Sunday, September 9, 2012

Ikhlas Mengunci Pintu Musibah



      Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda. Setinggi-tinggi rasa syukur dirafa'kan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya dapatlah saya kembali bertinta di teratak ini.Terima kasih Ya Allah di atas usia yang Engkau berikan kepada kami hambaMu untuk kembali sujud kepada perintahMu.Kami tahu banyak dosa yang kami telah lakukan samaada sedar atau tidak sedar.Ampunkanlah kami :((

     Ya Allah...Ya Rahman ...Ya Rahim, dikesempatan yang Engkau berikan ini , hamba memohon agar ditetapkan hati kami ini untuk teguh berada di jalan menuju redhaMu.Maafkanlah kesalahan serta berilah keluasan hidayahMu kepada hambaMu yang lemah ini.Kami akui bahawa Engkaulah Tuhan kami dan tidak ada Tuhan selainMu, dan Nabi Muhammad SAW itulah pesuruhMu.Tuntunlah kami kembali kepadaMu agar tiap kali nafas yang keluar berhembus dari tubuh kami, maka setiap detik itu ditetapkan agar sentiasa ingat kepadaMu dan bersedia untuk menghadapi hari kematian.

     Untuk entri kali ini bertajuk "Ikhlas Mengunci Pintu Musibah".InsyaAllah saya ingin berkongsi sedikit cerita yang ada kaitannya dengan sifat ikhlas ini.Barangkali kita sering mendengar ada sesetengah daripada kita , apabila ingin menghulurkan sesuatu bantuan...pasti akan mengatakan , "Ambillah , saya ikhlas." Secara sedar ataupun tidak sebenarnya perkataan yang melabelkan sendiri bahawa kita ikhlas ditakuti tiada langsung harga sebuah keikhlasan yang lahir dari dalam diri kita.Hal ini kerana maksud ikhlas itu sendiri perlu diperhalusi secara mendalam kerana ia melibatkan hubungan kita dengan Allah SWT.Apabila seorang hamba itu menjalankan tuntutan agama dan menjauhi tegahan agama semata-mata mengharapkan keredhaan Allah dan takut pada kemurkaan-Nya, maka itulah yang dinamakan ikhlas.Ikhlas itu terletak dalam hati manusia yang tunduk kepada Rabbnya dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia semata-mata.


Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, :
"Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat Anda tentang seseorang yang keluar (dari rumahnya) untuk berjihad di jalan Allah, dia ingin mencari pahala dan kebanggaan sebagai seorang yang berani, apa yang ia perolehi?".

Nabi menjawab,:
  "Tidak ada apa-apa".

Walaupun ditanya beberapa kali, jawapan Rasulullah tetap juga sama. Kemudian Nabi SAW bersabda…

"Sesungguhnya Allah tidak menerima segala amal, kecuali amal yang dikerjakan dengan ikhlas dan untuk mencari keredhaan Allah". 
(HR An-Nasa'i)
*******************************
Seperti yang dijanjikan , insyaAllah saya ingin berkongsi kisah yang mungkin pernah di antara kita yang tahu lapangan kisah ini yang berkisar tentang "Ikhlas Mengunci Pintu Musibah".


Dari Abdullah bin Umar r.a , Nabi s.a.w telah bersabda: "Ada 3 orang lelaki umat sebelum kamu telah keluar berjalan-jalan hingga sampai waktu malam mereka berehat di sebuah gua untuk berteduh, maka mereka pun masuk ke dalamnya. Kemudian dengan tiba-tiba ada batu dari atas bukit yang bergolek dan menutup pintu gua itu sehingga mereka bertiga tidak dapat keluar dari gua. Salah seorang daripada mereka berkata : 'Sesungguhnya tidak ada yang dapat menyelamatkan kamu daripada bencana ini kecuali apabila kamu berdoa kepada Allah s.w.t dengan menyebutkan amalan-amalan soleh yang pernah kamu lakukan.'

Kasihkan Ibubapa

Salah seorang daripada mereka kemudian berdoa : 'Ya Allah, saya mempunyai ibu dan ayah yang sangat tua. Saya biasa memberi minuman susu buat mereka dahulu sebelum saya berikan kepada keluarga dan anak-anak saya. Pada suatu hari, saya terlambat balik daripada mencari kayu api dan saya dapati kedua-dua ibubapa saya telah pun tidur. Saya terus memerah susu untuk ibubapa saya minum. Oleh kerana mereka telah tidur, saya tidak mahu mengejutkan mereka supaya bangun kemudian saya berjanji dalam diri tidak akan memberi minum susu itu kepada keluarga mahupun anak-anak saya sehingga ibubapa saya bangun dari tidur.'

'Saya menunggu dengan sabar namun mereka tidak juga terjaga dan bangun. Ketika sedang menunggu mereka, anakku menangis dan datang kepadaku kerana inginkan susu namun aku tetap berpegang kepada janjiku iaitu tidak akan memberi minum kepada sesiapa jua sehingga ibubapaku minum. Setelah mereka berdua bangun, maka ku berikan keduanya minum susu tersebut. Ya Allah, jika saya berbuat begitu kerana mengharapkan wajahMu maka gerakkanlah batu yang menutupi gua ini.' Maka dengan tiba-tiba bergeraklah sedikit batu tersebut namun masih belum cukup untuk membolehkan mereka keluar dari gua.

Ku Tolak Zina
Orang yang kedua kemudian berdoa pula dengan merayu dan bermunajat kepada Allah sebagaimana orang pertama tadi. 'Wahai Allah, sesungguhnya saya mempunyai sepupu perempuan yang sungguh cantik dan aku mencintainya. Aku seringkali mengajaknya berzina denganku tetapi dia sering menolaknya. Suatu hari dia ditimpa kesusahan dan meminta bantuan kepadaku. Lalu aku berikan kepadanya 120 dinar dengan syarat dia berzina denganku. Oleh kerana terdesak maka dia pun bersetuju. Ketika kami hampir melakukan perbuatan yang terkutuk itu dan aku berada di antara kedua-dua belah kakinya, dia lalu berkata: Takutlah kepada Allah dan janganlah engkau melakukannya melainkan dengan cara yang benar dan halal. 

Aku kemudian tersentak kerana terdengar kalimah Allah darinya. Nafsuku menurun dan aku lantas meninggalkannya dengan wang tersebut padahal dia seorang yang amat aku cintai. Wahai Allah, jika saya meninggalkan zina kerana takut kepadaMu dan mengharap redhaMu maka gerakkanlah batu yang menutupi gua ini. ' Tiba-tiba batu itu bergerak sedikit namun masih belum membolehkan mereka bertiga keluar dari gua itu.

Gajimu Seluruh Harta Ini
Orang yang ketiga pula berdoa: 'Ya Allah, saya telah menggaji beberapa orang pekerja dan  semuanya saya bayar gaji mereka dengan sempurna kecuali ada seorang pekerja yang menghilangkan dirinya, meninggalkan saya dan tidak mengambil gajinya terlebih dahulu. Kemudian gajinya itu saya laburkan dalam penternakan sehingga lama-kelamaan ternakan itu menjadi banyak dan beranak-pinak. Beberapa tahun kemudian bekas pekerja saya itu datang dan menuntut gajinya suatu masa dahulu. Saya pun memberikan segala hasil penternakan berupa lembu, kambing unta dan juga pengembala itu sebagai gajinya tanpa mengurangkan sedikit pun kerana penternakan itu adalah dari gaji asalnya. Ya Allah, sesungguhnya aku lakukan itu kerana mengharapkan redhaMu, maka gerakkanlah batu itu.' Maka batu itu pun bergerak sepenuhnya dan mereka dapat keluar dari gua tersebut. 

       Sebagai penutup , iktibar yang boleh kita ambil dari 3 kisah ini ialah kita perlu yakin bahawa Allah memberikan bantuan kepada mereka yang benar-benar berdoa dengan penuh keikhlasan kepadaNya.

No comments:

Post a Comment

PerJaLaNaN HiDuP iNi

PerJaLaNaN HiDuP iNi
Dalam jauh sebuah perjalanan,Allah amanahkan sebuah perjuangan,terimalah dengan kekuatan,kadang-kadang sakit yang mendatang,kadang-kadang teman tak sehaluan,namun itulah ujian mencari iman yang teguh,moga terus bersabar di jalanNya

Muhasabah buat semua

"Walau jauh kita pergi, ingatlah kita pernah di tarbiah dan TARBIAH tidak akan berhenti dan berakhir . Walau sesibuk manapun kita, jangan kita lupa tanggungjawab MUSLIM yang pasti akan ditanya kelak.Walau sebebas manapun kita, jangan kita lupa kita adalah MAKHLUK yang pastinya adalah milik Allah".-peringatan juga buat diriku.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails