Saturday, March 24, 2012

Moga Dirimu Tabah

Salam w.b.t
     Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia , Rasulullah SAW, ahli keluarga dan sahabat Baginda. Setinggi-tinggi kesyukuran di rafaa'kan ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan inayahNya dapatlah saya bertinta kembali di teratak ini.Alhamdulillah...terima kasih Ya Allah.Sedamai cahaya mentari yang tidak pernah jemu melaksanakan tugas yang Allah SWT berikan kepada ia untuk sentiasa menerangi kehidupan penduduk bumi , begitulah diharapkan diri kita juga yang sentiasa tidak jemu untuk mentaatiNya pada bila-bila masa dan ketika mahupun di mana jua kita berada.Hakikatnya, hubungan seorang hamba dengan Pencipta sememangnya tidak dapat dipisahkan kerana kebergantungan itu perlulah disandarkan kepada Dia sahaja dan bukan selainNya.

      Alhamdulillah sepanjang 2 minggu lepas ditambah minggu ini yang sarat dengan exam midterm , assignment dan quiz, saya masih terasa diberi kekuatan untuk meneruskan langkah di medan dakwah ini melihat kepada adik-adik NUC yang tidak lelah menjadi tulang belakang ke arah pemantapan dakwah di kolej dan sentiasa sedia memberi bantuan ke arah peningkatan pembaikan diri dan rakan sekeliling. Sejujurnya saya merasakan sangat bersyukur dengan segala kurniaan dariNya ke atas diri saya.Saya sangat berharap agar suatu hari nanti NUC juga mampu menjadi peneraju dakwah kepada pelajarnya dan orang sekitarnya.InsyaAllah.

     Semakin hari meniti hari dan berlalu silih berganti, hingga saat ini saya menghitung sisa-sisa hari kehidupan yang bakal saya lalui di Nilai ini, tempat bertuah yang Allah SWT takdirkan saya berada di sini sejak saya berumur 18 tahun hinggalah kini saya berumur 21 tahun.Tempat yang mana banyak mentarbiah diri saya ke arah yang lebih baik, menyedarkan saya tentang hakikat perjuangan di jalanNya, menjadi seorang yang bersyukur dengan segala nikmatNya dan cuba melatih diri menjadi sebaik-baik hambaNya. Hadirnya kakak-kakak yang sangat menyuntik azam yang jitu untuk berubah dan merubah, kakak-kakak yang menyayangi adik-adik usrah, kakak-kakak yang tiada keluh kesah mengajar tika mana si adik-adik usrah masih merangkak memahami bahasa Al-Quran beserta makna dan makhrajnya , maka saat itulah dirasakan bahagia menjelma dan mendorong diri untuk thabat di jalanNya.

      Sesungguhnya , saya akui apapun caranya, saya akan meninggalkan bumi tercinta Nilai ini dan perlu akur untuk kembali ke kampung halaman di Batu Pahat Johor pada akhir bulan 5 nanti.Ingin saya cetuskan rasa hati yang saya pasti akan kembali merindui saat halaqah, qiam,rehlah dan berprogram bersama kalian. Kepulangan ke Batu Pahat selepas ini , InsyaAllah telah dirancang program dan slot yang perlu saya hadiri sebagai bekalan untuk masa ini dan hadapan bagi menghadapi situasi zaman pasca moden yang digilai ramai remaja sekarang.Moga impian saya akan jadi kenyataan.InsyaAllah.
___________________________
Kepada adik-adik yang amat akak cintai:
Singkaplah kembali kehidupan kita di masa lampau dan 
cubalah bandingkan dengan kehidupan kita sekarang.
Adakah kita berjaya merentasi ujian sughra dan ujian kubra dalam kehidupan kita.
Mungkin sahaja kita boleh bicara,"Oh, aku berjaya dapat yang terbaik dalam exam."
Namun , adakah pada masa yang sama kita berjaya menjadi seorang muslim yang baik untuk mencapai markah di akhirat kelak?

Adikku,
Muslim yang baik itu adalah mereka yang patuh pada suruhan Allah SWT dan larangan Allah SWT.
Mereka yang sentiasa menjaga hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia.

Sedarlah wahai adik-adikku, 
Di sekeliling kita ini ramai lagi insan yang dahagakan nasihat daripada sahabat yang baik untuk membantu mereka mengenali erti ketenangan mencintai Yang Maha Esa,
hingga satu saat mampu membawa mereka menyedari bahawa kehidupan dunia ini adalah ladang untuk mengumpul seberapa amal bagi dipertontonkan di hadapan Allah SWT nanti dan bukan dosa yang mengikat kita untuk hadir mendapat rahmatNya.

Janganlah kita duduk terlalu lama untuk menilai kelemahan diri kita,
tapi bangkitlah dengan menggunakan segala kelebihan yang ada meskipun ianya sekadar senyuman semata
untuk mengisi hati sahabat-sahabat yang dekat dengan kita...
cubalah engkau dan terus mencuba dan janganlah sesekali engkau berputus asa kerana perjuangan ini memerlukan engkau untuk ad-deen kita...

Sekiranya tika ini, engkau masih berada di zon selesa..tanpa berbuat sesuatu yang boleh membantu insan di luar sana untuk lebih mengenal tujuan kejadian mereka, maka cantaslah sikap itu dan tanamlah benih semangat dan putik azam baru agar engkau bisa mengetahui bahawa jalan ini adalah jalan yang dipilih oleh pejuang-pejuang dahulu yang sanggup bermati-matian demi menegakkan agamaNya yang tercinta.

Ku harapkan engkau tetap tabah di jalan ini meskipun ronanya penuh dengan onak duri.
Mulalah dengan meletakkan cintaNya yang utama ke dalam benak hati dan sanubari agar engkau bisa merasai indahnya mencintai Pemilik Segala Cinta di bumi ini.
Percayalah suatu hari nanti , akan bergemerlapanlah karya susuk dakwah ini di serata duniawi kerana aku percaya setiap daripada kalian ada potensi diri yang boleh dimanfaatkan kepada orang lain.
Dan terakhirnya, teruskan bertawakkal kepadaNya dan pasakkan istiqamah ini di sejadah diri kita.
Mungkin saat ini kita tidak mampu untuk membantu saudara kita di Palestin dan Syiria,
dengan mengangkat senjata bersama-sama mereka untuk mempertahankan agama Allah SWT ,
namun apa yang pastinya tindakan berjihad di jalanNya tetap akan diteruskan di medan intelektual ini walau kita jauh dari mereka
Doa kepada mereka itu semestinya, dan seharusnya tika ini kita perlu aktif dalam melaksanakan tugas sebagai khalifahNya dengan amar makruf nahi mungkar dalam diri kita dan juga sahabat-sahabat kita
untuk menadapat keredhaan dariNya dan seterusnya dalam mendidik hati-hati remaja dan belia untuk lebih mengenali erti syukur sebagai hambaNya.InsyaAllah.

"Sesiapa yang hendak mengetahui kedudukannya di sisi Allah maka lihatlah kedudukan Allah di dalam hatinya. Sesungguhnya Allah SWT meletakkan kedudukan hambanya di sisiNya sebagaimana hamba meletakkaNya di dalam dirinya."

1 comment:

  1. kenapalah saya tak jumpa blog akak ni dari dulu...

    salam perkenalan..
    dan saya sangat suka pengisian blog ni..

    ReplyDelete

PerJaLaNaN HiDuP iNi

PerJaLaNaN HiDuP iNi
Dalam jauh sebuah perjalanan,Allah amanahkan sebuah perjuangan,terimalah dengan kekuatan,kadang-kadang sakit yang mendatang,kadang-kadang teman tak sehaluan,namun itulah ujian mencari iman yang teguh,moga terus bersabar di jalanNya

Muhasabah buat semua

"Walau jauh kita pergi, ingatlah kita pernah di tarbiah dan TARBIAH tidak akan berhenti dan berakhir . Walau sesibuk manapun kita, jangan kita lupa tanggungjawab MUSLIM yang pasti akan ditanya kelak.Walau sebebas manapun kita, jangan kita lupa kita adalah MAKHLUK yang pastinya adalah milik Allah".-peringatan juga buat diriku.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails