Sunday, May 26, 2013

Ummu...Ajal Di Hadapanmu :(




Salam w.b.t.
         Setinggi-tinggi kesyukuran dirafa'kan ke hadrat Allah SWT kerana dengan kasih sayangNya dapatlah saya bernafas di bumi ciptaanNya.Mahu sahaja saya ungkapkan betapa malunya saya kepada Allah SWT yang mengizinkan saya bertandang di pentasNya kerana saya terkadang merasa bahawa diri ini masih terleka dengan perkara sia-sia.Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia, Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda.Harapannya semoga kita semua sentiasa ingat bahawa Allah sentiasa melihat segala perlakuan kita...tidak ada 0.001 % pun yang terlepas dari pandanganNya...semuanya akan dikira termasuklah perlakuan baik mahupun tidak baik yang kita lakukan.

       Saya tidak tahu mahu mulakan dengan kata-kata apa melainkan dengan ucapan berbanyak Alhamdulillah kepada Allah SWT yang masih mengasihi saya selaku hambaNya yang hina.Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah sahaja.Peristiwa pada jumaat lepas , 24/5/2013 masih terkesan di hati hingga saat ini. Bagaimana 1 saat yang saya fikir sudah tiada harapan untuk saya meneruskan kehidupan disebabkan melihat kereta (cermin depan yang reflek bahagian belakang) yang berada di belakang saya sangat laju dan saya pasti dia akan melanggar saya saat itu....hanya ada 2 kemungkinan melayang difikiran saya ketika itu , iaitu hidup atau mati. 
                     ***************************************************

         Pada Jumaat yang lepas , saya assist call di Makmal Hematologi dari jam 8.00 pagi sehingga jam 2.00 petang.Selesai sahaja tugas di makmal , saya merancang untuk pulang dan berehat di rumah sambil-sambil meneruskan pembacaan sejudul buku yang baru saya beli di Batu Pahat.Sedang-sedang membaca, tiba-tiba saya sedar dari kelupaan saya untuk mesej adik-adik usrah di UTHM berkenaan usrah malamnya. Kebiasaannya , saya akan mesej sehari awal berkenaan usrah bersama mereka. Alhamdulillah , walaupun lambat inform mereka , mereka membalas, "Ok kak ,=) ..." Saya bersyukur kepada Allah SWT di atas rahmatNya kepada diri ini yang lemah.Hal ini kerana kebelakangan ini bayangan kematian itu kerap datang menjengah di fikiran saya.Saya pun tidak tahu mengapa...hati ini bimbang.Bukan bimbang sebab takut akan kematian , tetapi bimbang sedikit amalan yang saya lakukan untuk dibawa bersama-sama kematian dan  bertemu denganNya. =(

        Saya ingat lagi pada Rabu yang lepas juga, seusai solat di surau di makmal, apabila berada di duduk tahiyat akhir , ketika saya mahu bingkas bangun , saya merasakan sakitnya dan bisanya di bahagian sekitar dada hingga ke perut. Allah...kesakitan yang saya hadapi membuatkan saya tersungkur di lantai. Setahu saya , saya tidak pernah mengalami keadaan sakit seperti ini...dan nyata tika itu ingatan saya terus-terusan mengingat Allah SWT. Bibir terus mengucap:

"Ya Allah , ampunkanlah kesalahan diri ini Ya Allah...sungguh hamba tidak terdaya Ya Allah..."

       Saya mengambil masa baring di lantai dalam kedaan melipat diri untuk menahan kesakitan.Alhamdulillah.... sakit itu kian beransur pulih sedikit dan saya cuba menenangkan diri dengan beristighfar kepadaNya. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu bagaimana perasaan dan pengharapan saya kepadaNya tika itu.Sungguh saya amat takut.

        Kembali kepada cerita usrah di UTHM, habis sahaja usrah saya bergegas ke bandar Batu Pahat untuk mengambil adik saya yang tuisyen bersama sahabatnya di bandar.Perkongsian semalam oleh adik-adik ini adalah berkenaan surah naba' ayat 20-30 dan juga kisah hidup Rasulullah SAW. Secara konklusinya , berdasarkan perkongsian yang diberikan, sebenarnya ada kaitan antara jiwa seorang pemuda dengan hari kiamat.Pada ketika zaman muda Baginda dan juga sahabat-sahabat seperjuangannya, banyak usaha yang dilakukan untuk menyebarkan dan menegakkan Islam.Dalam usia semuda itu , Baginda beserta sahabat sudah rela berkorban apa sahaja termasuk nyawa.Hal ini kerana mereka sentiasa bercita-cita untuk masuk syurga dan bertemu dengan Allah SWT Yang Maha Pencipta.Waktu muda bagi mereka bukan lagi saatnya untuk hebat dalam hiburan yang merugikan dan melepak sana sini membuang masa.Waktu muda bagi mereka bukan masanya untuk mencaci dan mencari kesalahan sesama mereka, tetapi waktu itu adalah waktu yang sesuai untuk membina jiwa-jiwa dan pribadi seorang pejuang Islam yang akan menegakkan addin tercinta.

      Contoh terdekat bagaimana kisah teladan dari Mus'ab Umair yang pernah saya kongsikan sebelum ini di mana Mus'ab sanggup meninggalkan kekayaannya, meninggalkan pengaruhnya, dan juga tidak tunduk kepada pujukan ibunya yang mahu dia keluar dari agama Islam dan kembali murtad ke dalam agama asal. Contoh lain juga dapat dilihat dalam diri Abu Ubaidah Al Jarrah yang merupakan pemuda yang berani dan hebat juga merupakan pemegang amanah umat.Pernah suatu ketika Saidina Umar menziarahi rumah Abu Ubaidah di Syam....Saidina Umar menangis kerana tiada apa-apa barang/perabot di rumah Abu Ubaidah melainkan pedang, perisai dan pelana kuda.

       Subhanallah...mereka sangat hebat di usia muda.Zaman muda mereka dipergunakan dengan baik dan kesannya dapat kita rasai nikmat iman dan Islam hingga ke hari ini. Di kesempatan ini, saya ingin mengesyorkan kepada sahabat pembaca yang saya kasihi, jika berpeluang ke toko-toko buku , maka carilah buku-buku kisah para sahabat dan juga buku yang boleh meningkatkan iman kita. Hal ini kerana, saya juga merasai ...apabila kita membaca kisah-kisah para sahabat ini, boleh menggeletar badan melihat kepada kepribadian yang mereka bawa sebagai seorang khalifah Allah.
                            **********************************************
        Sambung kembali kepada kejadian sewaktu pulang dari usrah, seperti yang saya katakan saya terus menuju ka arah bandar untuk mengambil adik saya yang tuisyen di sana.Dalam perjalanan melepasi trafic light di hadapan sk Bukit Soga, saya mengekalkan kelajuan kereta saya dengan kereta hadapan dengan kelajuan 30km/sjam.Di tengah-tengah kesesakan berhadapan dengan trafic light yang seterusnya, saya mengalihkan pandangan saya ke cermin kereta yang mereflek image belakang.Saat itu, saya perasan ada sebuah kereta yang sangat laju dari arah belakang dan saya menjangkakan agar semuanya selamat sahaja.

        Tiba-tiba.... "DDOOMMMM"...saya yang berada di dalam kereta terkejut dan hilang sedikit kawalan sehingga mahu melanggar kereta di bahagian hadapan.Bahagian hadapan tubuh terasa terhantuk stereng hadapan.....lantas darinya saya mulai rasa sakit itu.Rasa sakit pada bahagian dada ke perut terasa sakit kembali.Allah...saat itu kepada Allah SWT sahaja harapan disandarkan.Saya hanya mampu menyebut , " Maafkanlah hamba Ya Allah." =(

Yang nyata saat itu , saya merasakan jika Allah SWT mengambil nyawa saya ketika itu, boleh sahaja Dia mengambilnya.Tetapi disebabkan Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Penyayang, maka jasad diri ini masih dibenarkan disuntikkan roh lagi.Allah...

      Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasakan mati dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahala-pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” 
(Q.S. Ali Imran: 185)


        Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi terdapat tanda-tanda kebesaran Allah SWT bagi mereka yang memikirkannya. Sejenak selepas kejadian...ketika saya sedang menunggu nama saya dipanggil untuk membuat x-ray di Hospital Batu Pahat, saya sedih kerana memikirkan diri ini.Terlalu sedikit ketaataan yang dipersembahkan kepadaNya sedangkan banyak lagi amalan yang perlu diperbaiki dan dilakukan untuk mencapai pengabdian yang tertinggi hanya kepada Allah SWT. 

       Saya memikirkan bagaimana sekiranya Allah SWT menyambil nyawa saya ketika kejadian itu. Pasti saat itu  jasad saya sudah dimandikan , saya pasti akan disembahyangkan dan yang nyata saya pasti akan dikuburkan ke dalam tanah. Pasti saya akan menemui Tuhan saya dengan amalan yang sedia ada.Allah...rupa-rupanya Engkau masih memberikan saya kesempatan untuk meneruskan perjuangan hidup di bumiMu Ya Allah.Maafkanlah segala kekhilafan diri ini Ya Allah.Tuntunlah hamba Ya Allah. ;(

      Tatkala sibuk menjengah, terkadang lupa untuk mengingatiNya.Tatkala lapang menghampiri, terkadang mendabik dada atas kelebihan diri.Padahal atas keadaan yang berlaku terhadap diri ini sebenarnya ada lagi Yang Maha Hebat...Yang Maha Kuasa juga Maha Menguasai seluruh makhluk di bumi.Wahai diri teruslah menagih cinta Ilahi dan bangkit meneruskan perjuangan sebagai seorang dai'e.Moga tetap tabah di rel kehambaan ini menuju redha Ilahi.

Bukan maksud hamba Ya Allah bercerita sana-sini berkenaan hal ini....
Tetapi hamba merasakan bahawa rahmatMu amat-amat luas berbanding kemurkaanMu kepada hambaMu ini....

No comments:

Post a Comment

PerJaLaNaN HiDuP iNi

PerJaLaNaN HiDuP iNi
Dalam jauh sebuah perjalanan,Allah amanahkan sebuah perjuangan,terimalah dengan kekuatan,kadang-kadang sakit yang mendatang,kadang-kadang teman tak sehaluan,namun itulah ujian mencari iman yang teguh,moga terus bersabar di jalanNya

Muhasabah buat semua

"Walau jauh kita pergi, ingatlah kita pernah di tarbiah dan TARBIAH tidak akan berhenti dan berakhir . Walau sesibuk manapun kita, jangan kita lupa tanggungjawab MUSLIM yang pasti akan ditanya kelak.Walau sebebas manapun kita, jangan kita lupa kita adalah MAKHLUK yang pastinya adalah milik Allah".-peringatan juga buat diriku.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails