Thursday, December 18, 2014

Ingat 5 Perkara


Salam w.b.t
      Setinggi-tinggi kesyukuran dirafa’kan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya dapatlah saya kembali bertinta di sini.Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda yang telah banyak berkorban sehingga tertumpahnya nikmat iman dan Islam di dalam diri kita hingga saat ini in shaa Allah.

       Doa saya semoga hari-hari yang kita lalui ini , walaupun perit , walaupun susah , walaupun payah , kita tetap mampu mengkondisikan ianya kembali dalam keadaan stabil.Hal ini kerana kita masih punya Allah SWT walaupun saat itu kita sudah tidak punya apa-apa. Percayalah semua ujian dan dugaan yang datang menimpa kita sebenarnya nak menguji sejauh mana kita bersangka baik dengan Allah SWT ketika Dia menguji kita sebagaimana kita mudah bersangka baik padaNya ketika mana kebaikan/rahmat/kemudahan itu dihadiahkan kepada kita.

       Semakin hari kuatnya derapan kaki menuju jalan dakwah ini , maka pada yang sama itulah kelihatan satu demi satu jiwa yang mudah futur , jiwa yang ingin menjauh dari jalan kebenaran yang pernah dibuktikan oleh Baginda Rasulullah SAW.Allahu , hingga saat ini mungkin perkara yang perlu dilakukan adalah kembali muhasabah dengan diri saya diri, bermonolog sendirian dan tanya mungkin saya ada buat salah sepanjang perjalanan ini.Saya pernah dengar seorang ustaz mengingatkan , keraplah menghitung dirimu kerana mungkin dakwah ini lambat tersebar disebabkan kamu.Ya Allah maafkan saya.

      In Shaa Allah , walau bagaimanapun saya tidak akan mengalah mahupun menyerah kerana itulah janji saya kepadaNya sejak hidayah itu menyinari lubuk hati yang keras dulunya.Juga seringkali apabila teringatkan arwah adik Hakim ,  saya akan menangis sendiri kerana terlalu merinduinya dan mengingati nasihatnya kepada saya iaitu , “Kak Ngah bersedialah dengan kebaikan saat sekarang , kerana kematian itu boleh berlaku bila-bila masa sahaja dan tidak tahu di mana.”

Hassan Al-Banna juga pernah mengatakan bahawa ,
 “ Jika Islam sebagai bangunan yang roboh , maka aku akan berjalan di seluruh pelusuk dunia mencari pemuda, aku tidak mahu ramainya mereka, tetapi apa yang aku mahu orang yang benar-benar ikhlas ingin membantuku membangunkan kembali bangunan itu menjadi bangunan yang tersergam indah.”



Setiap kita pasti mempunyai pengalaman menemui kesusahan sehingga mencapai tahap buntu menemui jalan penyelesaian , seperti kata Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin , yang mana Imam Ghazali menyuruh kita untuk mengingat 5 perkara apabila kita ditimpa kesusahan.

1. Kesusahan yang menimpa itu bukanlah kuasa yang menentukan kehidupan kita.Sebaliknya , kehidupan kita ditentukan oleh Allah SWT.Kesusahan dan dugaan itu tidak bermakna berbanding kuasa yang menentukan segalanya iaitu Allah SWT.

2. Kesusahan yang menimpa kita adalah kecil sahaja kerana ianya tidak bersangkut paut dengan agama.Bersyukurlah kerana walaupun berhadapan kesusahan , kita masih beriman. Kata Umar Ibnu Khattab , “Jika aku diuji dengan kepayahan dunia , aku bersyukur kerana ada 4 nikmat di dalamnya.Pertama , kesusahan itu tidak berkait dengan agama.Kedua , ia tidak besar jika mahu dibandingkan dengan ujian-ujian agama.Ketiga , dengan kesusahan itu aku mendapat RahmatNya .Keempat , aku berharap akan beroleh pahala daripadanya.”

3. Balasan di dunia adalah sangat kecil dan sementara berbanding dengan balasan pada hari kiamat.Kesusahan di dunia boleh diselesaikan dengan pelbagai cara , manakala hukuman di akhirat mutlak berdasarkan amalan kita dan amat berat.

4. Ujian kesusahan adalah antara ketetapan Allah SWT terhadap manusia dan tidak dapat dielakkan.Jika ditimpa kepayahan , bermakna sebahagian yang ditetapkan itu sudah berlalu. Ini bermakna masa kesenangan dan kegembiraan kian hampir.

5. Kesusahan di dunia adalah laluan yang membantu kita untuk mendapat kebahagiaan di akhirat. Ia ibarat ubat yang pahit yang menyuburkan kehidupan di akhirat kelak.

Kita perlu yakin bahawa di dalam setiap kesulitan , Allah SWT akan menghadiahkan kesenangan. Maka dengan itu , bersabarlah hingga ke akhir hidup kita bertemu dengannya.Kehidupan yang sebenar seorang hamba ialah kehidupan untuk mempertahankan agamaNya.Mohon dikuatkan langkah untuk meneruskan jalan ini dan berjuang sehingga hujung nyawa.

Sunday, November 30, 2014

Dan Kerana Allah, Bersabarlah(74:7)




Salam w.b.t.
        Setinggi-tinggi rasa kesyukuran dirafa'kan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya dapatlah saya kembali bertinta di sini.Alhamdulillah.Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia , Baginda Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda yang telah banyak berkorban sehingga tertumpahnya nikmat iman dan Islam ke dalam jiwa kita semua.


        Allahu Rabbi...menghitung hari semakin membuatkanku tersenyum sendirian membilang semakin dekat saya dengan exam final di UNISEL.Semoga siap segala persiapan sebelum kembali ke sana.In Shaa Allah.Ya Allah , semakin hari saya berusaha untuk mendapatkan ia , Kau terlebih dahulu menunjukkan yang mana terbaik untuk saya memilihnya. Dan saat ini hati saya tertutup untuknya. Berilah kekuatan kepada saya  untuk tabah dan redha dengan segala hakikat yang telah Kau berikan ke atas diri saya.Sungguh , melupakan ia adalah cara terbaik dan cita-cita untuk kembali kepangkuan Ilahi sentiasa tersemat di hati....kerana Dialah yang sebenar-benar kekasih hati.

        Benar bila berbicara soal jodoh bukan mudah.Pilihan di hadapan bermacam , tetapi bagaimanakah hubungan kita dengan Allah ketika ingin si pendamping menerima dengan ikhlas seadanya kita.Hingga akhirnya air mata menjadi taruhan.Cukuplah kepada Allah segala harapan disandarkan.

Saat ini peringatan daripada sahabat benar-benar diperlukan....terima kasih atas nasihatnya:

       =') Ukhti, bersangka baiklah dgn ujian yang Allah titipkan..Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk makhlukNya. Sedarlah, mungkin si dia pergi meninggalkanmu.Tapi Allah akan sntiasa kekal dan terus berada di sisimu.Gapailah cinta Allah. Nescaya, dengan izinNya, Dia akan mengurniakanmu jodoh yang jauh lebih baik..=)


"Cinta dan kasih sayang manusia itu hanyalah setitis jika nak dibandingkan dengan selautan cinta dan kasih sayang Allah. Sekiranya kamu kehilangan yang setitis itu, ia tidak akan menjejaskan kehidupanmu selagi yang selautan itu masih kamu miliki.." =) 

     Kamu sebenarnya tidak kehilangan apa-apa pun ukhti, kerana pada asalnya kita tidak pernah memiliki apa-apa..si dia milik Allah..Kita semua milik Allah. Memang Allah sengaja menemukan kita dengan orang yang salah supaya apabila kita bertemu jodoh yg sebenar masih ada rasa syukur kita pada ketentuanNya. 

      Bila tak ada jodoh bukan kerana dia tak baik untuk kamu atau sebaliknya. Tapi sebab dia memang tidak tertulis untuk kamu di Luh Mahfuz sejak azali lagi. Atau mungkin kerana makin dekat kamu dgn si dia, makin kamu menjauh dgn DIA.. 

      Paling penting, Allah itu Pemilik & Pencipta Cinta.. Jika cinta manusia yang kita inginkn, mohonlah kepada Penciptanya..moga dikurniakn jodoh yang terbaik buatmu. Semaikan kekuatan dalam dirimu dengan mengingati ALLAH. Pasti hati akan jdi lebih tenang. itu JanjiNya.! =)



“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.”
(Surah al-Ankabut :2-3)

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”
(Surah al-Baqarah : 216)

       Saat ini , saya ingin fokus kepada pelajaran , dan pada masa yang sama ingin menyibukkan diri dengan dakwah dan tarbiah.Mungkin masa ini saya perlu berusaha dengan gigih demi berbakti untuk agama.Jujur setelah penyerahan jiwa dan raga kepadaNya, saya tenang.Ya Allah , jika saya rebah , ingatkanlah saya akan janjiMu agar terhindar segala kegusaran hati.

Friday, November 21, 2014

Terima Kasih Ya Allah



Salam w.b.t
      Setinggi-tinggi rasa syukur dirafa'kan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya dan inayahNya dapatlah saya kembali bertinta di teratak ini.Alhamdulillah. Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda yang telah banyak berkorban demi menegakkan Islam tercinta.Harapan saya semoga kita tetap gagah mengahadapi kehidupan ini sebagai pejuang walaupun liku-liku di hadapan sukar untuk ditempuh.

      Peganglah kata-kata ini....dan semoga kita istiqamah dengannya.In Shaa Allah
1) Allahu ghayatuna (Allah adalah matlamat kami)
2) Ar-Rasulu qudwatuna (Rasulullah adalah ikutan kami)
3) Al-Qur’anu dusturuna (al-Quran adalah perlembagaan kami)
4) Al-jihadu sabeeluna (Jihad adalah jalan juang kami)
5) Wal-mautu fi  sabeelillahi asma amania(Mati syahid di jalan Allah adalah cita-cita tertinggi kami)

       Terus kepada pengisian singkat hari ini.Sebenarnya saat ini saya berada di Unisel Shah Alam dan baru sahaja selesai menduduki test Anatomy dan Technical English. Alhamdulillah.Doakan saya semoga kejayaan itu milik saya dan teman-teman seperjuangan.Semalam perjalanan saya ke sini seawal 2.00 pagi sampai di Unisel begitu menguji saya dan sahabat saya , Ain.Yelah mana taknya saya dan dia hampir banyak kali berhenti di R&R disebabkan terlalu mengantuk. Walaupun bertukar-tukar pemandu , perjalanan menjadi lebih lama disebabkan banyak kali berhenti dan tidur sebentar. 

        Seketika di R&R , kami lena sebentar dan apabila tersedar saya melihat sahabat saya , Ain disebelah saya . Ain masih lena dan wajahnya kelihatan penat sekali. Allahu Rabbi. Hati saya rasa tersentuh seketika kerana hingga saat ini dia masih bersama-sama saya , sanggup ulang alik dari Johor ke Shah Alam setiap minggu untuk menuntut ilmu ini.Untuk pengetahuan pembaca , kami bertugas di tempat yang berbeza.Ain di KK Kluang , manakala saya di Hospital Batu Pahat.Janji dan tekad kami, semoga kami dapat menghabiskan ijazah ini dengan jayanya walaupun penat dan payahnya terasa.

        Rutin kehidupan apabila menjadi seorang pelajar dan pada masa yang sama berkerja menjadi lebih padat dan bermakna.Benar , dan sungguh tidak ada masa yang berpeluang digunakan kerana setiap saat itu saya sudah set untuk melaksanakan perkara yang sepatutnya.Kerjaya , meeting Kelab Patologi , PIC Latihan Staff Patologi , usrah dan program-program bermanfaat ini semuanya banyak mendidik saya.Satu perkara yang berharga buat diri saya ialah ukhwah sesama akhwat =) Jujur saya sangat cintakan mereka.

kejutan dari adik-adik PEMBINA UTHM.saya tidak jangka perkara ini terjadi.Tetapi itulah cerita sebenarnya...ianya terjadi.Terima kasih akhwat.

        Pada tanggal 15 November yang lepas, Alhamdulillah Allah swt memberi izin dan peluangNya kepada saya untuk meneruskan perjuangan kehidupan di buminya dan pada masa yang sama beberapa ucapan daripada sahabat diterima di fb , what ap , telegram dan sebagainya.Ketika itu rasa kekurangan sesuatu kerana hanya sekumpulan adik usrah tidak seorang pun wish my birthday ketika itu.Hati berfikir positif , mungkin mereka lupa.

       Pada 17 November saya telah berusrah bersama mereka dan satu kejutan telah beraku. Selesai sahaja usrah , azan magrib berkumandang dan saya meminta untuk berbuka puasa air kosong di rumah mereka. Saat diri bingkas bangun mahu ke arah dapur , tangan dan badan disekat untuk tidak ke dapur....alasan mereka dapur mereka kotor.Saya pelik pun ada ketika itu.Ternyata hati mengatakan pasti akan berlaku sesuatu.Perkara apa , tidak tahu.

       Selepas meneguk segelas air kosong , maka keluarlah akhwat yang saya cintai dari dapur membawa kek diiringi lagu 'Allah Selamatkan Kamu'.Huhu...seriously saya rasa nak menangis ketika itu.Rupa-rupanya mereka dah merancang untuk tidak wish birthday ketika itu.

Bagaimana lagi mahu meluah rasa hati
Semakin hari aku merasakan eratnya cinta Ilahi
Dekatnya ukhwah yang ikhlas itu dirasai
Bukan ditokok tambah dengan mawar berduri
Tetapi disulam dengan ketenangan yang abadi


Di sini aku mengorak langkah
Dengan berani kepada Allah diri berserah
Puji syukur kepadaNya dipersembah
Tanda aku sebenarnya hamba yang lemah

Jika boleh ku hitung nikmat Yang Maha Esa
Sesungguhnya tidak terhitung jumlah yang sebenarnya
Dikurniakan ibu bapa yang memahami ketiadaan anaknya di rumah kerana keluar  berdakwah
Walaupun jujurnya mereka bukanlah seorang ikhwah mahupun seorang akhwat yang pernah merasa sentuhan tarbiyah
Ketika terpacul bicara di mulut mereka...ya Ayah dan Ummi redha....
Apalagi yang aku inginkan melainkan ku doakan lindungi ibu bapaku dan 
tempatkanlah mereka di syurga.

Sahabat yang baik juga merupakan nikmat yang indah
Saling membantu ketika penat dan lelah
Rela berkorban harta , masa dan nyawa
Demi melihat genarasi Rabbani tercetak dengan tangan si pengongcang dunia

Wallaualam.

Sahabat andai aku pergi menghadap Yang Maha Esa, gunakanlah segala pengalaman kita bersama untuk membangunkan ummah.


"Sahabatku jika hari ini aku terlalu gembira , sedarkanlah aku dengan amaran Allah.Jika hari ini aku bersedih tanpa kata , pujuklah aku dengan tarbiyah Pencipta.Jika esok ku lena tanpa jaga, iringilah dengan doa Al-Fatihah."

Saturday, August 23, 2014

Bagaimana dengan Usrah Kita?

Salam w.b.t
Setinggi-tinggi kesyukuran dirafa’kan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izinNya dapatlah saya kembali bertinta di teratak ini.Alhamdulillah.Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda yang telah banyak berkorban jiwa , raga dan harta demi memastikan kelestarian Islam dirasai hingga saat ini.

Semalam 22 Ogos 2014, hari Jumaat merupakan hari berkabung rakyat Malaysia bagi mengingati mangsa nahas MH17. Semoga kita memahami berkabung yang dimaksudkan sehingga tidak terikut-ikut dengan upacara agama lain. Doa saya , semoga keluarga mangsa diberi kekuatan dan kesabaran oleh Ilahi bagi menghadapi ujian yang sangat getir ini. Sesekali melihat isteri dan anak yang kehilangan suami , si kecil yang kehilangan ibu , si ibu yang kehilangan anak tercinta membuatkan diri ini perlu rasa insaf dan bersyukur dengan segala kurniaan Tuhan kepada diri ini.

Jika berada di situasi tersebut , mampukah kita bersabar seperti mereka.Allah menetapkan cerita itu terhadap mereka, terhadap keluarga mereka , kerana Allah yakin mereka mampu menghadapinya. Wahai diri! wahai anak muda ! Tidak cukupkah bukti Kekuasaan Allah yang dipertontonkan kepada kita selama ini! Moga kita semua insaf dengan segala kelalaian kita semasa di dunia. Berubahlah dan teruskan bertaubat kepadaNya lantaran dosa-dosa besar dan kecil yang pernah kita lakukan sedari kelahiran kita di dunia.

Tajuk entri pada kali ini , “Bagaimana dengan usrah kita?”

Ya Allah mungkin hamba terlalu lemah untuk melaksanakan janjiku padaMu,
Tetapi hamba cuba Ya Allah dengan segala kudrat yang mampu hamba berikan di dalam dakwah ini.

Bulan lepas , Alhamdulillah dengan rasa syukur , Allah telah memilih saya untuk menyambung pengajian di UNISEL di dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Makmal Perubatan. Apabila sambung belajar di dalam degree ini, biasalah ramai yang bertanya. Dahulu ,saya sebenarnya merupakan pelajar Diploma dan apabila dah bekerja berhajat untuk menyambung pengajian pada masa yang sama.Jadi sekarang , bertambahlah jadual kehidupan saya , dan makin bertambahlah tanggungjawab saya.Ya Allah jika boleh di listkan , boleh jadi saya menangis memikirkan banyaknya amanah yang perlu dipikul nanti.Memikirkan amanah itu satu hal, melaksanakannya dengan baik juga satu hal. Adakah segala amalan ini akan diterima olehNya.Y a Allah berilah hambaMu ini kekuatan.

Setelah diteliti , 4 skop perlu diambil berat:

1)Dakwah – Seminggu 3 hari perlu diperuntukkan untuk hadir usrah dan beri usrah + Jawatan…

2)Belajar – Jumaat , Sabtu dan Ahad perlu ke UNISEL , Shah Alam untuk belajar pjj.

3)Kerjaya – Bertanggungjawab sebagai S/U Kelab Patologi , S/U Latihan Staff Patologi, S/U Biro Informasi & Multimedia , S/U Penerapan Nilai-nilai Murni.

4)Keluarga – Perlu pastikan kebajikan keluarga terjaga juga memikirkan plan akan datang untuk berkeluarga.

Minggu lepas juga , saya menerima beberapa ucapan tahniah daripada teman-teman di atas peluang untuk saya menyambung pengajian ini diqabulkan Tuhan.Dan di dalam banyak-banyak ucapan itu , perkara yang membuatkan saya menangis dan sedih ialah apabila adik-adik usrah dan kakak-kakak usrah bertanya :

“Kak Ummu , nanti bila dah sambung belajar mesti busy.Macamana pula dengan usrah kita kak?”



“Ummu tahniah dapat sambung belajar.Macamana dengan usrah kita?Ummu mesti penat nanti.”


Benarlah dikatakan dakwah ini memerlukan nafas yang panjang.Perjalanannya yang panjang memerlukan kita menyediakan bekalan yang cukup di sepanjang laluannya.Hanya kepada Tuhan segala rasa hati diluahkan.Tuhan berikan aku kekuatan. ;(

Pernah suatu ketika saya meminta pandangan sahabat saya berkenaan kekusutan yang dihadapi ini , maka beliau mencadangkan saya melepaskan semua amanah ini kepada orang lain.Huhu berkata memang mudah .

Dan jika perkara ini diberitahu kepada rakyat Palestin, dengan kita memberi mereka pilihan untuk keluar dari tanah air milik mereka.Saya amat yakin mereka tidak akan keluar dari tanah yang banyak meragut nyawa keluarga dan saudara mereka.Hal ini kerana semangat intifadah yang mereka miliki membuatkan mereka bertekad untuk terus berjuang sehingga ketitisan darah yang terakhir.Mereka sendiri yang akan berjuang membebaskan tanah air mereka.Bila bercakap tentang rakyat Palestin , saya jadi malu. 

Tekad saya , saya akan terus bergerak dengan bimbingan nikmat kehidupan milik Allah ini sehingga kematian saya nanti. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya.
Jika mahu dibandingkan dengan tentera Al-Qassam , ujian saya teralu sedikit.
Ingin mencontohi mereka…
Mereka bukan sahaja cemerlang di dunia, tetapi cemerlang di akhirat!!!

Seseorang berkata padaku:

‘ Ujian di zaman kita ini adalah: untuk tetap istiqamah, bilamana daurah dan usrah yang kita dapat, sudah tidak lagi meningkatkan kita.’

Sambungnya lagi:


‘ cuba kita lihat, pakcik makcik kita terdahulu. Macam mana mereka boleh tsabat, walaupun bertahun-tahun tarbiyah mereka stagnant dan mendatar. Cuba bayangkan, camne mereka boleh tetap istiqamah di atas jalan ini?’


Dan aku tergamam dan bungkam mendengar taujih itu.

Kerana itu, akal harus digunakan dengan sebaiknya, untuk memadukan kefahaman dalam tarbiyah kepada kehidupan. Akal perlu digunakan untuk menterjemahkan bahan-bahan usrah, pada realiti umat.

Kerana itu kita temui satu formula baru…

Tafsir –>harus menanamkan aqidah yang mengakar kuat umbinya di hati kita , seterusnya menggerakkan kita.

Hadis–>  menjadi bekalan akhlak dan juga ibadah yang seterusnya menggerakkan kita menjadi daie yang sejahtera akhlaknya.

Begitulah seterusnya.

Bekalan dakwah–> perlu menggerakkan.

Ilmu–>perlu ditanamkan menjadi fikrah yang mengharakahkan ( menggerakkan)

Dan segalanya bermula dari diri kita sendiri.

Kita yang mencari solusi.


Kita yang mengubati kelemahan diri kita sendiri.

Wednesday, August 6, 2014

Kemenangan Itu Semakin Dekat!!!


Salam w.b.t.
Setinggi-tinggi kesyukuran dirafa'kan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya dapatlah kembali bertinta di sini.Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda yang telah banyak berkorban demi Islam tercinta.Keseriusannya berjuang dan berjihad dapat dirasai hingga saat ini seperti yang telah dipertontonkan oleh tentera Al-Qassam di Palestin.

Subhanallah....
Alhamdulillah....
Allahuakbar!!!!!!.........

GENERASI AL-QASSAM ITU PERINDU SYAHID SEBENAR

Sebagaimana yang kita maklum , jika di Britain mempunyai tenteranya yang digelar SAS (British Special Air Service) , Amerika pula dengan tenteranya yang bergelar  Navy Seals , dan Israel dengan Shayetet 13 , tidak terkecuali Palestin juga mempunyai penggempurnya yang hebat iaitu Bridge Al-Qassam yang amat digeruni oleh rejim Zionis. 

Al-Qassam ini merupakan tentera yang dikenali sayap tentera Hamas yang sememangnya dipelopori oleh pejuang-pejuang Palestin yang hebat semangat jihadnya , iaitu antaranya seperti  Syeikh Ahmed Yasin, Dr. Ibrahim Al-Maqadema dan Syeikh Salah Shehada pada tahun 1984.

Sahabatku....
Sedarlah saudara kita di sana telah membuktikan jihad mereka yang sebenarnya dalam mempertahankan agama mereka,
Mereka tidak gentar...
Mereka tidak risau tentang dunia ini lagi....
malah mereka sudah lali dengan penindasan yang kerap kali dihadiahkan kepada mereka..
Semakin mereka di kecam , semakin tinggi semangat mereka untuk kembali menuntut hak dan mempertahankan Palestin tercinta....

Cita-cita mereka jelas , 
Akhirat kini di hati dan bukan sekadar di mulut dan tangan ,
Syahid sentiasa dinanti dan bukan material duniawi yang menjadi pilihan ,
Generasi yang dilahirkan bukan disediakan dengan kemewahan dan hiburan dunia ,
tetapi generasi yang lahir telah di wakafkan demi tertegaknya kembali agama di bumi Palestina...

Mari kita bersama-sama mereka....
Bersama-sama berubah ke arah kebaikan dan kesatuan untuk manfaat ummah tercinta...
Saat ini sudah tidak ada masa main-main dengan kehidupan ini...
Perlu lebih fokus dan lebih serius sahabat!!!

Yakinlah kemenangan itu semakin mendekat.....
Tinggal diri sendiri sama ada mahu mendekati mereka ataupun menolak dari mencontohi ketaatan mereka kepada yang Maha Pencipta....
Jadi janganlah lalai dan leka terlalu banyak lagi sahabatku...
Kerana kita sudah tidak punyai masa lagi....
Mulakan perubahan itu sekarang, bukan nanti , esok , lusa ataupun tahun hadapan...

Fikirkanlah , jika team Bridge Al-Qassam menyatakan pendirian mereka untuk tidak berubah, main-main dan tidak kembali meletakkan matlamatnya yang utama kepada Allah SWT , pasti tiada terlahirnya pejuang-pejuang yang rela menginfakkan diri mereka demi syahid di jalan menuju Ilahi seperti saat ini.Allahu.


SYARAT UTAMA KEANGGOTAAN SEBELUM DIPILIH MENYERTAI AL-QASSAM

[1] Mesti menjaga solat 5 waktu secara berjemaah.
[2] Kuat mengamalkan sunnah Rasulullah SAW.
[3] Gigih berpegang dengan ajaran Islam.
[4] Mengimani perjuangan pembebasan al-Aqsa dan Palestin.
[5] Berdisiplin dan mentaati amir.

[6] Mencintai dan bersedia untuk syahid.


Palestin sedang mengajar kita


Palestin yang sedang ditindas, diinjak dan dirobek oleh musuh-musuh kita, sebenarnya sedang berbicara dengan kita, menyuruh agar kita melihat dan belajar bagaimana erti tidak menyerah kalah atau tunduk hina.


1) Allahu ghayatuna (Allah adalah matlamat kami)
2) Ar-Rasulu qudwatuna (Rasulullah adalah ikutan kami)
3) Al-Qur’anu dusturuna (al-Quran adalah perlembagaan kami)
4) Al-jihadu sabeeluna (Jihad adalah jalan juang kami)
5) Wal-mautu fi  sabeelillahi asma amania(Mati syahid di jalan Allah adalah cita-cita tertinggi kami)

Monday, July 28, 2014

Kesyukuran Menjelang Lebaran


Salam w.b.t

      Setinggi-tinggi kesyukuran dirafa’kan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnianya dapatlah kembali bertinta di teratak ini. Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia , Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda yang telah banyak mengajar erti kesabaran dan pengorbanan demi meraih cinta dan redha Tuhan.

      Sekali lagi dilafazkan rasa syukur kerana kita semua diberi peluang bertemu dengan bulan Ramadhan yang mulia dan bulan Syawal bagi meraikan kemenangan sepanjang bulan Ramadhan yang telah pergi meninggalkan kita.Harapannya , walaupun Ramadhan telah pergi , moga-moga hati kita sentiasa merinduinya.Berdoalah semoga kita semua diberi lagi peluang untuk bertemu dengan Ramadhan yang akan datang untuk merasa nikmat ketaqwaan hanya kepada Dia.Hal ini kerana nikmat kesihatan ini , kita tidak tahu akan berakhir bila sahabatku. 

        Alhamdulillah sekiranya peluang kehidupan yang panjang masih diberikan kepada kita.Tetapi sekiranya tidak sampai ke Ramadhan yang seterusnya , harapannya semoga Ramadhan kali ini adalah merupakan Ramadhan yang terbaik buat kita semua.
Dikesempatan ini , kami seisi keluarga mengucapkan Selamat Eidul Fitri , Takaballahu minna waminkum , semoga Allah SWT menerima semua amalan kita.Di bulan yang mulia ini , laksanakanlah amalan ziarah-menziarahi sanak saudara , rakan dan taulan , bersama memohon kemaafan , memberi hadiah sebagai tanda ukhwah dan juga bersedekah.

        Untuk Eidul fitri pada tahun ini agak meriah kerana beraya bersama ipar dan anak sedara saya iaitu adik Humairah. Kehadirannya merupakan kegembiraan buat kami sekeluarga.

        Pagi tadi selepas bersarapan , kami menziarahi kubur arwah adik….dan ternyata kunjungan ke pusara adik menyentap aksi kami.Dari jauh sudah kelihatan ibu bapa dan keluarga arwah kawan arwah adik menyiram air ke pusara arwah adik. Kami sekeluarga memahami bahawa rasa sayang mereka terhadap adik memang tidak boleh disangkal lagi.

       Mana tidaknya , selepas beberapa hari arwah adik meninggal  , 2 orang anaknya(kembar)  yang sebaya dengan arwah adik juga turut meninggal disebabkan koma selepas terlibat di dalam kemalangan.Benarlah kuasa Allah SWT , berhak ke atasNya untuk mengambil kembali nyawa sesiapa yang dikehendakiNya.

 “Ibu , adik nak siram kubur kawan arwah abang tau.”

Itulah ayat yang akan didengar oleh anak-anak kecil, kawan kepada arwah adik.
Hati sentiasa terdetik kebaikan berupa apakah yang dilakukan oleh arwah adik saya sehingga orang sekeliling menyebut namanya walaupun hampir 3 tahun pemergiannya. Moga-moga Allah SWT merahmati arwah adik dan menempatkan mereka dalam kalangan mereka yang beriman.
*************************************

       Sebelum berundur diri, perlu diingat sambutan Aidilfitri itu mesti dilakukan dalam kerangka syariat Islam. Umat Islam perlu mengikut lunas-lunas akhlak dan syariat Islam. Rasa kehambaan dan ketakwaan yang dibina di bulan Ramadan itu jangan dicemarkan dengan perbuatan dan amalan-amalan yang boleh merosakkan kembali ketakwaan kita kepada Allah SWT.
 
      Aidilfitri bukanlah hari untuk kita melampiaskan kembali hawa nafsu sekehendak hati. Kegembiraan ini mestilah dizahirkan dengan membesarkan Allah dengan takbir (Allahu akhbar), tahmid (Alhamdulillah) dan taqdis (Subhanallah). Bertakbir pada 1 Syawal adalah amalan yang disyariatkan dan ia bermula ketika terlihatnya anak bulan dan berakhir setelah iman selesai berkhutbah solat Aidilfitri.

       Apa yang penting ialah sambut Aidilfitri mestilah disambut dalam kerangka syariat Islam supaya nilai ketakwaan kita tidak tercemar dengan amalan-amalan yang menyalahi syariat. Sewajarnyalah, kesan ibadah puasa dapat membangun dan menyuburkan nilai-nilai terpuji dalam diri kita sepanjang hayat. “Allahu Akhbar, Allahu Akhbar, Allahu Akhbar Walillahil Hamd”.

Saturday, July 19, 2014

Program Aman Palestin di sekolah Batu Pahat


                                                                   Salam w.b.t
       Setinggi-tinggi rasa syukur dirafa'kan ke hadrat Allah SWT kerana dengan kasih sayangNya dapatlah saya kembali menukilkan secebis rasa di sini.Alhamdulillah. Selawat dan salam  ke atas Junjungan Mulia , Rasulullah SAW , ahli keluarga dan para sahabat Baginda yang telah banyak berkorban jiwa raga demi mempertahankan agama Islam tercinta.

      Alhamdulillah pada Rabu lepas , 16 Julai 2014 telah berlangsungnya Program Aman Palestin di sekolah-sekolah di Batu Pahat. Program yang diadakan dengan kerjasama PEMBINA(Persatuan Belia Islam Nasional) nampaknya menarik hati pelajar-pelajar sekolah menengah ini untuk lebih cakna isu Palestin. Sebanyak dua buah sekolah terpilih diadakan program Aman Palestin ini , iaitu SMA Tarbiyah Islamiah dan SMK Tun Aminah.

Dengan tajuknya :Palestin Berdarah , Di Manakah Solehudinnya?

Teringat pesan Imam Gaza yang turut bersama-sama kami di dalam misi ini , Imam Ahmad Rami , katanya :

" Rakyat Malaysia , jangan lupakan kami di Gaza , teruskan berdoa."

Apabila adik-adik bertanya :

"Akak dah pernah pergi Palestin ke?"

Jawapan:

"Belum lagi , tetapi cita-cita itu sentiasa ada.Dik , sebenarnya banyak cara yang boleh kita lakukan untuk bantu rakyat Palestin. Mengingati mereka di dalam doa setiap kali selepas solat , menyumbang wang kepada mereka , menyebarkan informasi terkini berkenaan Palestin , dan yang paling penting diri kita sendiri berusaha untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.Hidup perlu ada matlamat. Apabila ada matlamat yang jelas , kita tidak akan main-main dengan kehidupan ini.Macam di Palestin , saat negara mereka diserang bertubi-tubi oleh Zionis , wujudnya dalam diri mereka semangat intifadah(kebangkitan) untuk mempertahankan tanah air mereka.Hebatnya fasa intifadah ini digunakan untuk membersihkan masyarakat Palestin daripada penyakit-penyakit sosial yang turut menyerang masyarakat mereka.Mereka kini semakin menginsafi situasi sebenar yang menimpa mereka dan kini lebih gigih bekerja demi survival umat serta kedaulatan bumi Palestin."

Seketika teringat kembali kata-kata Solehudin Al-Ayyubi yang pernah membebaskan Masjid Al-Aqsa suatu ketika dahulu.Ada dalam kalangan sahabatnya bertanya kenapa Solehuddin sangat serius , tidak banyak ketawa.

Lalu beliau dengan yakin menjawab :
"Bagaimana aku ingin ketawa sedangkan Masjid Al-Aqsa masih ditawan oleh musuh!!"

In Shaa Allah selepas ini PEMBINA & Aman Palestin akan berprogram di MRSM BP...Nantikan kehadiran kami di tempat anda ;)

Maaf entri kali ini simple sahaja.Di bawah ini saya kongsikan beberapa gambar semasa program kami yang diadakan di sekolah-sekolah di Batu Pahat.

Program Aman Palestin di SMK Tun Aminah. Imam Gaza , Imam Ahmad Rami turut hadir bersama-sama semasa program ini.

Program Aman Palestin di SMA Tarbiyah Islamiah

Bersama-sama adik-adik junior di SMK Tun Aminah

Alhamdulillah diberi kesempatan bergambar dengan Imam Gaza , Imam Ahmad Rami

*Tidak sabar-sabar mahu sambung belajar di Selangor.Semoga Allah redha.Cukuplah Allah SWT untukku.

Tuesday, July 8, 2014

Maksimumkan Ketabahanmu Wahai Murobbi


                                                                   Salam w.b.t
       Setinggi-tinggi rasa syukur dirafa'kan ke hadrat Allah SWT kerana dengan kasih sayangNya dapatlah saya kembali menukilkan secebis rasa di sini.Alhamdulillah. Selawat dan salam  ke atas Junjungan Mulia , Rasulullah SAW , ahli keluarga dan para sahabat Baginda yang telah banyak berkorban demi mempertahankan  daulah Islam tertegak di bumi Malaysia.

      In Shaa Allah untuk entri kali ini bertajuk "Maksimumkan Ketabahanmu Wahai Murobbi." Di kala kekencangan dakwah mula berkobar , maka terpaculah kalam taat setia seorang pendakwah untuk setia berkorban jiwa , raga , harta , masa dan keluarga demi Islam tercinta.

      Kisah ini mungkin benar berlaku....semoga dirinya tabah menghadapi liku-liku kehidupan sebagai seorang hamba Allah , seorang pendakwah , seorang pemimpin, seorang pelajar dan juga seorang anak kepada ayahanda dan bondanya.

      Dia tidak meminta begini , ternyata jika dia diberi pilihan sama ada untuk meneruskan usaha dakwah ataupun meninggalkan dakwahnya begitu sahaja , saya benar-benar yakin dia akan thabat di jalan dakwah ini kerana kecintaanNya kepada Yang Maha Pencipta dan juga janjinya ingin hidup dan mati di jalan dakwah dan tarbiah ini.MasyaAllah.

     Di sisi lain , dia memahami untuk meninggalkan sesuatu kebaikan sememangnya mudah , tetapi untuk membentuk dan membina mahligai kebaikan bukan suatu yang mudah.Jika mudahlah manusia itu nak berbuat kebaikan , pasti jauh sekali dunia ini dari pelbagai ragam kerakusan.Tapi tabiatnya sifatnya manusia bukan begitu kerana di kiri dan kanan jasad manusia itu sentiasa bertarungnya antara akal dan nafsu.

      Bertapa hebatnya Allah SWT yang menciptakan hambaNya untuk menjadikan manusia itu sendiri sebagai khalifah di bumi ini.Kenapa  diamanahkan bumi ini untuk manusia ? boleh rujuk surah Al-Baqarah ayat ke 30.Ketahuilah bahawa Pencipta itu berhak ke atas makhluk ciptaanNya.


“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”. Mereka berkata: “Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”. 
(Al Baqarah: 30) 

       Selain itu , Allah SWT berfirman  di dalam surah Al- Ahzab ayat ke 72 bagi menunjukkan bahawa tugas untuk memikul amanah sebagai penyebar risalah Islam pernah ditawarkan kepada langit , bumi dan gunung-gunung , tetapi mereka semua enggan kerana khuatir akan mengkhianatinya amanah yang telah termetri antaranya dengan Allah SWT.

 "Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh," 
(Al-Ahzab: 72)

       Doa saya semoga kitalah pemimpin yang tabah itu , kitalah murobbi yang kental itu.Kita terlalu bertuah  terpilih memikul tugas dan tanggungjawab ini.Ganjaran yang sangat besar bagi mereka yang sabar dan rela berkorban demi agama Allah SWT seperti yang telah dipertontonkan seperti para sahabat dahulu , iaitu tidak lain dan tidak bukan adalah syurga Allah SWT. Syurga yang sangat indah di mana terdapatnya sungai-sungai berwarna-warni yang mengalir beserta nikmat-nikmat yang lain hasil keimanan dan amalan kebaikan yang dilakukan sepanjang hidup di dunia.


Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahwa bagi mereka disediakan surga-surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezki buah-buahan dalam surga-surga itu, mereka mengatakan : "Inilah yang pernah diberikan kepada Kami dahulu." mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya.
(Al-Baqarah:25)




       Seorang murobbi yang berjiwa besar , tidak akan mudah melihat paparan kehidupan mereka sebagai satu musibah , tetapi akan berusaha memandangnya dari sudut yang terindah.Bicaranya , bicara zikir , manakala diamnya pula diam kerana berfikir.Dia tidak akan mudah melatah apabila kekusutan datang menimpa , tetapi dia akan gagah mengharungi setiap satu ujian itu dengan penuh pengantungan harapannya kepada Allah SWT.

      Murobbi yang baik akan sentiasa beriltizam untuk menunjukkan qudwah yang baik kepada mutarabbinya. Di dalam solatnya , ingatan dan doa buat mutarabbinya sentiasa berlegar di bibirnya sehingga dia memohon dengan penuh harapan kepada Rabbnya , Tuhan yang memegang hati-hati mutarabbinya supaya dikekalkan jiwa istiqamah  dan cinta mutarabbinya itu terhadap jalan dakwah dan tarbiyah ini. Murobbi itu sanggup mengorbankan masa terhadap kerjayanya ,jiwanya yang mungkin terkadang serabut dengan amanah lain di tempat kerjanya dan perasaannya sendiri semata-mata ingin lebih dekat dengan mutarabbinya.

       Murobbi yang baik juga sentiasa bercita-cita agar suatu hari mutarabbinya itulah yang akan menyambung usaha dakwah yang pernah diterajuinya sebelum ini.Dia tidak berduka jika mutarabbinya lebih hebat daripadanya , malah dia akan bahagia dan gembira walaupun tidak terpamir reaksinya itu secara zahir.Dan percayakah anda jika saya katakan bahawa anda akan mendapat anak usrah sebagaimana anda menjadi anak usrah dahulu kala?Persoalan ini sebenarnya bukan ditujukan buat anda sahaja , tetapi juga sebenarnya pada diri saya sendiri. Yup , dan saya pernah merasakan pengalaman itu.

     Jika semasa bergelar anak usrah dahulu , kita asyik bagi alasan itu dan ini supaya dapat melepaskan diri daripada urusan dakwah , jangan terkejut sekiranya anak usrah kita pun akan beri banyak alasan untuk mengelakkan diri daripada terlibat dalam urusan dakwah. Jika semasa bergelar anak usrah dahulu , kita main-main time usrah , tidak fokus kepada apa yang murobbi kita sampaikan , jangan terkejut sekiranya anak usrah kita pun akan main-mainkan kita ketika dalam usrah.

      Lambat laun , semakin jauh mereka daripada kita , semakin dia rasa suka kerana tidak perlu terikat dengan tugasan usrah , hafalan surah , dan akan berkurangnya rasa penting dirinya terhadap dakwah.Berbanding mereka yang menjiwai watak seorang anak usrah yang baik semasa zaman kemutarabbiannya , In Shaa Allah nilai itu dapat dirasai dan di contohi oleh mutarabbinya apabila dia menjadi murobbi suatu hari nanti.

      Bukan itu sahaja , murobbi yang baik juga akan bersedia menjadi pendengar yang baik kepada masalah dan pandangan mutarabbinya. Lantas daripada itu , dia akan cuba memberi solusi yang sesuai yang boleh diamalkan dan dilaksanakan. Sampaikan pada masa yang sama kemesraannya itu mampu membantu dirinya mengenali watak setiap mutarabbinya itu. 

"Oh , rupanya Aminah suka bawa makanan time usrah ."

"Oh , rupanya Hajar suka tengok video time usrah."

"Oh , rupanya Syikin ni pendiam , tapi bila dia bagi pendapat , pendapatnya paling bernas."

"Oh , rupanya Aqilah suka usrah sambil riadah...sebabnya dia atlit lumba lari di  universitinya."

dan macam-macam lagi....

        Hinggakan pernah ada murobbi yang sanggup menyimpan segala masalah yang dialami , menyembunyikan kekusutan keewangan yang dihadapi ketika mahu menuju ke destinasi mutarabbinya , tidak memberitahu bahawa dia sebenarnya  sakit dan macam-macam lagi kerana saat itu dia tahu penggantungan harap yang sebenarnya hanya kepada Ilahi. Rasa kecil hati , putus asa , bimbang di buang sejauhnya , dan yang  tinggal hanyalah keyakinannya terhadap Allah SWT dan kerinduannya untuk bertemu dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW.

       Sama-samalah kita berdoa semoga Allah SWT memberi kita kekuatan thabat di jalan ini. Jika tidak dapat menzerokan alasan, kurangkanlah alasan ketika diberi amanah melaksanakan tugasan dakwah. Ermmm...saya sering juga berfikir , macamana ek jika para sahabat banyak beri alasan , pastinya nikmat keimanan , keIslaman , kebahagiaan dan keamanan tidak mampu kita kecapi hingga saat ini. Saya mengingatkan diri sendiri. Teruskan berdoa sehingga saat kejayaan itu akan tiba.Bersabarlah!

Saturday, June 28, 2014

Penulis Yang Baik

Salam w.b.t.
        Setinggi-tinggi kesyukuran dirafa'kan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya dapatlah saya kembali bertinta di sini pada kali ini.Alahmdulillah.Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia , Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda yang telah banyak berkorban demi Islam tercinta.

       InsyaAllah sebenarnya entri kali ni nak bagi motivasi pada diri sendiri untuk siapkan buku saya.Al kisah , telah berlaku satu peristiwa yang amat ngeri bagi diri saya apabila penulisan saya yang bermuka hampir 30 muka surat hilang begitu sahaja.Hal ini disebabkan telah berlaku kerosakkan lappy beberapa bulan lalu. Bila dah hilang karya tu, terus hilang mood nak menulis ditambah lagi apabila kerja oncall di lab , memang tiada masa nak buat penulisan.

       Yang benarnya , cita-cita saya , sekurang-kurangnya ada sebuah buku yang dapat saya kongsikan dan hasilkan sebelum meninggalkan dunia ini buat muhasabah para pembaca.Saya sangat berharap , hobi untuk menulis tidak akan pudar meskipun saya akan menyambung kuliah saya In Shaa Allah selepas raya , juga meskipun saya sudah mendirikan rumah tangga.Malah walaupun hingga saya tua , saya berharap diberikan kekuatan untuk terus menulis.Itu memang impian saya.Menulis menenagkan saya. ;)

     Apabila sudah berumah tangga , saya akan didik anak-anak saya untuk mula menulis seawal muda usia mereka dan berdakwah melalui tulisan.Walaupun pengisian blog saya sebenarnya tidak berapa memberi informasi terkini , tapi itulah gaya penulisan yang mampu saya berikan buat para pembaca.Penulis yang terbaik bukan sahaja lahir dari bengkel penulisan semata, tetapi mereka yang mampu menghasilkan penulisan yang mampu membawa para pembaca kembali kepada Tuhan.Dan saya tahu kekuatan saya belum sampai tahap itu..huhu..masih untuk memperbanyakkan bacaan.


      Di sini izinkan saya quote kata-kata daripada blog myilham.com berkenaan nasihatnya tentang penulisan:

Saya seorang penulis. Alhamdulillah, Allah kurniakan sedikit bakat untuk menulis. Juga minat dan keinginan. Namun saya sering menegur dan mengingatkan diri sendiri ; betapa susahnya untuk menjadi seorang penulis yang baik
.
Ia cukup-cukup sukar.

Penulis yang baik, tidak lahir sekadar dari kursus-kursus dan bengkel-bengkel penulisan.
Penulis yang baik, tidak menjelma dari sekadar keindahan lakaran-lakaran sastera yang puitis.
Penulis yang baik, bukan penulis yang hanya mampu menulis.
Bahkan lebih dari itu, penulis yang baik sebenarnya adalah penulis yang mampu merawat hati-hati manusia.
Tulisannya, adalah ubat kepada hati yang membaca.

Dari mata, ia turun ke hati. Meresap jauh ke dalam sanubari, mengocak tasik keinsafan seterusnya mencetus keinginan dan tekad untuk melakukan perubahan dan penghijrahan. Dari gelap kepada terang. Dari maksiat kepada ibadat. Dari dikir kepada zikir.

Itulah penulis yang paling baik.

Begitu jugalah dengan seorang penceramah.
Ungkapan nasihat dari seorang murabbi berjiwa besar, Al-Fadhil Ustaz Subki Abdur Rahman sentiasa segar di pendengaran. ” Kata-kata dari hati yang tidak baik tidak akan mampu meresap dalam hati-hati yang mendengar “.

Saya menulis tentang cinta. Tentang soal hati. Tentang segala hal yang berkaitan dengannya, yang begitu rapat dengan dunia remaja dan anak muda.

Menulis tentangnya bukan mudah.
Silap tulis, berbicara tentang fitrah boleh menjadi fitnah.

” Banyak lagi benda lain yang perlu ditulis selain pasal cinta “
” Para pendakwah asyik cakap pasal cinta, bukan mendidik ummah ke arah agama “

Serta banyak lagi kritikan yang lain.
Saya menyambutnya dengan senyuman. Dengan jiwa besar. Kerana di awalnya lagi, telah saya pasakkan satu prinsip dalam menulis, khususnya tentang cinta dan hal yang berkaitan dengannya. Justeru segenap sudut pandang telah dinilai di peringkat permulaan.

Namun menyanggahnya sebagai ‘bahan tazkirah’ sudah tentulah suatu perbuatan yang sangat rugi.
Saya bersyukur kerana masih punya hati. Dan hati itu, Allah masih berikan ‘nyawa’ untuk terus hidup.
Lantas menggamit jiwa raga saya untuk merenung topik ini. Sesungguhnya bukan mudah untuk menjadi penulis yang baik.

Menulis tentang cinta contohnya.
Adakah sekadar untuk menambahkan ‘sampah sarap’ dalam otak para remaja?
Adakah sekadar ‘perisa tambahan’ untuk meningkatkan keobsesan para anak muda kepada kalimah cinta?
Atau adakah sekadar pelaris kepada judul-judul cinta-islami yang semakin mendapat tempat di pasaran?
Saya tegas menjawab tidak.
Saya pernah menukilkan satu masa dahulu. Menulis atas tajuk apa sekalipun, jika matlamatnya adalah untuk merawat hati manusia, ia adalah suatu dakwah yang susah. Tiada hamparan permaidani merah dan tiada laluan yang indah-indah.

Ia adalah kerja. Tanggungjawab. Kemestian.

Ada idea, ada bakat, ada kreativiti, ada minat, jika tidak disalurkan demi manfaat agama dan ummah, di akhirat kelak menjawablah di hadapan Allah Ta’ala.

Saya suka dengan tokoh motivasi seperti Ustaz Pahrol Md Juoi.
Bukan saya tidak kenal dengan tokoh-tokoh selainnya. Namun sentuhan dari Ustaz Pahrol, pada saya cukup berbeza.

Bahasa percakapannya ( penulisannya ) semuanya tepat mengena hati.
Zikir yang mencetus fikir. Fikir yang lahir daripada zikir.
Mengajak manusia mengenal Allah dan menjernihkan hati.
Seruan-seruan yang menjadi ubat kepada hati.
Sesungguhnya penulis yang baik bukanlah penulis yang hanya berbicara dengan otak pembacanya, jauh sekali dengan hawa nafsu dan keinginan pembaca semata-mata. Sebaliknya tintanya adalah penyembuh yang cukup berharga kepada hati-hati yang sedang sakit.

Kembali merenung, saya disapa kesayuan.
Situasi sukar menerima solusi yang dilontarkan, masih tidak faham-faham meskipun telah berulangkali dijelaskan, berdegil untuk melakukan perubahan dan masih berdolak dalik dengan sejuta alasan, semuanya sukar diatasi apabila penawar kepada hati gagal diberi.

Semuanya berpunca daripada kesempitan jiwa. Lebih malang, jika kesempitan jiwa itu puncanya dari pengabaian kepada peringatan-peringatan Allah. Sebagaimana Firman Allah Ta’ala :

Dan barangsiapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya bagi dia kehidupan yang sempit, dan Kami akan membangkitkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta.
( Taaha : 124 )

Kita kepenatan bercakap dengan otak pesakit, akibat kegagalan kita menyuntik ‘roh’ ke dalam jiwa pesakit tersebut.

Saya sedar, di alam maya, saya bertemu dengan ramai pesakit.
Mereka boleh jadi sengaja datang atau tidak sengaja ‘terjumpa’ dengan saya. Namun pokok pangkalnya, mereka sedang mencari ubat dan penawar kepada penyakit masing-masing.
Saya menginsafi bahawa saya masih belum mampu menyediakan penawar yang terbaik kepada para pesakit tersebut.

Interaksi dengan hati, saya kira masih lemah.
Sekaligus menjadi cabaran terbesar untuk saya merealisasikan impian ke arah menjadi penulis yang baik.
Masih banyak yang perlu saya selami tentang selok belok jiwa manusia.
Tetapi sebelum itu, sudah tentulah jiwa penulis sendiri yang perlu diteroka.
Kekotoran dari jiwa penyampai, kesannya menghijab jiwa pendengar.
Penulisan juga begitu.

Saya mohon dijauhkan dari ujian yang tertimpa ke atas sebahagian penulis. Apabila mengira telah mendapat sedikit nama, kemuliaan dan sanjungan, maka terus merasa bangga, gembira dan tinggi lagaknya.
Sedangkan hakikatnya, kemuliaan itu hanya datang setelah Allah menutupi segenap keaiban yang kita ada.
Semoga Allah ampunkan dosa-dosa kita.
Semoga Allah berikan rahmat dan hidayah-Nya kepada kita semua.
Semoga setiap amalan baik yang kita lakukan mengundang belas kasihan dan maghfirah-Nya.

Menjadi penulis yang baik, ia bukan sekadar cita-cita.
Ia adalah bukti sebenar sebuah CINTA.

PerJaLaNaN HiDuP iNi

PerJaLaNaN HiDuP iNi
Dalam jauh sebuah perjalanan,Allah amanahkan sebuah perjuangan,terimalah dengan kekuatan,kadang-kadang sakit yang mendatang,kadang-kadang teman tak sehaluan,namun itulah ujian mencari iman yang teguh,moga terus bersabar di jalanNya

Muhasabah buat semua

"Walau jauh kita pergi, ingatlah kita pernah di tarbiah dan TARBIAH tidak akan berhenti dan berakhir . Walau sesibuk manapun kita, jangan kita lupa tanggungjawab MUSLIM yang pasti akan ditanya kelak.Walau sebebas manapun kita, jangan kita lupa kita adalah MAKHLUK yang pastinya adalah milik Allah".-peringatan juga buat diriku.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails