Monday, January 9, 2012

Lunaskanlah Hak Jiran Tetangga

Salam w.b.t.
       Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia, Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda.Setinggi-tinggi rasa syukur di rafa'akan ke hadrat Allah SWT , kerana dengan izinNya..sekali lagi saya dapat meneruskan bait-bait perkongsian buat teman pembaca yang saya sayangi. Melihat sekitar alam yang luas terbentang dan diteduhi langit biru yang warnanya biru menawan , diselangi dengan gelagat senda gurau jiran-jiran dan rakan taulan , hati ini terasa girang dan membawa diri yang hina ini mensyukuri nikmat kurniaan Ilahi ini.MasyaAllah...kasih sayang Allah SWT tak pernah sunyi menemani kehidupan hambaNya walaupun hambaNya terkadang lupa menjalankan tugas sebagai khalifah Tuhan dengan sesuci keikhlasan kepada Dia.


        Doa saya semoga kita tidak lupa  dan alpa dalam meniti kehidupan di dunia ini yang penuh dengan pancaroba sebagai hambaNya.Kita bertuah kerana Dia masih memasukkan nama  kita dalam list perkhidmatanNya.Yang nyata, percayalah saat ini nama saya...nama kita dah tertulis pada daun luh mahfuz Allah SWT.Tinggal menunggu masa sahaja untuk kita dipilih, dipetik dan dijemput menghadap Pencipta kita Yang Maha Esa.Mungkin esok..lusa..minggu depan..bila-bila masa sahaja.Mahu tidak mahu, perlulah kita sentiasa berusaha memperbaiki amalam kita kepadaNya dan mencuba sebaik mungkin untuk mendekatkan diri kita kepada Dia.


      Berbalik kepada tujuan utama penulisan entri kali ini, suka untuk saya berkongsi berkenaan 'Lunaskanlah Hak-hak Jiran Tetangga Anda".Macamana nak tahu siapa itu jiran kita?Penetapan jiran terdekat ialah 40 buah rumah yang berada di sekeliling rumah kira, sama ada di kiri, kanan, hadapan dan belakang. Terdapat tiga kategori jiran:

  1. Jiran muslim yang ada hubungan kekeluargaan
  2. Jiran Muslim
  3. Jiran bukan Islam


  • Pertama, jiran muslim yang ada hubungan kekeluargaan, mereka mempunyai tiga hak iaitu sebagai jiran, keluarga dan seorang Muslim. 
  • Kedua, jiran Muslim yang mempunyai dua hak, iaitu hak jiran dan hak seorang Muslim.
  • Ketiga jiran bukan Islam, yang mempunyai satu hak iaitu hak jiran.

        Sebagaimana yang kita maklum, kehidupan kita tidak pernah terlepas dari kehidupan berjiran.Saya juga mempunyai jiran.Adakah boleh kita katakan seseorang itu berjiran sekiranya mereka tidak mengetahui siapa jiran-jiran yang duduk di sebelahnya, di depannya , dibelakangnya dan yang duduk berdekatan dengannya.Situasi yang mampu saya lihat belakangan ini, banyak orang yang keluar  keluar bekerja tidak kiralah dalam mana-mana kilang/syarikat/jawatan awam mahupun yang keluar berdakwah dalam persatuan NGO atau mana-mana parti , schedule dakwah mereka di luar begitu padat hinggakan hak sesama jiran tetangga yang tinggal bersebelahan dengan mereka mungkin boleh jika saya katakan di sini...hak mereka diabaikan.


      Hari ini yang jelasnya, kadang-kadang kita susah untuk menegur dengan jiran tetangga.Bahkan ada segelintir kita tidak pernah kenal siapa yang bernyawa di sebalik pagar mewahnya.Masing-masing kurang ambil perhatian kerana merasakan kehidupan jiran bersebelahan dengannya sudah berada dalam keselesaan dan sikap jangan jaga tepi kain orang sekarang makin hangat diamalkan.Pada saya , kita sememangnya perlu menjaga tepi kain orang , tetapi janganlah sampai masuk ke dalam kain orang.Begitulah perihalnya betapa kita ini perlu mengambil tahu hal-hal jiran yang bersangkut paut dengan kesihatan mereka , khabar mereka , khabar kehidupan mereka sekiranya mereka dilanda masalah ataupun memerlukan bantuan.Sedangkan sejarah tertulis , tamadun yang terbina adalah hasil masyarakat yang saling melengkapi antara satu sama lain.


Rasulullah SAW bersabda:
"Siapa yang percaya kepada Tuhan dan hari akhirat , janganlah menyakiti jiran tetangganya!"
(HR Bukhari)


di antara contoh hak-hak sesama jiran


      Dalam Islam, jiran mempunyai hak-hak tersendiri dan kita wajib menunaikan hak-hak mereka.Antara hak yang wajar dipelihara adalah tidak menyakiti mereka.Sebagai seorang muslim , kita dituntut untuk melayan dengan baik jiran tetangga kita tidak kiralah mereka terdiri daripada muslim mahupun non-muslim. Seharusnya , inilah lambang ketelusan Islam yang wajar kita serapkan dalam kehidupan.Selagi mana mereka tidak menyakiti dan memudharatkan kita , seharusnya nilai ini perlulah dijaga sebaiknya.


Berusahalah Untuk Menjadi Seorang Muslim Yang Lebih Baik.
Menjejaki hari-hari yang sentiasa mendatangi kehidupan saban hari, saya berharap semoga sifat mementingkan diri sendiri dapat dikikis dari menguasai diri manusia. Harapannya , semoga kita sentiasa mengambil berat dengan kehidupan dan hak-hak jiran kita.Percayakah anda bertapa gembiranya dan lapangnya hati dan perasaan jiran anda apabila setiap kali bertembung dengan jiran-jiran anda , anda memberikan ucapan salam kepada mereka.Walaupun sekalumit ucapan salam diluahkan , ia mampu untuk membuahkan rasa kasih dan sayang sesama jiran.


Rasulullah SAW pernah ditanya:
"Islam yang bagaimanakah lebih baik?"

Baginda menjawab:
"Memberi makanan dan mengucapkan salam kepada orang yang ditemui , sama ada yang dikenali atau tidak."


       Berusahalah mencari kebajikan selama masih bernafas.Jika ego masih lagi terbungkam dalam jiwa, maka percepatkanlah merawatnya dengan ukhuwah.Mulakan persaudaraan dengan senyuman , yang akhirnya membuah sapaan dan persaudaraan hingga mencapai puncak rahmat Tuhan.Saya juga mengingatkan diri ini.Semoga sama-sama beroleh manfaat. InsyaAllah.


"Tidak akan masuk syurga , orang yang tidak membuatkan tetangganya berasa aman dari perangai buruknya."
(HR Muslim)

No comments:

Post a Comment

PerJaLaNaN HiDuP iNi

PerJaLaNaN HiDuP iNi
Dalam jauh sebuah perjalanan,Allah amanahkan sebuah perjuangan,terimalah dengan kekuatan,kadang-kadang sakit yang mendatang,kadang-kadang teman tak sehaluan,namun itulah ujian mencari iman yang teguh,moga terus bersabar di jalanNya

Muhasabah buat semua

"Walau jauh kita pergi, ingatlah kita pernah di tarbiah dan TARBIAH tidak akan berhenti dan berakhir . Walau sesibuk manapun kita, jangan kita lupa tanggungjawab MUSLIM yang pasti akan ditanya kelak.Walau sebebas manapun kita, jangan kita lupa kita adalah MAKHLUK yang pastinya adalah milik Allah".-peringatan juga buat diriku.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails