Friday, July 27, 2012

Mimpi Indah




Salam w.b.t.
      Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda.Alhamdulillah , setinggi-tinggi rasa syukur dirafa’kan ke hadrat Allah SWT kerana dengan kasih sayangnya , masih membenarkan diri ini yang hina bertinta seketika di teratak ini.Terima kasih Ya Allah.


      Tatkala diri mengorak kekuatan untuk terus bangun dari sangkar kelekaan , kadangkala terlintas sesuatu di benak hati , mampukah saya melaksanakan amanah yang diberikan…iaitu amanah yang Allah SWT telah berikan kepada saya untuk menjadi tetamu pada bulan Ramadhan yang mulia ini.Ya Allah , nyatanya nikmatMu kepada diri  ini…namun saya selalu lupa dan leka dalam melaksanakan tugas ini…tugas untuk sentiasa taat dalam menjadi pengabdi kepadaMu Ya Allah.Walaubagaimanapun , saya percaya bahawa rahmatMu melangit luas dan sesekali tidak akan saya melayan nafsu yang terlalu leka dengan nikmat dunia ini sehingga melupakanMu.Tuntunlah hamba Ya Allah.


      Sesekali melihat jarum jam bergerak cepat mengikut arah jam yang begitu  berlawanan dengan hakikat kejadian yang sepatutnya bergerak mengikut arah lawan jam , saya tahu semakin hari semakin dekat diri saya dengan kematian.Ya Allah semoga di pengakhiran hayat semua saudara seislam saya dan juga diri ini mati dalam beriman dan taat kepadaMu serta redhailah kami umat Nabi Muhammad SAW , umat akhir zaman ini Ya Allah.Bimbinglah kami ke jalan kebenaran agar kami sentiasa terdidik untuk teguh di medan perjuangan menegakkan agamaMu ini Ya Allah.
      
       Sebenarnya saya akui kini  saya tidak seaktif menulis seperti dahulu.Yang nyatanya , saya perlu gagahkan mental dan rohani untuk terus mencangkir bait-bait kata perjuangan walaupun ianya sekadar picisan buat pengisian kita bersama.Untuk pengetahuan pembaca , Alhamdulillah penulis blog telah diberi izin dari Yang Maha Esa untuk melaksanakan tugas dalam menyampaikan sedikit info kepada umum di teratak ini hampir tiga tahun bermula tahun 2009 hingga saat ini tahun 2012.


       Sejujurnya, penulis bukanlah seorang yang pandai dalam berkata-kata , pandai melakar kata , dan tidaklah bijaksana seperti pendeta , namun penulis yakin melalui penulisan yang biasa-biasa ini mampu membuatkan dan mendorong diri ini meraih cinta Yang Maha Esa.Penulis pernah banyak kali jatuh dalam kemewahan dan khayalan dunia dahulunya , dan penulis sangat bersyukur apabila mengetahui hakikat penciptaan seorang hamba di dunia. Inilah sebenarnya yang dinamakan kasih sayang Allah SWT kepada setiap hambaNya menerusi wasilah-wasilah yang dihantar dalam bentuk sahabat-sahabat yang juga mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk mencari redhaNya.


“Apabila benar-benar taat kepada Allah SWT , maka Allah SWT akan memperlihatkan kepadanya pokok-pokok amalan yang membuatnya sibuk denganNya , dan mengetepikan persoalan dunia.”

Mengapa?

“Kerana apabila seseorang masih terdinding kepada Tuhannya, itu adalah pertanda bahawa di hatinya masih tersisa sedikit keinginan terhadap hal keduniaan.”
- Rabiatul Adawiyah   -
 ________________________________________________




       Buat masa yang berbaki ini , saya masih dalam proses memperbaiki diri dan ingin membanteras kejahilan diri.Alhamdulillah , kini saya lulus menghabiskan pengajian di dalam bidang Diploma Juruteknologi Makmal Perubatan di Kolej Nilai.Banyak pengalaman yang dapat saya pelajari di bumi bertuah Nilai. Salah satunya mengenal erti pahit maung kehidupan sebagai seorang pelajar dan yang paling “sweet” sekali ialah apabila berukhwah dalam lingkungan tarbiah. MasyaAllah , sungguh manis  InsyaAllah selepas ini saya akan berada di rumah selama mungkin 2 bulan sementara menunggu panggilan kerja dari Kementerian Kesihatan Malaysia.Doakan.
      
      Alhamdulillah pada 14 Julai 2012 yang lepas , saya bersama kakak dan sahabat yang pulang bercuti dari Liverpool University , United Kingdom (Fathen Atira) juga bersama Arifa , kembar saya berpeluang ke Aljenderami di Dengkil , Selangor menghadiri Majlis Hol Saidatina Khadijah  di sana.Suasana di sana sungguh tenang dan damai dihiasi dengan selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia Rasulullah SAW  beserta alunan zikir kepada Ilahi yang amat-amat menyentuh hati.Sesungguhnya , apabila bercerita tentang wanita terunggul ini , Saidatina Khadijah r.a , banyak perkara yang perlu diketahui bahawa beliau banyak berjasa kepada agamaNya.


        Perkara yang diberitahu kepada kami ialah Saidatina Khadijah r.a adalah orang yang tinggi darjatnya di sisi Allah .Jasanya yang tidak dapat dilupakan ialah beliaulah orang yang pertama masuk Islam , seorang isteri yang setia mendampingi Rasulullah SAW  ketika Baginda dibenci dan di maki , seorang isteri yang benar-benar ikhlas menginfakkan hartanya demi memperjuangkan agama Ilahi , seorang yang meyakini dan mempercayai kata-kata Nabi saat pelbagai tomahan datang tanpa henti , dan banyak pengorbanan yang dilakukan oleh Saidatina Khadijah sepanjang menjalani kehidupan bersama kekasih Allah SWT yang mulia ini.


Rasulullah SAW juga pernah bersabda :


“Saya diberi rezki ini (Saidatina Khadijah r.a) dari Allah SWT untuk cinta kepada dia(Saidatina Khadijah).”


      Menurut Habib Ali , sebelum Saidatina Khadijah r.a dicintai oleh Rasulullah SAW , beliau dicintai oleh Allah SWT.Menurut Habib Ali lagi , Saidatina Khadijah r.a juga adalah merupakan wanita pertama yang mendapat khabar masuk syurga di masa hidupnya.Beliau menerima khabar gembira ini dari Jibril dan diberitahu kepadanya bahawa sudah disediakan rumah yang indah kepada beliau di syurgaNya.Allahuakbar!!!! semoga kita yang bergelar seorang wanita berusaha mencontohi keperibadian yang dimiliki oleh Saidatina Khadijah r.a.InsyaAllah.


      Bukan itu sahaja, banyak pesanan dan nasihat yang ditinggalkan kepada tetamu yang hadir terutamanya kepada kami yang bergelar wanita muslimah .Antaranya  :
1. Setiap dari kami perlu membaca sirah isteri Nabi Muhammad SAW ini ,
2. Mencontohi cara ibadahnya
3. Mencontohi cara kehidupannya bersama Baginda / bagaimana bermuamalah dengan Baginda
4. Berusaha mendidik anak menjadi baik
5. Berusaha menghidupkan akhlak Saidatina Khadijah dalam keluarga kita
6. Jangan tertipu dengan perhiasan dunia
7. Menjadi hamba yang bertaqwa kepada Allah SWT
8. Menjadi hamba yang  bersyukur dengan nikmat dar Allah SWT
9. Menggunakan harta untuk membantu agama Allah SWT.
_________________________________________________________


       Cerita seterusnya berkisar tentang seekor kucing.Sebenarnya saya ni memang takut dengan kucing , tetapi sepanjang menikmati kehidupan di rumah bersama keluarga , saya cuba menerima kehadiran seekor kucing yang sangat comel di kediaman saya di Batu Pahat , Johor .Nama kucing yang comel ini  , Boboboy.Aha, saya pun tidak tahu kenapa kak Long begitu suka sangat nak menamakan kucing tu dengan nama Boboboy. Banyak tengok cerita kartun kot :p. Boboboy di ambil oleh ayah dan kak Long ketika mereka sedang makan di sebuah kedai makan di Muar , Johor. Apapun darinya , saya belajar untuk menyayangi kucing dan tidak mempersia-siakannya berbanding dahulu.Jika dilihat secara mata kasar, kucing ni sebenarnya ada perasaan tau…sama la macam manusia. Bila lapar …minta makan , bila bosan …pandai ajak main kejar-kejar dengan ia , bila orang buat kerja yang melibatkan benda-benda goyang….pandai je nak main terkam-terkam , bila orang tengah buka lap top….mula lah ia nak melintas depan lap top tu dan berposing di depan kita…kononnya nak suruh tutup lap top dan main dengan ia.Hai macam-macam kisah lucu dengan kucing Boboboy saya hinggakan jika tiada ia di rumah rasa macam tak best je. Sayang Boboboy .




       Seterusnya cerita penutup untuk entri kali ini ialah Alhamdulillah , akhirnya Allah SWT mengizinkan saya bersama kembar saya berniaga di kampung sepanjang bulan Ramadhan ini .InsyaAllah.Kami menjual beberapa jenis juadah berbuka puasa seperti rangka ayam , ayam goreng berempah , nugget , roti sosej , popiah otak-otak , sup dan soto dan beberapa jenis air minuman.Apa yang penting , usaha perlu diteruskan , tenaga perlu disumbangkan kepada mereka yang memerlukan , pemantapan jati diri ke arah yang lebih baik perlu dilaksanakan , moga-moga usaha yang sedikit ini di nilai olehNya.Ops lupa  , kedai kami namanya “An-Najah Corner”. Doakan .InsyaAllah jika Allah SWT izinkan , saya ingin benar membuka cawangan perniagaan saya sendiri yang diberi nama “Ummu Raudah Interprise” .InsyaAllah.Mungkin ada yang akan kata , tingginya angan – angan. Biarlah. Yang penting , bagi saya tidak salah angan-angan itu , tetapi kenalah berusaha dari awal dan kena belajar untuk ikhlas, sabar dan redha dalam melaksanakan urusan perniagaan….kerana ia bukanlah  mudah semudah tontonan kita melihat ahli perniagaan yang berjaya di kaca televisyen.Jiwa kena kental.Semoga amal ibadah juga semakin bertambah seiring dengan pertambahan rezeki dan keuntungan dariNya Yang Maha Kuasa.


“Kehidupan yang baik itu adalah hadiah kepada seseorang , namun untuk melakari kehidupan itu menjadi lebih baik perlu mengorbankan banyak ruang kehidupan sama ada yang berbaki kepada pahala ataupun dosa.Keputusan di tangan kita , pilihlah . Duduk diam atau terus bangkit mengharungi mehnah.”

No comments:

Post a Comment

PerJaLaNaN HiDuP iNi

PerJaLaNaN HiDuP iNi
Dalam jauh sebuah perjalanan,Allah amanahkan sebuah perjuangan,terimalah dengan kekuatan,kadang-kadang sakit yang mendatang,kadang-kadang teman tak sehaluan,namun itulah ujian mencari iman yang teguh,moga terus bersabar di jalanNya

Muhasabah buat semua

"Walau jauh kita pergi, ingatlah kita pernah di tarbiah dan TARBIAH tidak akan berhenti dan berakhir . Walau sesibuk manapun kita, jangan kita lupa tanggungjawab MUSLIM yang pasti akan ditanya kelak.Walau sebebas manapun kita, jangan kita lupa kita adalah MAKHLUK yang pastinya adalah milik Allah".-peringatan juga buat diriku.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails