Sunday, January 27, 2013

Sayang & Rindu Kepada Rasulullah


Salam w.b.t.
        Setinggi-tinggi rasa syukur dirafa'kan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izinNya beserta inayahNya , dapatlah saya bertinta di teratak ini.Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat Baginda.Betapa kerdilnya rasa diri ini apabila merenung kembali segala nikmat kurniaanNya kepada diri ini yang hina.Terimalah taubat kami Ya Allah , janganlah Engkau palingkan Kami dari rahmatMu.

        Alhamdulillah pada 24 Januari 2013 yang lepas , saya berpeluang bersama-sama sahabat-sahabat usrah dari IMU berkumpul di rumah ukhti Zai di UTHM.Sejenak kembali merenung kenangan-kenangan bersama mereka cukup menggamit hati ini kerana banyak benda dan perkara yang dipelajari berkenaan susuk kehidupan berlatarkan dakwah.Pada masa yang sama, kami juga berpeluang memberi sedikit perkongsian berkenaan Rasulullah SAW...sambil-sambil mengingati kembali jasa-jasa Baginda yang telah banyak berkorban demi umatnya.

       Secara umumnya , setiap muslim bisa meluahkan rasa sayang dan rindu kepada Rasulullah SAW dengan mengatakan , 

"Ya , saya rindu kepada Rasulullah SAW."

       Tetapi sayang dan rindu ini sebenarnya perlu direfleksikan dalam diri setiap dari kita melalui qudwah teladan sebagaimana yang ditonjolkan Baginda.Dan InsyaAllah , untuk entri kali ini, saya ingin berkongsi berkenaan sejauh mana perlunya perasaan sayang dan rindu kepada Rasulullah SAW menerusi penulisan Ustaz Zul Ramli di dalam buku Q&A.Semoga dipengakhiran entri ini , kita dapat mengutip ibrah yang baik buat pedoman kita pada masa kini dan akan datang.InsyaAllah.
   
Allah berfirman :
"Katakanlah sekiranya bapa-bapa kamu, anak-anak, saudara mara, isteri-isteri, keluarga , harta yang diburu, perniagaan yang ditakuti rugi, rumah yang selesa lebih dikasihi daripada Allah, maka tunggulah sehingga datang keputusan Allah.Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang fasik."
(At-Taubah 9:24)

Jika sahabat bertanya pentingkah perasaan rindu terhadap Rasulullah SAW ini?
Saya akan katakan ianya sangat penting kerana mencintai Baginda termasuk dalam kesempurnaan iman sepertimana sabda Rasulullah SAW , daripada Anas bin Malik:

"Tidak sempurna iman seorang dari kamu sehingga aku menjadi orang yang paling dikasihinya lebih daripada dia sayang kepada dirinya, ibu bapanya, anak-anaknya atau manusia lain."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ingatkah kita bagaimana rindunya Baginda kepada kita umatnya yang mana dipengakhiran hayat Baginda, Baginda menyebut-nyebut ummati...ummati...ummati , lantaran kasih , rindu dan cintanya Baginda kepada kita. :( . Tidakkah kita sedar hakikat ini.Tanyalah pada diri sendiri , adakah sepanjang hidup ini kita pernah menangis merindui Baginda SAW , sepertimana tangisan Baginda merindui kita umat akhir zaman ini.Adakah kita ini cukup menghayati sirah-sirah perjuangan Baginda?
************************************************
Bagaimana pula yang dikatakan hati yang rindu kepada Rasulullah SAW?
Imam Ghazzali menulis di dalam kitab Mukassyafatul Qulub berkenaan persoalan kasih dan rindu iaitu al-Hub wa al-Isyqu.Dalam persoalan ini digambarkan rasa rindu adalah gelojak daripada rasa kasih yang terpendam di dalam dada.Bagi mereka yang mengasihi Baginda , pasti ada menyimpan hasrat untuk bertemu dengan Baginda.Pasti juga terlalu ingin mendengar suara Baginda, terlalu rindu mendengar nasihat Baginda, dan terlalu ingin menatap wajah Baginda yang mulia.

Bagaimana para sahabat merindui Rasulullah SAW?
1)Hubungan Rasulullah SAW dengan para sabahat adalah merupakan hubungan kasih dan sayang yang sangat mendalam.Sayidina Umar r.a sebagai contoh , apabila bertemu dengan Rasulullah SAW, tidak berupaya menahan rasa kasih di dadanya dan sering berkata:

"Wahai Rasulullah , rohku taruhanmu , sesungguhnya aku sangat menyayangimu."

2)Contoh seterusnya dapat dilihat pada kasihnya Sayidina Abu Bakar r.a kepada Rasulullah SAW.Diceritakan pada suatu hari ,Saiyidina Abu Bakar berdakwah kepada orang ramai dan mengajak mereka beriman kepada Allah.Melihat tindakan itu , para pembesar Quraisy berasa amat tercabar dengan perbuatan Saiyidina Abu Bakar lalu menyerangnya.Sayidina Abu Bakar ditendang , disepak hingga mukanya juga tercedera teruk.Namun seksaan itu tidak sedikitpun membuatkan dirinya risau dengan keadaan dirinya , tetapi sebaliknya sesuatu yang dirisaukan adalah bagaimana dengan Rasulullah SAW sehingga kata-kata yang terkeluar dari mulutnya:

"Aku bersumpah tidak akan menghirup minuman dan menjamah makanan sehingga aku tahu bagaimana keadaan Rasulullah SAW."

Dan Sayidina Abu Bakar kembali tenang apabila diberitahu bahawa Rasulullah SAW berada dalam keadaan selamat.

3)Kasihnya Bilal bin Rabah kepada Rasulullah SAW.Ini dapat dilihat menerusi tindakan Bilal yang tidak sedarkan diri apabila diamanahkan untuk melaungkan azan di Madinah selepas kewafatan Rasulullah SAW.Bilal pengsan ketika mana beliau melaungkan, 'Asyhaduanna Muhammadan Rasulullah'.Akibat dari peristiwa itu, para sahabat bergegas ke masjid untuk melihat keadaan Bilal.Setelah pulih dari pengsan, dalam linangan air mata dan esakan tangis , Bilal bersuara:

"Bukankah sudah aku bagitahu kamu semua.Aku sudah tidak boleh azan lagi.Aku tidak mampu untuk melaungkan kalimah "Asyhaduanna Muhammadan Rasulullah" dalam azanku.Aku merasakan Rasulullah sedang berada di belakangku seperti masa hayatnya untuk menjawab azanku itu.Aku sangat rindu kepada Rasulullah SAW."

Demikianlah rindu yang dirasakan oleh Bilal kepada Rasulullah SAW.Nak kata kat sini bahawa Bilal sangat merindui Baginda SAW.Kasih yang ditonjolkan menunjukkan kesempurnaan iman para sahabat. Kesempurnaan itulah menjadikan mereka berpegang teguh dengan ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW sehingga mereka sanggup menggadai nyawa membangunkan Islam.Benarlah sabda Rasulullah SAW , daripada Saiyidina Ali r.a:

"Seseorang itu bersama dengan siapa yang dia sayangi."
(Riwayat Abu Daud)

Bersempena Maulidurrasul yang baru meninggalkan kita , harapannya kita tidak menjadikan 1001 alasan untuk menjauhi dari cinta kepada Baginda.Saya juga mengingatkan diri ini , semoga kita sentiasa istiqamah dalam berselawat kepada Rasulullah SAW dan melaksanakan sunnah-sunnah Baginda.Walaupun sudah tiada sambutan maulid diadakan di tempat masing-masing , janganlah kita lupakan Baginda kerana untuk mengenal dan cinta Allah SWT , kita perlu mengenal dan juga cinta kepada Baginda SAW, kekasih Allah SWT yang mulia.

No comments:

Post a Comment

PerJaLaNaN HiDuP iNi

PerJaLaNaN HiDuP iNi
Dalam jauh sebuah perjalanan,Allah amanahkan sebuah perjuangan,terimalah dengan kekuatan,kadang-kadang sakit yang mendatang,kadang-kadang teman tak sehaluan,namun itulah ujian mencari iman yang teguh,moga terus bersabar di jalanNya

Muhasabah buat semua

"Walau jauh kita pergi, ingatlah kita pernah di tarbiah dan TARBIAH tidak akan berhenti dan berakhir . Walau sesibuk manapun kita, jangan kita lupa tanggungjawab MUSLIM yang pasti akan ditanya kelak.Walau sebebas manapun kita, jangan kita lupa kita adalah MAKHLUK yang pastinya adalah milik Allah".-peringatan juga buat diriku.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails