Friday, May 30, 2014

Rehlah KORESYAR Beliawanis Pembina UTHM



Salam w.b.t
         Setinggi-tinggi rasa syukur dirafa'kan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya dapatlah membuat sedikit perkongsian di sini.Alhamdulillah.Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda yang telah banyak berjasa sehingga tertumpahnya nikmat iman dan Islam ke dalam jiwa-jiwa yang mendambakan kasih sayangNya.

         Pada 30 Mei 2014 bersamaan 1 Syaaban 1435 H(Jumaat) , telah berlangsungnya satu lagi program menarik anjuran Beliawanis PEMBINA UTHM dengan kerjasama Pakej Rekreasi PEMBINA iaitu Rehlah KORESYAR di Hutan Lipur , Batu Pahat , Johor. Program pada kali ini  melibatkan hampir 40 orang bilangan peserta yang di terdiri daripada beliawanis PEMBINA UTHM , pelajar UTHM Parit Raja dan juga ahli PEMBINA yang balik bercuti di Batu Pahat. Alhamdulillah. Pemilihan tema bagi Rehlah KORESYAR , iaitu  "Kompas Rejab , Syaaban ,dan Ramadhan" sangat bersesuaian bagi memberi sedikit pencerahan kepada para peserta(mahasiswi UTHM)  khususnya yang akan menduduki peperiksaan  akhir pada bulan Sya'aban dan akan balik bercuti sehingga bulan Ramadhan.


        Tentatif pendakian bermula pada jam 09.30 pagi sehingga 10.30 pagi.Sesampainya di puncak bukit , kami membuat halaqah dan membaca surah Al-Kahfi bersama-sama. Sesudah bacaan , terdapat sedikit pengisian daripada Ukhti Nadia.Bagi sesi pengisian , Ukhti Nadia memberikan sedikit tip persiapan bagi menghadapi bulan Ramadhan yang akan tiba.Antaranya, perlunya persiapan yang rapi dari segi :
1)Ruhi
2)Ilmu 
3)Fizikal 
4)Material

Persiapan Ruhi 
Persiapan ruhiyah dapat dilakukan dengan melaksanakan banyak ibadah , seperti memperbanyak membaca Al-Qur’an , dzikir dan doa. Dalam hal mempersiapkan ruhiyah, Rasulullah SAW mencontohkan kepada umatnya dengan memperbanyak puasa di bulan Sya’ban, sebagaimana yang diriwayatkan ‘Aisyah r.a  berkata:


" Saya tidak melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasanya, kecuali di bulan Ramadhan. Dan saya tidak melihat dalam satu bulan yang lebih banyak puasanya kecuali pada bulan Sya’ban” 
(HR Muslim).


Persiapan Ilmu pengetahuan
Ilmu pengetahuan berkenaan sesuatu perkara perlu dipelajari dan difahami kerana ianya akan memberi keberkesanan dalam pelaksanaan menerusi amal yang berterusan.Begitu juga dengan ilmu tentang bulan Ramadhan , perlu dipelajari dan difahami agar kita tidak merasa rugi apabila Ramadhan telah pergi.

 Bulan Ramadhan  yang bakal dilalui  bukan sekadar untuk menahan diri  daripada lapar dan dahaga , tetapi menahan nafsu daripada melakukan perkara yang mendatangkan dosa. Sebab itulah , bulan ini dianggap sangat istimewa dan sangat dinanti-nantikan oleh hambaNya kerana mampu mendidik kita menjadi hambaNya yang bertaqwa.

Mengapa diwajibkan berpuasa?Boleh rujuk firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah , ayat 183 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa."




“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu adalah yang paling bertakwa.” 

(Al-Hujurat:13)

Demikian perintah Allah kepada kita agar melaksanakan ibadah berpuasa yang terangkum dalam Rukun Islam.Oleh itu, berhati-hatilah kita semua dengan etika berpuasa itu agar kita tidak tercicir ganjaran besar pahala sebagaimana yang dijanjikan Allah.

Persiapan Fizikal 
Persiapan fizikal ini melibatkan tubuh badan kita sama ada sudah bersedia atau tidak untuk berpuasa di bulan Ramadhan.Perkara yang boleh dilakukan ialah melatih diri berpuasa sunat bagi memastikan tiada kejutan semasa melaksanakan ibadah puasa,Banyak bersukan dan menjaga pemakanan juga penting untuk menghindarkan kita dijangkiti  pelbagai jenis penyakit yang boleh menghalang diri daripada melaksanakan ibadah puasa dengan sempurna.

Sebaik-baik muslim itu ialah apabila dia telah berjaya mempersiapkan fizikalnya selama 11 bulan sebagai bekalan menempuhi bulan Ramadhan.Hal ini kerana , apabila tibanya bulan Ramadhan , dia dapat beribadah dengan khusyuk tanpa sebarang halangan ketidakupayaan.

Persiapan Material
Persiapan material yang dimaksudkan di sini adalah persiapan keewangan ataupun harta milik kita yang boleh disumbangkan kepada mereka yang memerlukan.Bulan Ramadhan merupakan bulan muwasaah (bulan memberi sedekah). Memberi sedekah kepada orang lain walaupun diri sendiri tidak semampu mana, adalah amat digalakkan.

 Ganjaran pahala yang besar akan diberikan kepada orang yang tidak berkemampuan tetapi memberi sedekah kepada orang lain yang berpuasa walaupun ianya sekadar sebiji kurma, seteguk air atau sesudu mentega.Itulah qudwah yang pernah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW terhadap umatnya.

Sesi tilawah surah Al-Kahfi di puncak bukit di Hutan Lipur

Pada masa yang sama, kami PEMBINA mengucapkan 'bitttaufiq wannajah fil imtihan" kepada mahasiswi yang akan menduduki final tidak lama lagi.Semoga berjaya ;)

“Ilmu adalah alat. Meskipun ilmu itu baik, ia hanya alat, bukan tujuan. Oleh kerananya, ilmu harus diiringi adab, akhlak dan niat-niat yang shalih. Ilmu demikianlah yang dapat mengantarkan seseorang kepada ketinggian maqam ruhaniah.” 

(Habib Ahmad bin Hasan al-’Aththas)

       Selesai pengisian , beberapa game telah dilaksanakan yang melibatkan perlawanan di antara 4 kumpulan.Kami sampai ke bawah tepat jam 12.15 tengah hari. Setiap kumpulan memperolehi hadiah mengikut kategori yang telah dipertandingkan.Kami bergerak pulang tepat jam 2.00 petang.

       Sekali lagi, jutaan terima kasih diucapkan kepada AJK yang komited dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.Semoga usaha ini diberkati olehNya. InsyaAllah.Bertemu lagi pada program akan datang.



Tuesday, May 13, 2014

Kerana Aku Juga Saudaranya


Salam w.b.t
         Setinggi-tinggi kesyukuran dirafa'kan ke hadrat Ilahi kerana mengizinkan saya untuk menukilkan secebis rasa di teratak ini. Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda yang telah banyak menumpahkan rasa cinta  terhadap perjuangan dalam menegakkan agama tercinta ke benak jiwa yang mendamba kebenaran.

         InsyaAllah entri kali ini berkisar "Kerana Aku Juga Saudaranya" merupakan salah satu luahan rasa hati saya  mungkin seseorang yang tiada apa-apa kaitan hubungan kekeluargaan dengan Saudari Alifah , namun jauh di sudut hati ini bertapa saya sedar saya juga adalah saudara seIslam dengannya. Ternyata kenyataan beliau berhubung "Saya Cina dan Saya Ahli ISMA" banyak mengundang pelbagai kontroversi daripada pelbagai pihak.

       Di sisi sudut pandang yang berlainan , saya kagum dengan keberanian beliau  mengutarakan pendapatnya dalam kalangan umum. Isu mahu terima atau tidak itu terletak pada hak masing-masing yang menilai. Kalian diberi dua pilihan samaada mahu menilai dengan akal mahupun nafsu tanpa belas kasihan. Sekilas memandang atau menyoroti kenyataan beliau yang diterkam , secara tidak langsung memperlihatkan kebesaran kesabarannya yang mengatasi rasa marah manusia lainnya terhadap dirinya.

       Suka untuk saya berkongsi kepada sahabat pembaca berkenaan satu kisah yang terangkum di dalam surah al-Buruj yang menyentuh pembicaraan secara langsung peristiwa-peristiwa para pembesar yang menggali parit. Di zaman sebelum Islam, ada sekumpulan orang-orang mukmin , yang menurut satu pendapat , mereka adalah dari penganut-penganut Kristian yang berpegang dengan 'aqidah tauhid'. Mereka telah diseksa oleh musuh-musuh mereka yang kejam dan zalim.

      Mereka dipaksa meninggalkan aqidah tauhid dan agama yang dipegang mereka , tetapi mereka enggan dan tetap mempertahankan aqidah mereka. Lalu pembesar-pembesar yang zalim itu menggali sebuah parit yang besar dan menyalakan api di dalamnya.Kemudian mereka campakkan kumpulan orang-orang yang beriman itu ke dalam parit tersebut sehingga menyebabkan mereka mati terbakar.

     Pembunuhan ini dilaksanakan di khalayak ramai yang dikerah oleh pembesar-pembesar  berkuasa bagi memperlihatkan bertapa dahsyatnya hukuman bagi  mereka yang  ingkar dengan suruhan penguasa. Pembesar-pembesar itu begitu terhibur menyaksikan  pembakaran yang melibatkan kematian mereka yang tetap teguh dengan agamaNya.

      Di awal surah ini juga telah memberitahu kepada kita kemurkaan Allah terhadap para pembesar yang zalim itu.


"Demi langit yang mempunyai bintang-bintang yang besar. Dan demi hari (Qiamat) yang dijanjikan. Dan demi saksi dan yang disaksikan. Binasalah pembesar-pembesar yang menggali parit."
(Al-Buruj : 1-4)

        Pengajaran yang ingin dikhabarkan melalui kisah ini ialah bertapa hukuman yang diberikan ke atas  orang-orang beriman itu sebenarnya memperlihatkan lagi kebesaran aqidah yang mengatasi penindasan manusia , mengatasi api dan mengatasi hayat itu sendiri. Di sini juga membuktikan aqidah mereka yang menjulang ke puncak kemuliaan memberi kebanggaan kepada seluruh generasi manusia , di samping memperlihatkan kekejian pembunuhan yang dilakukan kepada mereka yang beriman.


         Seterusnya , izinkan saya membuat analogi yang benar berlaku di pentas ciptaanNya. Kisah yang ada sedikit kesamaan dengan kisah Saudari Alifah , dan ada sebab mengapa kisah ini berlaku.Tidak akan menyalanya bara jika tidak ada yang cuba mengapi-apikannya.

       Suatu ketika di dalam satu program yang kebanyakannya muslimah , tampil seorang wanita berbangsa India sebagai penceramah  menyentuh isu perkauman dan sensitiviti umat Islam.Beliau mengatakan , "Hukuman hudud di dalam quran itu sudah tidak relevan lagi pada zaman sekarang."

       Sedang mendengar ucapan beliau , melihat tiada tentangan terhadap kritikan beliau  walaupun dari fassilitator muslim sendiri , seorang muslimah yang merupakan salah seorang peserta program keluar ke hadapan semata-mata mahu membidas dengan cara baik  apa yang diperkatakan beliau. Peserta itu bukanlah dalam kalangan ustazah , tetapi sekadar merupakan pelajar biasa  yang ada di dalam dirinya kesedaran berkenaan hak-hak Islam yang perlu dipertahankan. Lantas , dewan menjadi senyap saat peserta itu menegur tindakan penceramah tersebut.

       Kesan daripada peristiwa tersebut , peserta itu diboikot , dihina dan dimaki sehingga membuatkannya sedih.Hasil keyakinan dan kebergantungan kepada Allah  , Alhamdulillah peserta itu mampu kembali menjalani kehidupan dengan luar biasa hingga ke hari ini. 

         Tanya kembali kepada diri, sudah sensitifkah kita dengan apa yang berlaku di pentas alam ciptaan Ilahi? Semoga perlakuan dan tingkah laku kita lebih baik daripada apa yang kita penakan di alam maya yang mungkin tidak diketahui siapa gerangannya. Kan qudwah teladan itu lebih berkesan daripada sekadar pada kata-kata dan pengucapan.

#InsyaAllah, kami sentiasa bersamamu Alifah#

PerJaLaNaN HiDuP iNi

PerJaLaNaN HiDuP iNi
Dalam jauh sebuah perjalanan,Allah amanahkan sebuah perjuangan,terimalah dengan kekuatan,kadang-kadang sakit yang mendatang,kadang-kadang teman tak sehaluan,namun itulah ujian mencari iman yang teguh,moga terus bersabar di jalanNya

Muhasabah buat semua

"Walau jauh kita pergi, ingatlah kita pernah di tarbiah dan TARBIAH tidak akan berhenti dan berakhir . Walau sesibuk manapun kita, jangan kita lupa tanggungjawab MUSLIM yang pasti akan ditanya kelak.Walau sebebas manapun kita, jangan kita lupa kita adalah MAKHLUK yang pastinya adalah milik Allah".-peringatan juga buat diriku.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails