Saturday, March 24, 2012

Moga Dirimu Tabah

Salam w.b.t
     Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia , Rasulullah SAW, ahli keluarga dan sahabat Baginda. Setinggi-tinggi kesyukuran di rafaa'kan ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan inayahNya dapatlah saya bertinta kembali di teratak ini.Alhamdulillah...terima kasih Ya Allah.Sedamai cahaya mentari yang tidak pernah jemu melaksanakan tugas yang Allah SWT berikan kepada ia untuk sentiasa menerangi kehidupan penduduk bumi , begitulah diharapkan diri kita juga yang sentiasa tidak jemu untuk mentaatiNya pada bila-bila masa dan ketika mahupun di mana jua kita berada.Hakikatnya, hubungan seorang hamba dengan Pencipta sememangnya tidak dapat dipisahkan kerana kebergantungan itu perlulah disandarkan kepada Dia sahaja dan bukan selainNya.

      Alhamdulillah sepanjang 2 minggu lepas ditambah minggu ini yang sarat dengan exam midterm , assignment dan quiz, saya masih terasa diberi kekuatan untuk meneruskan langkah di medan dakwah ini melihat kepada adik-adik NUC yang tidak lelah menjadi tulang belakang ke arah pemantapan dakwah di kolej dan sentiasa sedia memberi bantuan ke arah peningkatan pembaikan diri dan rakan sekeliling. Sejujurnya saya merasakan sangat bersyukur dengan segala kurniaan dariNya ke atas diri saya.Saya sangat berharap agar suatu hari nanti NUC juga mampu menjadi peneraju dakwah kepada pelajarnya dan orang sekitarnya.InsyaAllah.

     Semakin hari meniti hari dan berlalu silih berganti, hingga saat ini saya menghitung sisa-sisa hari kehidupan yang bakal saya lalui di Nilai ini, tempat bertuah yang Allah SWT takdirkan saya berada di sini sejak saya berumur 18 tahun hinggalah kini saya berumur 21 tahun.Tempat yang mana banyak mentarbiah diri saya ke arah yang lebih baik, menyedarkan saya tentang hakikat perjuangan di jalanNya, menjadi seorang yang bersyukur dengan segala nikmatNya dan cuba melatih diri menjadi sebaik-baik hambaNya. Hadirnya kakak-kakak yang sangat menyuntik azam yang jitu untuk berubah dan merubah, kakak-kakak yang menyayangi adik-adik usrah, kakak-kakak yang tiada keluh kesah mengajar tika mana si adik-adik usrah masih merangkak memahami bahasa Al-Quran beserta makna dan makhrajnya , maka saat itulah dirasakan bahagia menjelma dan mendorong diri untuk thabat di jalanNya.

      Sesungguhnya , saya akui apapun caranya, saya akan meninggalkan bumi tercinta Nilai ini dan perlu akur untuk kembali ke kampung halaman di Batu Pahat Johor pada akhir bulan 5 nanti.Ingin saya cetuskan rasa hati yang saya pasti akan kembali merindui saat halaqah, qiam,rehlah dan berprogram bersama kalian. Kepulangan ke Batu Pahat selepas ini , InsyaAllah telah dirancang program dan slot yang perlu saya hadiri sebagai bekalan untuk masa ini dan hadapan bagi menghadapi situasi zaman pasca moden yang digilai ramai remaja sekarang.Moga impian saya akan jadi kenyataan.InsyaAllah.
___________________________
Kepada adik-adik yang amat akak cintai:
Singkaplah kembali kehidupan kita di masa lampau dan 
cubalah bandingkan dengan kehidupan kita sekarang.
Adakah kita berjaya merentasi ujian sughra dan ujian kubra dalam kehidupan kita.
Mungkin sahaja kita boleh bicara,"Oh, aku berjaya dapat yang terbaik dalam exam."
Namun , adakah pada masa yang sama kita berjaya menjadi seorang muslim yang baik untuk mencapai markah di akhirat kelak?

Adikku,
Muslim yang baik itu adalah mereka yang patuh pada suruhan Allah SWT dan larangan Allah SWT.
Mereka yang sentiasa menjaga hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia.

Sedarlah wahai adik-adikku, 
Di sekeliling kita ini ramai lagi insan yang dahagakan nasihat daripada sahabat yang baik untuk membantu mereka mengenali erti ketenangan mencintai Yang Maha Esa,
hingga satu saat mampu membawa mereka menyedari bahawa kehidupan dunia ini adalah ladang untuk mengumpul seberapa amal bagi dipertontonkan di hadapan Allah SWT nanti dan bukan dosa yang mengikat kita untuk hadir mendapat rahmatNya.

Janganlah kita duduk terlalu lama untuk menilai kelemahan diri kita,
tapi bangkitlah dengan menggunakan segala kelebihan yang ada meskipun ianya sekadar senyuman semata
untuk mengisi hati sahabat-sahabat yang dekat dengan kita...
cubalah engkau dan terus mencuba dan janganlah sesekali engkau berputus asa kerana perjuangan ini memerlukan engkau untuk ad-deen kita...

Sekiranya tika ini, engkau masih berada di zon selesa..tanpa berbuat sesuatu yang boleh membantu insan di luar sana untuk lebih mengenal tujuan kejadian mereka, maka cantaslah sikap itu dan tanamlah benih semangat dan putik azam baru agar engkau bisa mengetahui bahawa jalan ini adalah jalan yang dipilih oleh pejuang-pejuang dahulu yang sanggup bermati-matian demi menegakkan agamaNya yang tercinta.

Ku harapkan engkau tetap tabah di jalan ini meskipun ronanya penuh dengan onak duri.
Mulalah dengan meletakkan cintaNya yang utama ke dalam benak hati dan sanubari agar engkau bisa merasai indahnya mencintai Pemilik Segala Cinta di bumi ini.
Percayalah suatu hari nanti , akan bergemerlapanlah karya susuk dakwah ini di serata duniawi kerana aku percaya setiap daripada kalian ada potensi diri yang boleh dimanfaatkan kepada orang lain.
Dan terakhirnya, teruskan bertawakkal kepadaNya dan pasakkan istiqamah ini di sejadah diri kita.
Mungkin saat ini kita tidak mampu untuk membantu saudara kita di Palestin dan Syiria,
dengan mengangkat senjata bersama-sama mereka untuk mempertahankan agama Allah SWT ,
namun apa yang pastinya tindakan berjihad di jalanNya tetap akan diteruskan di medan intelektual ini walau kita jauh dari mereka
Doa kepada mereka itu semestinya, dan seharusnya tika ini kita perlu aktif dalam melaksanakan tugas sebagai khalifahNya dengan amar makruf nahi mungkar dalam diri kita dan juga sahabat-sahabat kita
untuk menadapat keredhaan dariNya dan seterusnya dalam mendidik hati-hati remaja dan belia untuk lebih mengenali erti syukur sebagai hambaNya.InsyaAllah.

"Sesiapa yang hendak mengetahui kedudukannya di sisi Allah maka lihatlah kedudukan Allah di dalam hatinya. Sesungguhnya Allah SWT meletakkan kedudukan hambanya di sisiNya sebagaimana hamba meletakkaNya di dalam dirinya."

Friday, March 16, 2012

Doa Walimatul 'Urus

Salam w.b.t.
           Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda.Setinggi-tinggi rasa syukur dirafa'akan ke hadrat Allah SWT kerana mengizinkan saya bertinta lagi di teratak ini kembali.Sungguh girangnya hati ini mendengar berita walimah dari beberapa orang sahabat saya pada minggu lepas.Saya nak minta maaf sebab tak dapat hadir disebabkan ada perkara yang perlu diselesaikan.InsyaAllah untuk entri kali ini saya tujukan khas buat kalian dan terutama buat  kakak yang saya sayangi iaitu kak Sri Ajilah bersama pasangannya Saudara Mohd Hafizi.Juga kepada kak Sri Qamariah semoga berbahagia.Semoga ikatan yang terbina kekal hingga ke syurga:)InsyaAllah.
_________________________
Sebelum itu, nak kongsikan pada teman-teman doa Walimatul urus.Boleh la baca doa ini tiap kali menghadiri majlis walimah sahabat-sahabat kalian=).

In The Name of Allah, The Most Gracious, The Most Kind,

اَلْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ حَمْدًا يُوَافِى نِعَمَهُ وَيُكَافِئُ مَزِيْدَهُ يَارَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِيْ لِجَلاَلِ وَجْهِكَ اْلكَرِيْمِ وَعَظِيْمِ سُلْطَانِكَ اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلاَةً تُنْجِيْنَا بِهَا مِنْ جَمِيْعِ اْلأَهْوَالِ وَاْلآفَاتِ وَتَقْضِيْ لَنَا بِهَا جَمِيْعَ الْحَاجَاتِ وَتُطَهِّرُنَا بِهَا مِنْ جَمِيْعِ السَّيِّئَاتِ وَتَرْفَعُنَا بِهَا عِنْدَكَ أَعْلَى الدَّرَجَاتِ وَتُبَلِّغُنَا بِهَا أَقْصَى اْلغَايَاتِ مِنْ جَمِيْعِ الْخَيْرَاتِ فِى الْحَيَاةِ وَبَعْدَ الْمَمَاتِ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمـنِ الرَّحِيْمِ

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِى جعل لنا متزوجين وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ سيدنا محمد رحمة للعالمين وَعَلَى ءَالِهِ الطاهرين واصحابه الذين كالنجوم للمهتدين

              Segala puji hanya untuk-Mu ya Allah yang telah menjadikan kami berpasang-pasangan. Selawat dan salam di atas junjungan kami Saiyidina Muhammad rahmat sekelian alam serta keluarga dan sahabat-sahabatnya sekelian. Ya Allah, pada petang yang berkat ini, kami berhimpun di sini sebagai tanda kesyukuran kami atas nikmat-Mu bersempena dengan majlis perkahwinan yang diadakan oleh keluarga kedua-dua mempelai dengan selamat dan sempurna bagi pernikahan anakanda mereka.

اَللَّهُمَّ يَا رَحِيْمُ يَا وَدُوْدُ ياذاالعرش المجيد فعال لما يريد

             Ya Allah Ya Tuhan Kami Yang Maha Sempurna, rahmatilah majlis ini semoga ianya berjalan dengan sempurna seperti mana yang telah Engkau kehendaki dan berkatilah majlis yang diadakan ini dengan keberkatan dari permulaan hingga ke akhirnya. Sesungguhnya pertemuan ini adalah dengan izinMu.Ya Allah Ya Tuhan kami Yang Amat Mengasihani, limpahkanlah rahmat dan keampunanMu kepada pasangan pengantin. Kurniakanlah keduanya ketenangan, kebahagiaan dan jiwa yang tabah menghadapi setiap dugaan dan cubaan hidup berumahtangga lebih lebih lagi di akhir zaman yang penuh pancaroba ini. Mudah-mudahan perkongsian hidup yang dibina ini di kurniakan zuriat yang soleh dan solehah serta berkekalan hingga ke akhir hayat. Amiin Ya Rabbal A’lamin.

اَللَّهُمَّ أَلِّفْ بَيْنَ اْلعَرُوْسَيْنِ كَمَا أَلَّفْتَ بَيْنَ الْمَاءِ وَالطِّيْنِ وَ بَيْنَ آدَمَ وَحَوَّاء، وَبَيْنَ إِبْرَاهِيْمَ وَهَاجَرَ وَسَارَه، وَبَيْنَ يُوْسُفَ وَزُلَيْخَة، وَبَيْنَ أَيُّوْبَ وَرَحْمَةَ، وَبَيْنَ مُوْسَى وَصَفُوْرَه، وَبَيْنَ سُلَيْمَانَ وَبَلْقِيْس، وَبَيْنَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى الله ُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَزَوْجَاتِهِ الْمُطَهَّرَاتِ رِضْوَانُ اللهِ عَلَيْهِنَّ أَجْمَعِيْنَ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ.

           Ya Allah kurniakanlah restu dan kasih sayang di antara kedua pengantin ini serta eratkan hubungan keduanya sepertimana telah Engkau hubungkan di antara air & tanah, Adam & Hawa, Ibrahim & Siti Hajar, seperti Yusuf & Zulaika, Ayub & Rahmah, Musa & Safurah, Sulaiman & Puteri Balqis dan seperti Baginda Muhammad s.a.w &  Khadijah. Ya Allah, satukanlah keduanya dalam inayah dan barakahMu. Semoga menjadi Nur ibadah yang mendambakan rahmatMu.

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ جَمْعَنَا هَذَا جَمْعًا مَرْحُوْمًا وَتَفَرُّقَنَا مِنْ بَعْدِهِ تَفَرُّقًا مَعْصُوْمًا وَلاَتَجْعَلْ فِيْنَا وَلاَ مَعَنَا شَقِيًّا وَلاَمَحْرُوْمًا يَا أَكْرَمَ اْلأَكْرَمِيْنَ.

{رَبَّنَا ءَاتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ} 

وَصَلَّى الله ُ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ. 

             Segala puji-pujian adalah milik Allah. Kami memujiMu, memohon pertolongan dan keampunan kepadaMu Ya Allah. Kami berlindung kepada Mu Allah daripada segala kesalahan dan keterlanjuran kami. Sesiapa yang dianugerahkan hidayah oleh Allah s.w.t., maka tiada seorangpun yang mampu menyesatkannya. Barang siapa yang disesatkanNya, maka tiada seorangpun yang memberi petunjuk kepadanya. Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan yang layak disembah kecuali Allah semata-mata yang tiada sekutu bagiNya dan kami bersaksi bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah hamba dan rasulNya. Bersempena dengan majlis walimah ini, kami memohon inayah dan rahmatMu Ya Allah, agar dikurniakan kepada kedua mempelai yang diraikan malam ini, iaitu ________________________________ dan __________________________________ kesejahteraan, kebahagiaan, ketenangan dan zuriat yang beriman lagi bertaqwa. 


Ya Allah Ya Tuhan Kami, 

          Sesungguhnya kami menyedari bahawa Engkau telah menjadikan semua makhluk ciptaanMu berpasangan. Benarlah firmanMU. Maha suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari Yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa Yang mereka tidak mengetahuinya.

Ya Rahman Ya Rahim,

          Anugerahkanlah keberkatan dan kerahmatan kepada kedua pasangan mempelai pada hari ini kerana mereka telah menunaikan salah satu daripada sunnah junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.. Mantapkanlah iman, ikatan kasih sayang dan perasaan hormat-menghormati sesama mereka. Perkasakan akhlak dan budi bahasa mereka. Anugerahkanlah kepada pasangan pengantin yang diraikan hari ini keintiman, kecenderungan dan perasaan tenteram sentiasa. Jalinkahlah perhubungan mereka dengan ikatan kasih sayang, persefahaman, kebahagiaan dan belas ihsan. Sungguh benarlah firmanMu Ya Allah: 21. dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir.

Ya Allah Ya Tuhan Kami,

          Sesungguhnya pasangan yang diraikan dalam walimatul’urus ini telah menunaikan salah satu suruhan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dalam sabda baginda yang bermaksud: “Sejahtera ke atas kamu yang memilih jalan pernikahan kerana kamu telah memilih untuk menutup jalan maksiat”. Anugerahkanlah zuriat yang berkualiti dan warisan anak-pinak yang banyak kepada mereka sesuai dengan firmanMu: 1. Wahai sekalian manusia! bertaqwalah kepada Tuhan kamu Yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri Yang satu (Adam), dan Yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga Yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan Yang ramai. dan bertaqwalah kepada Allah Yang kamu selalu meminta Dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. 2. dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu harta mereka, dan janganlah kamu tukar-gantikan Yang baik Dengan Yang buruk; dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) Dengan harta kamu; kerana Sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa Yang besar.

Ya Allah Ya Tuhan Kami,

           Sesungguhnya kami sedar betapa hebatnya hikmah orang yang bernikah berbanding mereka yang hidup bujang dan betapa Islam memuliakan mereka yang memilih jalan pernikahan daripada mereka yang masih terdedah dengan pintu-pintu kemaksiatan. Dengan hanya satu lafaz agung, yang haram menjadi halal, yang maksiat menjadi ibadah, yang keji menjadi suci terpuji. 

Ya Allah Ya Tuhan Kami,

           Kami sedar bahawa engkau telah menyediakan jalan yang paling mudah untuk menghalalkan cinta sepasang anak Adam ini. Bahagiakanlah pasangan ini dahulu, kini dan selamanya. Engkau semaikanlah putik dan bunga-bunga kasih yang mekar dalam mahligai pasangan ini. Jadikanlah pasangan ini merpati dua sejoli yang berkongsi kasih, kehidupan dan segalanya. Engkau tegakkanlah pintu ketenteraman dan kedamaian dalam kehidupan pasangan ini biar apapun badai yang melanda. Ya Allah, engkau anugerahkanlah pepohon cinta yang berpanjangan dan hubungan yang berkekalan dan semaikanlah bibit cinta mereka keranaMu ya Allah. Kami merakamkan ucapan Barakallahulakum Wa Baraka’Alaikum Wa Jama’a Bainakuma Fil Khair (Mudah-mudahan Allah melimpahkan barakah kepada pasangan yang diraikan perkahwinan mereka hari ini dan semoga Allah melimpahkan kebahagiaan ke atas mereka dan mempertemukan mereka dalam kebaikan). 
                                                            

Wednesday, March 14, 2012

Jelajahilah Dunia


Salam w.b.t.
           Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda.Setinggi-tinggi rasa syukur dirafa'akan ke hadrat Allah SWT kerana mengizinkan saya bertinta lagi di teratak ini kembali.Di sebalik lindungan wajah seorang wanita (gambar di atas) adalah sebagai muqadimah untuk entri kali ini yang bertajuk "Wanita! Jelajahilah Dunia."

           Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi dan segala isinya, tiap kali saya merenung setiap satu darinya, pasti saya akan temui ketenangan yang nyata luar biasa dari kebiasaannya.Ya , itulah hebatnya Pencipta kita.Tika ini, saya berharap agar ketenangan ini berterusan menyapa saya walau seketika meskipun dugaan datang mencicipi tiada henti.Saya beranikan diri menghadapi muka-muka cerita duniawi kerana saya yakin saya masih ada Ilahi yang sentiasa melindungi hambanya setiap inci tapakan insani.

          Menjalani kehidupan sebagai seorang dai'e? semoga anda dan saya thabat di jalan ini.Apabila mengimbau kembali kenangan silam yang begitu menguis hati , satu persatu cuba untuk saya hadapi dan terokai dengan berani.Bagaimana dahulu saya pernah diejek oleh sahabat sekelas , dibenci atas keskemaan saya yang sukar untuk diterima umum, kelemahan intelektual yang mungkin sedikit lembab untuk bertindak , ketakutan untuk berbicara di khalayak umum....ini semua dilihat secara nurani hati.Hal ini kerana saya amat yakin , jika saya tidak terpilih untuk meniti setiap ujian ini , mungkin saya tidak akan menjadi saya yang kini.

         Alhamdulillah...Alhamdulillah...Alhamdulillah.Terima kasih kepada bonda, ayahanda, ibu , ayah, guru-guru, sahabat-sahabat yang tidak jemu memberi dorongan , bimbingan dan semangat kepada saya untuk menjadi bukan sahaja sebagai seorang manusia tetapi juga sebagai seorang hambaNya.Ops lupa!Mereka-mereka ini juga banyak motivate diri saya untuk menjelajahi dunia bagi mencari ketenteraman menggapai cinta Tuhan seterusnya menyampaikan rasa itu kepada sahabat yang lain.Percayalah , satu hari nanti saya ingin menjadi salah satu penjelajah itu.InsyaAllah.

         Dikesempatan ini , izinkan saya berkongsi sedikit kata-kata semangat dari seorang ukhti Miza.Sejujurnya kata-kata beliau juga membuatkan diri ini lebih bersemangat untuk berjuang menjelajah dunia(mencari dan menuntut ilmu).InsyaAllah:

Pergilah, jelajahilah dunia, lihatlah dan carilah kebenaran dan rahsia-rahsia hidup; niscaya jalan apa pun yang kau pilih akan mengantarkanmu menuju titik awal. Sumber kebenaran dan rahsia hidup akan kautemukan di titik mula perjalananmu. 

Perjalanan panjangmu tidak akan mengantarkanmu ke hujung jalan, justeru akan membawamu kembali ke titik permulaan. Pergilah untuk kembali, mengembaralah untuk menemukan jalan pulang. Sejauh apa pun kakimu melangkah, engkau pasti akan kembali ke titik awal. 

(The Alchemist-Paulo Coelho)

***

Aku mahu jelajah dunia kerana aku mahu belajar banyak perkara.  
Belajar tentang hidup dan peraturannya,
Belajar tentang manusia dan ragamnya,
Belajar tentang alam dan kepatuhannya.

Semakin jauh tanah ditapaki,
semakin kerdil jadinya diri,
semakin kecil rasanya Bumi,
sesungguhnya dari Allah kita datang
dan kepada-Nya juga kita dipulangkan.

     

Sunday, March 11, 2012

Lautan Bukti Syahidnya Wanita Itu


Salam w.b.t.
            Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia  Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda. Selautan keampunan di pohonkan kepada Yang Maha Pencipta kerana masih lagi mengizinkan saya hadir bertinta di teratak ini pada kali ini walaupun saya merasakan banyak lagi pembaikan terhadap diri yang perlu diperbaharui.Namun saya yakin, Allah SWT itu Maha Pengasih kepada setiap hambaNya.Tinggal kita sebagai hambaNya mahu meletakkan cinta Dia pada hati kita ataupun sekadar berupa picisan kata-kata semata.Yang nyata , percayalah Dia itu tempatnya sepatutnya perlu ada di hati kita semua agar ketenangan hakiki menghadapi erti kehidupan dapat dilihat secara hikmah mendalam dan bukan bertitik noktah pada pendustaan dan kenistaan.


           Untuk entri kali ini, saya inginkan kongsikan sedikit cerita mengenai seorang wanita yang bernama Ummu Haram hasil pembacaan saya pada majalah solusi baru-baru ini.Sangat teruja melihat perwatakan wanita mulia tersebut hinggakan mendorong saya untuk berkongsi kisah menarik mengenai diri beliau.


           Menerusi satu kisah yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Ummu Haram ini merupakan seorang wanita yang bercita-cita tinggi dan luar biasa.Hasil daripada cita-cita itu jugalah , menyerlahkan lagi ke'GAH'an wanita pada awal perkembangan Islam.


          Diceritakan, pada satu hari , Rasulullah SAW menuju ke rumah Ummu Haram binti Milhan.Ummu Haram ini adalah merupakan ibu susuan Rasulullah SAW.Oleh sebab itulah Rasulullah SAW biasa bermalam di rumah beliau.


          Ketika Rasulullah SAW terjaga dari tidurnya , tiba-tiba Baginda ketawa.Lantas peristiwa itu membuatkan Ummu Haram tertanya-tanya apa sebab yang mengundang ketawanya Baginda.
Baginda menjawab: 
"Allah SWT dilihatkan sekelompok manusia daripada umatku kepadaku.Mereka berperang di jalan Allah SWT dan belayar di tengah-tengah lautan iaitu raja-raja atas pasukannya atau laksana para raja yang memimpin pasukannya."


Ummu Haram yang terlalu takjub mendengarnya lalu berkata sesuatu kepada Baginda:
"Wahai Rasulullah SAW, doakanlah agar aku termasuk dalam kalangan mereka,"

         Melihat perihal itu, ternyata Baginda tahu bahawa Ummu Haram ingin benar berperang di jalan Allah SWT.Lalu , Baginda mengangguk sambil mendoakan Ummu Haram agar impiannya menjadi kenyataan.Tidak berapa lama kemudian, Baginda tersedar kembali dan tertawa.Ummu Haram yang melihat gelagat Baginda bertanya lagi sebab Baginda ketawa.


Baginda menjawab: 
"Allah SWT memperlihatkan sekelompok manusia daripada umatku kepadaku. Mereka berperang di jalan Allah SWT dan belayar di tengah lautan."

         Ungkapan yang sama seperti yang sebelumnya.

Pinta Ummu Haram beria:
"Doakanlah agar aku termasuk dalam kalangan mereka wahai Rasulullah."


Rasulullah SAW seterusnya bersabda yang bermaksud :
"Engkau termasuk dalam golongan yang mula-mula."

           Menurut Anas bin Malik lagi, Ummu Haram kemudiannya keluar berperang bersama-sama suaminya, Ubadah bin al-Samit.Ketika sedang menunggang seekor binatang, beliau tercampak ke laut dan meninggal dunia.Ummu Haram diiktiraf syahid dan merupakan wanita pertama yang syahid di lautan.Apa tidaknya itulah cita-cita agungnya.


Harapan saya, muslimah di luar sana akan kekal tabah di jalan jihad menujuNya ini.Ingatlah walaupun kita wanita ini sering dilabel lemah, kita ini juga sebenarnya ada kelebihan yang dihadiahkan Allah SWT kepada kita seperti kekaliberan, watak dan sifat kita yang juga mampu untuk bersama-sama kaum adam dan berdiri sebarisan dengan mereka demi memperjuangkan agama tercinta.
                                                 

Sunday, March 4, 2012

Ibrah Pangkor

Salam w.b.t.
         Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda.Alhamdulillah , setinggi-tinggi kesyukuran dirafa'kan ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurniaNya , dapatlah saya kembali bertinta di teratak ini.Bagaimana mahu hati mentafsir takdir Ilahi yang menautkan hati-hati saya dengan housemate saya sehingga kini...hati yang jika boleh mahu bersama-sama membawa mereka di jalan perjuangan ini.Sungguh, saya yakin dengan ketentuan pertemuan ini bersama mereka yang amat-amat saya sayangi memberi iltizam kepada diri untuk berubah dan mengubah.Hal ini kerana saya yakin akan rahmatNya kepada setiap hamba ciptaanNya dan semestinya tidak ada sesuatu yang mustahil di dunia ini sekiranya kita terus istiqamah dalam usaha kita.

      Percutian ke Pulau Pangkor pada 2/3/2012 iaitu pada hari Jumaat yang begitu mencabar bermula sejak  dari urusan membeli tiket ke sana dilaksanakan.Ditambah lagi dengan perjalanan yang tertunda disebabkan tayar bas pancit , membawa diri berharap kepadaNya sahaja agar segala urusan ini dipermudahkan hingga ke akhirnya.Dan Alhamdulillah , akhirnya kami selamat pergi dan selamat pulang.Di sana kami berpeluang menaiki bot, bermain snokling , banana bot , berziarah ke Galeri Pangkor , round-round sekitar Pangkor dan banyak lagi aktiviti merapatkan ukhwah sesama kami dijalankan.Terima kasih Ya Allah kerana Engkau memudahkan segalanya.

Sungguh Allah SWT memiliki pelbagai cara mentarbiah hambaNya terutama dlm urusan jihad.Dan bersabarlah dlm mghadapi segala kesukaran, sesungguhnya Allah SWT bersama orang2 yg sabar.
(majalah solusi)

Ya Allah , moga dengan percutian yang Engkau benarkan kami bersama dalam jangka masa ini.
Saya mohon Ya Allah , tautkanlah hati-hati kami untuk lebih mencintaiMu dan jauhkan kami dari cintakan sia-sia hiburan dan kehidupan dunia,
Ya Allah sesungguhnya saya amat mencintai sahabat-sahabat saya keranaMu Ya Allah 
juga kerana mereka adalah hambaMu yang perlu untuk didampingi dan disayangi
agar gelombang mencintaMu dapat dirasai lebih indah dan bermakna...
Segala kebergantungan disandarkan hanya kepadaMu Ya Allah..
Bantulah kami Ya Allah :(

Seseorang yang beriman akan benar-benar menyedari bahawa segala sesuatu yang wujud di dunia ini tiada satu pun yang terjadi melainkan hanya dengan izin Allah.Sehelai daun pun tidak akan gugur melainkan dalam pemerhatian dan keizinanNya jua.
 (mengambil ibrah di pulau pangkor)

                                              

PerJaLaNaN HiDuP iNi

PerJaLaNaN HiDuP iNi
Dalam jauh sebuah perjalanan,Allah amanahkan sebuah perjuangan,terimalah dengan kekuatan,kadang-kadang sakit yang mendatang,kadang-kadang teman tak sehaluan,namun itulah ujian mencari iman yang teguh,moga terus bersabar di jalanNya

Muhasabah buat semua

"Walau jauh kita pergi, ingatlah kita pernah di tarbiah dan TARBIAH tidak akan berhenti dan berakhir . Walau sesibuk manapun kita, jangan kita lupa tanggungjawab MUSLIM yang pasti akan ditanya kelak.Walau sebebas manapun kita, jangan kita lupa kita adalah MAKHLUK yang pastinya adalah milik Allah".-peringatan juga buat diriku.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails