Friday, August 17, 2012

Kembali Ke PangkuanNya....I-Medik




Salam w.b.t.
     Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia , Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda. Setinggi-tinggi rasa syukur dirafa’kan ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurniaNya dapatlah saya kembali bertinta di teratak ini.Alhamdulillah , terima kasih Ya Allah.

     Alhamdulillah , sedar tidak sedar rupa-rupanya kita sudah berada di fasa terakhir di bulan Ramadhan iaitu fasa “pembebasan dari azab api neraka” setelah fasa pertama iaitu “untuk mendapat rahmat Allah SWT” dan fasa kedua iaitu “keampunan dari Allah SWT”.Doa saya , moga-moga di fasa-fasa terakhir ini, walaupun berbaki hanya beberapa hari sahaja lagi , kita akan terus istiqamah dalam beribadah kepadaNya.

    Diharapkan kita dapat menjadi graduan ramadhan yang banyak beribadah kepada Allah SWT pada bulan yang mulia ini.Berusahalah untuk kembali kepangkuanNya  , kembali bertaubat kepadaNya setiap saat dan ketika kerana kita tidak tahu bilakah pengakhiran kehidupan kita di dunia ini.Boleh jadi juga , mungkin kita adalah salah seorang yang menjadi tetamu terakhir ramadhan pada kali ini.Moga-moga kita sentiasa sedar walau seberapa hebat kita hidup berpangkat di dunia , walau kita ini petah berbicara menangkis hal-hal dusta , walau kita ini berharta berjuta-juta , janganlah kita lupa kedudukan kita sebenarnya yang hanya merupakan seorang hamba yang hina di hadapanNya.Kembalinya kita ke tanah nanti, kain kapan juga yang akan membaluti tubuh dan yang kekal adalah amal baik dan ketaqwaan kita kepada Yang Maha Esa.Harapannya , kita semua punyai azam yang tinggi untuk menjadi sebaik-baik hambaNya.InsyaAllah.Peringatan juga buat diriku yang hina.

    Semalam salah seorang dari jiran saya telah kembali ke rahmatullah. Innalillahiwainnailaihirajiun.Allah .benarlah bahawa kematian itu boleh berlaku bila-bila masa sahaja tak kira di mana jua kita berada. Kematian yang berlaku ini juga mengingatkan saya kepada arwah adik saya , Muhamad Hakim yang sudah genap setahun meninggal dunia  dan juga kepada arwah sahabat saya , Ahmad Nazmi yang telah pergi menemuiNya pada bulan 6 yang lepas. Sesungguhnya , tiap kali mengingatkan mereka yang telah pergi , terasa diri ini perlu juga bersedia menghadapinya.Apapun , saya perlu cekal menghadapi segala cubaan dan kemungkinan yang menanti di hadapan.Ya Allah , bantulah hambaMu yang lemah ini untuk menjadi hamba yang baik . Saya berjanji yang saya tidak akan berputus asa.

    Sesekali menjejaki hari-hari yang telah berlalu yang mungkin pernah saya melakukan kesalahan kepada sesiapa…mungkin juga pernah menyakiti hati kalian , maafkan saya , saya sedar ini adalah kelemahan saya dan saya cuba untuk memperbaiki kelemahan yang ada.Cumanya , izinkan saya untuk memperbetulkan kesalahan yang telah saya lakukan ini. Tapi sekiranya , jika kalian benar-benar tidak dapat memaafkan diri ini , sejujurnya saya tidak akan memaksa kalian untuk menerima saya kembali kerana kalian berhak memilih mana yang terbaik buat kalian. Maafkan saya , saya akui bahawa kini saya hanya mampu menyerahkan segala kebergantungan kepada Allah SWT , Tuhan saya yang amat saya cintai.Moga-moga kita akan kembali menjalin persahabatan  ini. Percayalah sahabat , aku sangat menyayangimu.
_______________________________________________



Kembali Ke PangkuanNya?

Apa kena mengena dengan entri ini…

    Perancangan terkini saya, InsyaAllah, pada akhir tahun depan , 2013 , jika Allah memberi izin, saya akan menunaikan ibadah haji bersama kedua ibu bapa saya. Ya Allah , izinkan hambaMu sampai ke sana , Tanah Suci Mekah agar saya bisa mengukuhkan rasa cinta ini kepadaMu , berterusan mencintai Rasulullah SAW yang mulia.Semoga gelombang keyakinan dalam diri dapat dirasai hingga mampu mendorong diri untuk lebih istiqamah dalam membawa misi kehidupan yang bertunjangkan kalimah, “Lailahaillallah Muhammadur Rasulullah…lantas mampu mencorak diri dan masyarakat.InsyaAllah.
_____________________________________

Kembali Ke PangkuanNya?
Yang penting bukan siapa kita , tetapi bagaimana kita untuk umat!

      Alhamdulillah , InsyaAllah  8 September 2012 ini saya akan konvo dan InsyaAllah akan berkhidmat sebagai Medical Technologist pada akhir tahun ini. Bermula kehidupan sebagai penjawat awam, saya perlu menyediakan fizikal dan mental untuk bersedia mengahadapi segala rintangan yang bakal datang tak diundang.Yang nyata , saya perlu belajar mempraktikkan komunikasi berkesan tidak kiralah kepada sesama staff jabatan , tetapi juga kepada masyarakat khususnya.Kan qudwah teladan itu sebenarnya lebih berkesan daripada sekadar kata-kata dan pengucapan. Bagi saya kerjaya ini agak mencabar dan jika diizinkan , saya ingin lebih focus dalam bidang ini sementara menunggu tawaran untuk menyambung pengajian ke peringkat seterusnya.InsyaAllah…moga-moga hajat diri untuk menjadi seorang Pathologist akan tercapai.Mohon doa nya.Saya ingin menjadi sebaik-baik hambaNya.
_________________________________



Kembali Ke PangkuanNya…I-Medik

     Alhamdulillah pada 11 Ogos 2012 yang lepas , saya bersama beberapa orang sahabat telah berpeluang ke program I-Medik yang diadakan di Kompleks Tabung Haji , Kelana Jaya.Kiranya program I-Medik Ini adalah program yang kedua yang Allah SWT mengizinkan saya pergi selepas konvensyen yang pertama yang diadakan di PKNS , Bangi.InsyaAllah , sedikit perkongsian berkenaan konvensyen ingin saya cangkirkan di sini.

    Untuk pengetahuan pembaca , I-Medik ini ditubuhkan bertujuan mengumpulkan tenaga-tenaga muslim dari pelbagai bidang dan latar belakang untuk digemblingkan kearah kerja-kerja yang akan membawa kepada melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pekerja muslim.Menurut Prof. Dr. Azmi, selaku presiden I-Medik , sedar atau tidak , kita sebenarnya sedang berada dalam satu situasi yang amat mencabar dan kritikal dalam menentukan kelangsungan perjalanan umat Islam di Malaysia.Beliau juga berharap I-Medik ini mampu menjadi forum dan tapak untuk sama-sama kita merancang , berbincang dan bekerja dalam melaksanakan agenda kehidupan yang jelas.Tajuk-tajuk yang dipilih untuk dibincangkan dalam konvensyen kali ini tertumpu kepada memberikan kefahaman kepada persoalan maqasid syarak dan akhlak pengamal perubatan dan kesihatan muslim.

Aplikasi Tuntutan Syariah Dalam Amalan Perubatan.

    Menurut Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, Islam adalah satu-satunya agama yang memberi penekanan terhadap kesihatan.Penekanan ini boleh dilihat dengan jelas dari nas-nas yang terkandung di dalam al-Quran dan sunnah.Bahkan ia muncul di dalam bentuk praktikal yang hebat apabila umat Islam selepas zaman Khulafa Rasyidin berjaya meneroka khazanah tamadun Yunani  dan lainnya untuk membina pusat-pusat rawatan yang lebih sistematik.Jika sIstem dan falsafah perubatan Barat tidak langsung meletakkan asas agama di dalam pengamalan perubatan mereka , Islam pula mengambil sikap yang amat berbeza.

     Kepentingan amalan perubatan bertitik tolak secara langsung dari dua maqasid syarak yang digariskan oleh Imam Syatibi dan lain-lainnya , iaitu kewajipan menjaga nyawa dan menjaga akal.Bahkan dari sudut-sudut tertentu , maqasid juga menjaga keturunan dan nasab yang juga menjadi titik tolak kepada perubatan Islam.Dalam masalah ijtihad sendiri , amat perlu untuk melibatkan 2 pakar ini iaitu pakar perubatan dan pakar syariah.

Cabaran Terkini  Pengamal Perubatan dan Kesihatan.

     Menurut Dr. Mohammed Hatta Tarmizi , kini bilangan doctor yang dilahirkan di Malaysia khususnya mencatatkan bilangan yang semakin tinggi berbanding sebelumnya.Peningkatan jumlah ini sekali gus mampu menunjukan prestasi sebenar para doktor.Capaian yang dibuat menunjukkan ‘High quantity , low quality.”Disebabkan para doktor terlalu ramai , tidak mustahil satu hari nanti mereka tidak mendapat tempat di hospital mahupun klinik kesihatan.Buktinya seperti yang terjadi di Filipine , di mana tertulisnya artikel  , “More doctors , they finally become nurses.”

    Beliau juga menyentuh sikap housemen yang berkhidmat di hospital yang di mana sesetengah daripada mereka terlalu ingin mengejar kekayaan , ingin bermegah dengan profession mereka sebagai “bakal doktor” hingga melupakan tanggungjawab yang seharusnya mereka pikul untuk membawa masyarakat ke arah kebaikan.

Forum Kerjaya ,Rumahtangga dan Masyarakat.

    Forum ini menampilkan Dr. Aini Azyati dan Dr. Muhammad Syamil yang berpengalaman dalam bidang kedoktoran.Kesimpulan yang dapat dibaitkan ialah melihat kepada realiti umat Islam kini yang ditindas , cost of living yang semakin meningkat dan  gejala sosial yang semakin hebat berpentas , seharusnya para pengamal perubatan kesihatan terlibat memainkan peranan mereka di tengah-tengah masyarakat untuk mengelakkan kepincangan dalam kalangan masyarakat itu sendiri.Para pengamal perubatan juga perlu menjadi mukmin yang professional dengan menjadikan Rasulullah  SAW sebagai role model terbaik.Kami juga diperingatkan untuk berperanan di dalam masyarakat dengan mewujudkan biah soleh dan solehah di tempat kerja masing-masing .Hal ini dapat dicapai dengan kesopanan  tingkah laku , akhlak dan adab sebagai pengamal perubatan.Yang paling penting , kami perlu meletakkan sepenuh pergantungan kepada Allah SWT , dengan harapan semoga orang sekitar juga mempunyai keyakinan terhadap Kekuasaan Allah SWT dalam mentadbir kehidupan setiap hambaNya.

Forum Khas : Peranan Profesional  Dalam Pembinaan Tamadun Islam.

    Kesimpulan yang dapat ditinta dalam hal bagaimana nak bina tamadun:

1. Kita sebagai pengamal perubatan perlulah menyedari tugas dan peranan kita sebagai seorang yang muslim.Sesiapapun, sebelum menjadi doktor, engineer , guru dan lain-lain , mereka perlu menjadi seorang muslim terlebih dahulu.
2. Kita perlulah memahami dan mengambil berat keadaan dalam dunia Islam hari ini.
3. Perlunya mengutamakan priority dalam kehidupan.
4. Setiap dari kita perlulah banyak membaca dan mempraktikkan budaya ilmu.
5. Kita perlulah mempunyai keberanian dan sentiasa mempertingkatkan sahsiah diri.Ambil contoh para sahabat dahulu yang berdakwah ke sana sini tanpa menggunakan sebarang teknologi.Mereka tidak mempunyai apa-apa , tapi mereka mempunyai  jati diri dan keimanan yang tinggi kepada Allah SWT.
6. Kita perlulah pakar dalam setiap bidang yang kita ceburi.Juga perlulah memiliki jiwa hamba.


SEKIAN …..DARI SAJA SEORANG HAMBA YANG HINA…
MEMPOSISI DIRI DALAM MEREALISASIKAN UMMAH BERAGENDA!!!

     Alhamdulillah , terima kasih Ya Allah kerana Engkau memberikan saya peluang berjalan di bumiMu yang luas ini.Darinya , banyak yang saya belajar.Benda yang tak boleh saya lupa ialah , melalui kehidupan ini sebenarnya saya berusaha untuk menjadi gagah dan berani menghadapi cabaran di hadapan. Terima kasih Ya Allah kerana Engkau sering memberi saya kekuatan untuk terus bangkit walau terkadang tohmahan datang tiada henti.Yang nyatanya saya tidak tahu jika saya tidak diuji sebegini , masakan saya mampu merasai bagaimana kentalnya jiwa-jiwa hambaMu yang lain  yang mungkin Engkau uji lebih dari sedikit ujian yang Engkau berikan kepada saya.Jihad yang saya lakukan ini terlalu sedikit jika mahu dibandingkan dengan saudara-saudara seIslam di bumi Palestin , Syiria , Iraq , Thailand dan sebagainya. Hadirnya mereka banyak mengingatkan saya juga menyedarkan kesilapan yang pernah saya lakukan sebelum ini.Terima kasih Ya Allah.

No comments:

Post a Comment

PerJaLaNaN HiDuP iNi

PerJaLaNaN HiDuP iNi
Dalam jauh sebuah perjalanan,Allah amanahkan sebuah perjuangan,terimalah dengan kekuatan,kadang-kadang sakit yang mendatang,kadang-kadang teman tak sehaluan,namun itulah ujian mencari iman yang teguh,moga terus bersabar di jalanNya

Muhasabah buat semua

"Walau jauh kita pergi, ingatlah kita pernah di tarbiah dan TARBIAH tidak akan berhenti dan berakhir . Walau sesibuk manapun kita, jangan kita lupa tanggungjawab MUSLIM yang pasti akan ditanya kelak.Walau sebebas manapun kita, jangan kita lupa kita adalah MAKHLUK yang pastinya adalah milik Allah".-peringatan juga buat diriku.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails