia kehidupan yang sempit, dan Kami akan membangkitkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta.
( Taaha : 124 )

Kita kepenatan bercakap dengan otak pesakit, akibat kegagalan kita menyuntik ‘roh’ ke dalam jiwa pesakit tersebut.

Saya sedar, di alam maya, saya bertemu dengan ramai pesakit.
Mereka boleh jadi sengaja datang atau tidak sengaja ‘terjumpa’ dengan saya. Namun pokok pangkalnya, mereka sedang mencari ubat dan penawar kepada penyakit masing-masing.
Saya menginsafi bahawa saya masih belum mampu menyediakan penawar yang terbaik kepada para pesakit tersebut.

Interaksi dengan hati, saya kira masih lemah.
Sekaligus menjadi cabaran terbesar untuk saya merealisasikan impian ke arah menjadi penulis yang baik.
Masih banyak yang perlu saya selami tentang selok belok jiwa manusia.
Tetapi sebelum itu, sudah tentulah jiwa penulis sendiri yang perlu diteroka.
Kekotoran dari jiwa penyampai, kesannya menghijab jiwa pendengar.
Penulisan juga begitu.

Saya mohon dijauhkan dari ujian yang tertimpa ke atas sebahagian penulis. Apabila mengira telah mendapat sedikit nama, kemuliaan dan sanjungan, maka terus merasa bangga, gembira dan tinggi lagaknya.
Sedangkan hakikatnya, kemuliaan itu hanya datang setelah Allah menutupi segenap keaiban yang kita ada.
Semoga Allah ampunkan dosa-dosa kita.
Semoga Allah berikan rahmat dan hidayah-Nya kepada kita semua.
Semoga setiap amalan baik yang kita lakukan mengundang belas kasihan dan maghfirah-Nya.

Menjadi penulis yang baik, ia bukan sekadar cita-cita.
Ia adalah bukti sebenar sebuah CINTA.

No comments:

Post a Comment

PerJaLaNaN HiDuP iNi

PerJaLaNaN HiDuP iNi
Dalam jauh sebuah perjalanan,Allah amanahkan sebuah perjuangan,terimalah dengan kekuatan,kadang-kadang sakit yang mendatang,kadang-kadang teman tak sehaluan,namun itulah ujian mencari iman yang teguh,moga terus bersabar di jalanNya

Muhasabah buat semua

"Walau jauh kita pergi, ingatlah kita pernah di tarbiah dan TARBIAH tidak akan berhenti dan berakhir . Walau sesibuk manapun kita, jangan kita lupa tanggungjawab MUSLIM yang pasti akan ditanya kelak.Walau sebebas manapun kita, jangan kita lupa kita adalah MAKHLUK yang pastinya adalah milik Allah".-peringatan juga buat diriku.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails