Saturday, April 27, 2013

Kesibukan Mengajar Erti Tabah

                                                                    Salam w.b.t.
         Setinggi-tingi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan inayah dan izinNya, dapatlah saya menukilkan secebis rasa hati di sini.Alhamdulillah.Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia, Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda yang telah banyak menyumbang jasa dan bakti hinggakan kita semua dapat merasai nikmat iman dan Islam hingga hari ini...saat ini dan detik ini.Moga-moga kita tidak pernah lupa perjuangan-perjuangan mereka yang telah bersusah payah menegakkan Islam tercinta.

        Alhamdulillah untuk entri hari ini, hajat di hati ingin mencoret sedikit pedoman dan nasihat pada entri "Kesibukan Mengajar Erti Tabah". Saya yakin, setiap dari kita pasti tidak pernah lepas dari kesibukan tidak kiralah apa jawatan yang kita pegang seperti doktor ke , engineer ke , guru ke , dan pelajar.Dari kesibukan yang kita miliki ini, pasti ada di antara kita yang mengeluh "ahh, penatnya".Juga tidak kurang juga jika kesibukan itu membawa banyak masalah kepada kita , pasti kita akan pernah berkata, "baik aku resign kalau macam ni!".

       Hati itu , sebenarnya suci , tetapi mungkin disebabkan tekanan yang dihadapi di tempat kerja , ia mampu menjadi sebab kita rasa tidak best untuk melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.Hati yang suci sudah berjaya dikotori dengan perasaan benci dan hasad kepada orang sekeliling.Orang yang punyai hati yang positif , walaupun dia dalam kesibukan melata , dia akan tetap mampu membuatkan bukan dirinya sahaja hidup ketika bekerja tetapi juga mampu memberi kehidupan gembira kepada orang sekitarnya.

      Saya juga tidak pernah terlepas dari situasi seperti ini.Seawal penglibatan saya sebagai Juruteknologi Makmal Perubatan di sini...banyak sebenarnya pengalaman suka duka dirasai.Ada yang pedih tu, sampai kita rasa nak menangis time tu juga.Tetapi atas sebab nak cover , senyum jelah macam senyum kambing kononnya macam tiada apa-apa.Jika ada masalah yang melibatkan 1 unit , pasti akan berbincang dan minta pendapat dengan staff yang lain berkenaan solusi yang perlu diambil.Ada ketikanya ia berjaya diselesaikan. Dan ada ketikanya jika tidak dapat diselesaikan , kita hanya mampu melakukan yang terbaik dan menunggu ketua jabatan untuk mengambil tindakan.

     Sepanjang minggu yang lepas, saya muhasabah kembali diri ini.Tidak tahulah mana silapnya hinggakan saya terlelap hampir 1 jam di dalam kereta apabila tamatnya perjalanan pemanduan saya di  hadapan rumah. Apabila saya sedar dari tidur , saya terus beristigfar, risau dan takut jika saya masih memandu di jalan raya.
Alhamdulillah nasib baik kejadian ini berlaku saat kereta sudah berhenti dan enjin kereta sudah dimatikan. Kebimbangan kembali menyelimuti diri , "Ya Allah sesungguhnya aku sangat lemah Ya Allah, maka kuatkanlah aku Ya Allah...agar urusan dunia dan akhiratku ini berjalan secara seimbang Ya Allah."

      Saya akui  mata saya memang tidak boleh melihat milihat mikroskop terlalu lama dan saya ini jenis orang yang akan mudah rasa loya apabila berhadapan dengan bau tahi , air kencing , kahak dan sebagainya. Suatu yang mencabar sebenarnya bagi saya kerana hal tersebut harus saya depani ketika menjalankan tugas di Makmal Hematologi ini.Melihat kepada skop tugasan menjurus kepada ujian-ujian urine FEME, sputum FEME, aspirate FEME , swab FEME, BFMP dan stool occult blood saat ini, mulalah kepala pening dan mudah je rasa loya di tekak.Saya cuba...dan terus cuba.

      Pada ketika suasana suram dirasakan hadir di tempat kerja , saya lebih memilih kepada menjadi seorang yang agak agresif sedikit dan mulalah membuat lawak-lawak bodoh. Yang suka...layan. Yang kurang suka...nasihat diberikan agar sentiasa jaga kelakuan. Terima kasih di atas teguran yang diberikan . Saya hargai. Saya ni bila dah suka sangat di tempat kerja , buat orang ketawa , saya akan rasa bahagia. Terkadang tu rasa bersalah juga...yelah sebab rasa macam buat banyak dosa atas keseronokan ketawa tanpa menduga bahawa Allah SWT sentiasa melihat saya...melihat tatalaku saya ketika bekerja. Banyaknya ketawa, mengurangkan bibir kurang berzikir dan beristigfar mengingatiNya.Allah....maafkanlah kesilapan hambaMu ini =( Saya ingin menjadi sebaik-baik hambaMu Ya Allah.

Sahabatku....
Kesibukan ini sebenarnya mengajar kita erti tabah...
Tabah dalam mengharungi liku-liku hidup sebagai insan yang beribadah kepadaNya....
Kesibukan ini sebenarnya mengajar kita erti sabar....
Sabar dalam menghadapi cabaran kehidupan di tempat kerja dan rutin harian di bumiNya....
Kehidupan ini membenarkan kita mencoret apa sahaja aktiviti di dalamnya....
Terpulanglah kepada kita sama ada kita mahu mencoret kehidupan ini menjadi bahagia ataupun sengsara....
Jika bahagia yang kita pilih, kita perlu mengisi ruang-ruang kehidupan ini dengan banyak aktiviti yang berfaedah buat diri dan orang sekitar kita...
Jika sengsara yang kita pilih , isilah ruangannya dengan sesuatu yang sia-sia....

Saya yakin , tiada siapapun di dunia ini yang memilih untuk hidup sengsara di dunia apatah lagi di akhirat kelak...
Tetapi saya juga bimbang jika ada di antara kita yang tidak tahu membezakan antara rutin yang dilakukan itu , adakah ianya membawa kepada kebaikan dan keburukan pada diri mereka...
Tergamakkah kita membiarkan generasi kita yang akan datang musnah dek ditelan arus kelalaian dan kelakaan dunia yang hanya sementara cuma...

Wahai sahabat yang amat ku cintai....
Tidakkah kita risau akan generasi yang bakal silih menggantikan kita ini....
Yang mana generasi yang akan dilahirkan itu adalah...
Generasi yang hanya tahu menyanyi huha-huha, tapi tidak mengenal huruf iqra dan makhraj beserta tajwidnya...
Generasi yang hanya tahu menggayakan fesyen-fesyen barat , tapi tidak biasa dengan pemakaian songkok, tudung, telekung beserta jubah....
Generasi yang hanya tahu berdebat tentang sesuatu perkara dunia, tapi tidak bisa membasahi perkataan mereka untuk memberi nasihat yang berguna kepada insan yang leka....
Yang nyatanya kesibukan inilah penawar bagi harapan yang hampir musnah...
kerana dengan adanya kesibukkan ini, ada sesuatu manfaat berguna dapat disumbangkan kepada ummah...
kerana dengan kesibukkan ini , tiada masa untuk duduk memikirkan kesalahan orang lain...tetapi ianya akan membuatkan kita sedaya upaya untuk membangunkan potensi diri dan potensi sahabat seperjuangan....

Salam perjuangan menghadapi liku-liku kehidupan sebagai pengembara dunia yang sudah bersedia untuk pulang ke pangkuan Tuhan........
*************************************************

Jadilah seorang pemuda yang waktu mudanya dipergunakan sepenuhnya demi agama tercinta.Seperti Mus'ab bin Umair yang sanggup menyatakan keislamannya di hadapan Rasulullah dan berjuang demi agamaNya walaupun saat itu dia terpaksa meninggalkan ibunya yang musyrik dan kekayaan yang dimiliki. Lihatlah, bagaimana manusia kaya di zaman jahiliyyah ini, bertranformasi menjadi seorang lelaki yang sanggup mengorbankan diri untuk Islam, dan akhirnya mati sebagai syuhada’.


Kisah Mus’ab bin Umair amat unik. Dia digelar ‘putera Makkah’ kerana semua orang mengidamkannya, kerana kehensemannya. Tetapi apabila hatinya disentuh cahaya Islam, dia tidak teragak-agak untuk meninggalkan semua kesenangan yang ada pada dirinya.

Dia adalah anak yang paling dicintai ibunya. Segala kehendaknya ditunaikan. Tetapi apabila dia menganut Islam dan ibunya mengetahui, ibunya telah menarik semua kesenangan Mus’ab. Segala pakaiannya yang cantik-cantik, wang saku, semuanya ditarik. Malah Mus’ab dipulau.

Namun Mus’ab tidak melatah. Tidak pula dia rasa susah. Bayangkan, anda biasa hidup dengan RM10,000 sebulan. Tiba-tiba anda perlu hidup dengan RM10 sebulan. Apa perasaan anda? Tetapi Mus’ab bin Umair tidak berpaling daripada Islam yang mungkin orang memandang sebagai penarik kekayaan dan kesenangannya.

Kenapa? Kerna dia yakin ini adalah jalan yang sebenar. Jalan yang membawanya kepada Allah.

Bila ibunya tidak berjaya menarik Mus’ab kembali kafir, Ibunya mogok tidak mahu makan sehingga Mus’ab kembali. Ibunya bertahan sehingga nyawa-nyawa ikan. Melihat keadaan ibunya, Mus’ab berkata:

“Wahai ibuku, andai Allah memberikan kamu 100 nyawa sekalipun, dan nyawa ibu keluar satu persatu, saya tetap tidak akan meninggalkan Islam sama sekali”

Ya. Itulah keteguhan.

Kita? Kadang-kadang ibu bapa sendiri suruh kita untuk taat kepada Allah. Tapi kita ingkar. Mus’ab bin Umair, ugutan ibunya tidak dijadikan alasan untuk meringankan tuntutan Islam.


Rasulullah SAW apabila melihat Mus’ab bin Umair, baginda akan menangis. Sahabat-sahabat juga begitu. Hal ini kerana, mereka segan dengan besarnya pengorbanan Mus’ab bin Umair. Ya lah, dari putera Makkah, kepada manusia yang akhirnya diboikot tiga tahun tiga bulan bersama Rasulullah SAW, makan kayu daun kering. Siapa yang tidak akan rasa terharu?

Namun Mus’ab bin Umair tidak pernah menyalahkan Islam. Sedikit pun dia tidak pernah berkata Allah itu kejam kerana menyusun hidupnya menjadi susah sebegitu walaupun dia telah memilih kebenaran. Tidak pernah keluar dari mulutnya rungutan dan keluhan atau rasa menyesal menagmbil Islam.

Tidak pernah.

Kemudian Allah memuliakan Mus’ab bin Umair. Rasulullah SAW memilih Mus’ab sebagai pendakwah ke Madinah. Kesungguhan Mus’ab bin Umair membuatkan tidak ada satu pun pintu yang tidak diketuk oleh sinar Islam.

Akhirnya, majoriti penduduk Madinah Islam di tangan Mus’ab bin Umair.

Sa’ad bin Muaz, pada zaman jahiliyyahnya di Madinah sebagai ketua kaum Aws. Dia datang dengan marah ketika Mus’ab bin Umair sedang menyampaikan Islam kepada penduduk Madinah. Bersamanya panah. Sampai sahaja, dia terus menarik baju Mus’ab dan mendekatkan panah itu pada leher Mus’ab. Dia menyuruh Mus’ab menghentikan usaha dakwah.

Mus’ab tidak melenting atau menentang. Kata Mus’ab:

“Apa kata kau duduk dahulu dan mendengar apa yang aku hendak katakan? Kemudian jika kau suka, kau boleh ikuti. Jika kau tidak suka, maka aku boleh pergi”

Kelembutan Mus’ab dan ketenangannya, membuatkan hati Sa’ad bin Muaz lembut. Apabila dia mendengar kata-kata Mus’ab, ceramah Mus’ab dan Islam yang Mus’ab sampaikan, Sa’ad bangun. Dia berkata kepada Mus’ab:

“Islam ini, bagaimana aku boleh menganutnya?”

MasyaAllah. Begitulah dia Mus’ab bin Umair.

Rasulullah SAW pun memuliakannya.

Ketika Peperangan Uhud, Mus’ab bin Umair adalah salah seorang jeneral. Dia pembawa panji.

Peperangan itu, menyaksikan Mus’ab bin Umair bertempur ibarat singa. Namun, kerana dia memegang panji, tentera musyrikin berusaha untuk menjatuhkannya. Tangan kirinya yang memegang panji diserang hingga terpotong. Pantas dia memegang panji dengan tangan kanan. Dia terus bertempur. Akhirnya tangan kanan turut terpotong.

Mus’ab bin Umair, untuk mempertahankan panji yang mewakili maruah Islam, terus memegang panji dengan kedua pangkal lengannya. Akhirnya tubuhnya itu dihujani anak panah, menyebabkan dia tumbang syahid.

Saat syuhada’ Uhud hendak dikebumikan, mayat-mayat syuhada’ Uhud ditutup dengan kain. Kain yang menutup Mus’ab bin Umair tidak cukup untuk menutup seluruh tubuhnya. Jika kepalanya ditutup, maka kakinya terbuka dan begitulah sebaliknya.

Melihat keadaan ini, Rasulullah SAW menangis.

Akhirnya diarahkan untuk menutup kepala Mus’ab bin Umair dengan kain, manakala kakinya ditutup dengan daun kering.




Konklusinya , kita tidak perlu lahir sebagai orang yang kaya, disegani dan berpengaruh untuk menyebarkan agama Islam ini., tetapi kita perlu melahirkan seberapa banyak potensi dalam diri kita untuk memberi manfaat dan cahaya kepada orang lain.Yang penting bukan siapa kita , tetapi bagaimana kita untuk umat ini. Teruskanlah melakari kehidupan dengan kesibukan yang berupa kepentingan ummah.Kesibukan mengajar kita erti tabah.Tabah itu mewujudkan rasa redha dengan segala ketentuanNya kerana kita yakin setiap yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya.

Tidak dilupakan juga.....


   Terima ketentuan Ilahi baik yang pahit mahupun yang manis dengan reda.
#   Setiap yang berlaku ada hikmahnya.
#   Usah menyesali dan meratapi takdir diri.
#   Lihat apa yang berlaku dari sudut positif.
#   Beristighfar dan ingatlah dengan Maha Pencipta.
#   Luahkan apa yang terpendam di hati kepada keluarga atau kenalan rapat.
#   Dapatkan semangat daripada orang yang dipercayai.
#   Kawal emosi diri, sentiasa memberi kata semangat kepada diri sendiri.
#   Berdoa agar Allah memberi kekuatan rohani, minda dan jasmani kepada kita.

Kita hanyalah manusia biasa yang....

...Tidak setampan nabi Yusuf, tidak segagah nabi Daud, tidak sekuat Umar bin Khatab, tidak sehalus Usman bin Affan, tidak sepintar Ali bin Abi Talib, dan tidak sesabar Abu Bakar As Siddiq!

Semakin berusia, semakin rencam pula masalah yang menduga. Ceria-ceria selalu biarpun ribut dan badai melanda. Tabahkan hati ♥

Tabahkan hati ya. Semua orang mempunyai masalah mereka sendiri. Tapi kita kena hadapinya dengan pemikiran yang terbuka. Insyaallah ada jalan bagi kita untuk menyelesaikannya. 



 “Dan orang-orang yang bermujahadah untuk (mencari keridaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan Kepada mereka jalan-jalan Kami.” (QS. Al-Ankabut: 69)

No comments:

Post a Comment

PerJaLaNaN HiDuP iNi

PerJaLaNaN HiDuP iNi
Dalam jauh sebuah perjalanan,Allah amanahkan sebuah perjuangan,terimalah dengan kekuatan,kadang-kadang sakit yang mendatang,kadang-kadang teman tak sehaluan,namun itulah ujian mencari iman yang teguh,moga terus bersabar di jalanNya

Muhasabah buat semua

"Walau jauh kita pergi, ingatlah kita pernah di tarbiah dan TARBIAH tidak akan berhenti dan berakhir . Walau sesibuk manapun kita, jangan kita lupa tanggungjawab MUSLIM yang pasti akan ditanya kelak.Walau sebebas manapun kita, jangan kita lupa kita adalah MAKHLUK yang pastinya adalah milik Allah".-peringatan juga buat diriku.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails