Tuesday, December 20, 2011

Kewajipan Menuntut Ilmu Agama

Salam w.b.t
Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia , Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat Baginda.Setinggi-tinggi kesyukuran saya rafaa'kan ke hadrat Allah SWT kerana dengan kasih-sayangNya dapatlah saya bertinta di teratak ini.Ya Allah teguhkanlah hati generasi kami, hati ibu bapa kami , sahabat-sahabat kami , dan umat Islam keseluruhannya agar sentiasa taat dalam melaksanakan ketaatan kepadaMu.Biarpun saat ini banyak cerita yang telah mencoretkan torehan pada fatamorgana dada akhbar, percaya atau tidak ianya seakan-akan membuktikan bahawa fatalisme ini telah berjaya menyelinap masuk ke dalam diri manusia.

     Isu-isu hangat yang sering diperkatakan di laman sosial baru-baru ini iaitu isu berkenaan perkahwinan sesama jantina , isu pelajar yang menurunkan bendera YAB PM , murtad dan sebagainya jelas mencerminkan sahsiah kita yang sebenar sebagai seorang Muslim.Mahu tidak mahu kita perlu amik tahu bahawa kita adalah generasi yang lahir pada zaman ini di mana generasi ini menjadi habuan kuasa yang bertapak dari pelbagai sudut dunia.

     Mungkin ada yang bertanya perubahan yang macamana yang perlu dilakukan apabila situasi begini berlaku.?Seperti biasa peringatan saya, setiap daripada kita mempunyai saham di atas jatuh bangunnya umat Islam hari ini.Jadi seharusnya kita bermula dengan memperbaiki diri dan pada masa yang sama mengajak orang sekeliling kita ke arah kebaikan menuju mardhatilah Allah SWT.Pembaikan diri yang saya maksudkan di sini adalah kewajipan mempelajari ilmu agama secara praktikal dan bukan menerusi teorinya sahaja.Apabila tersematnya keimanan yang kukuh di dalam hati, nescaya anasir-anasir jahat ini mampu kita banteras sekerasnya.


______________________________________________

Dari Anas bin Malik r.a, katanya : Rasulullah SAW bersabda: "Menuntut ilmu adalah satu fardhu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam.
(Ibnu Majjah)

        Hadis di atas ini mewajibkan tiap-tiap seorang Islam , lelaki mahupun perempuan perlulah mempelajari ilmu agama.Oleh kerana sesuatu pekerjaan dari yang sekecil-kecilnya hingga yang sebesar-besarnya tidak dapat dilakukan dengan teratur melainkan dengan ilmu pengetahuan yang berkenaan dengannya, maka nyatalah wajibnya seseorang mempelajari hukum dan peraturan Islam bagi apa sahaja perkara yang hendak dilakukannya sebagai wajib fardhu ain.

       Menurut kitab Al-Furuq dan "Tahzib al-Furuq" bahawa Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya-Ulumuddin dan Imam Syafie dalam kitabnya Al-Risalah menerangkan bahawa : Telah sekata alim ulama, tidak harus seseorang cuba melakukan sesuatu perkara sehingga ia mengetahui terlebih dahulu hukum-hukum Allah mengenai perkara-perkara yang hendak dilakukannya itu.Orang yang hendak berjual-beli wajib mempelajari hukum Allah SWT mengenainya...begitu juga bagi orang yang hendak menyewa , memberi sewa , mengupah dan mengambil upah wajib mempelajari hukum Allah SWT mengenainya.

     Demikian juga bagi seseorang yang hendak menunaikan sembahyang wajib mempelajari hukum Allah SWT mengenai sembahyang.Demikian seterusnya segala perkataan yang hendak dikatakan dan segala amal yang hendak dikerjakan.Maka sesiapa yang mengetahui hukum Allah SWT ini dan beramal menurut apa yang diketahuinya, sudah tentu ia telah mentaati Allah SWT dengan 2 taat.Sesiapa yang sekadar tahu tetapi tidal beramal dengan ilmunya itu, maka ia telah mentaati Allah SWT dengan satu taat dan menderhaka kepadaNya dengan satu kederhakaan.Sesiapa yang tidak mengetahui dan tidak beramal sudah tentu ia menderhaka dengan 2 kederhakaan.

    Dikesempatan ini, saya juga mahu mengingatkan diri saya dan juga para pembaca , bahawa ilmu agama itu bukan sesuatu yang mudah didapati bahkan mestilah dipelajari dan diterima dari orang Islam yang betul-betul sah ilmunya serta jujur dan adil dalam penyampaiannya.Sebagaimana yang diterangkan dalam hadis Rasulullah SAW yang maksudnya :"Sesungguhnya ilmu yang sah dan muktabar itu tidak akan dapat dicapai melainkan dengan mempelajarinya dari guru."Maksud di sini, mempelajari ilmu itu bukan sekadar dari buku-buku , lebih-lebih lagi yang dikarang oleh orang-orang orientalis , yang kebanyakannya menghidangkan madu bercampur racun..tetapi perlulah dirujuk dengan seorang guru pembimbing yang arif tentang hal itu.

     _________________________________________________

Ilmu yang menjadi asas bagi ilmu-ilmu agama berdasarkan hadis ke-21:
  1. Pertama - Ilmu-ilmu yang telah ditetapkan Tuhan menjadi asas.
  2. Kedua - Ilmu-ilmu yang dikehendaki oleh asas itu.

* Ilmu-ilmu yang ditetapkan menjadi asas itu ialah:

  • ayat-ayat al-Quran yang terang nyata dan tidak dimansuhkan hukumnya.
  • Sunnah atau Hadis Rasulullah SAW yang meliputi perkataannya , perbuatannya , dan taqrirnya (ketiadaan larangannya).
  • Ketetapan dan keputusan yang betul sama seimbang dengan kehendak kitab Allah dan sunnah RasulNya ,yang diputuskan dengan jalan "ijma"(kata sepakat alim ulama) , atau dengan jalan "Qiyas"(bandingan sesuatu perkara yang belum ada hukumnya dengan perkara yang telah ada hukumnya)
*Ilmu-ilmu yang dikehendaki oleh asas itu ialah:
  • Ilmu-ilmu yang ada hubungannya dengan kehendak-kehendak tata bahasa dan kesusasteraan Arab, juga yang ada hubungannya dengan pengertian maksud dan pengambilan hukum-hukum syarak, ilmu perubatan untuk menjaga dan memelihara kesihatan , ilmu kemasyarakatan , pembangunan , perniagaan , perindustrian , pertanian dan sebagainya yang tidak bertentangan dengan syarak.



     Sesunguhnya perlulah kita amik pengajaran dari setiap kejadian yang telah berlaku di serata muka bumi ini dengan memikirkan hikmah disebalik terjadinya perkara tersebut.Jangan dilengahkan pengajaran dan perubahan diri ke arah kebaikan kerana masa kembalinya kita kepada Tuhan tidak kita tahu ..bahkan di mana , jam berapa pun tidak mampu untuk kita bongkar.Seharusnya kita dalam waktu ini perlulah mendalami ilmu agama dengan semampunya agar ketakwaan dan lembaran keimanan mampu kita akarkan di dalam hati kita.Mahu tidak mahu, cara ini adalah petua yang penulis rasakan sangat perlu diutamakan dalam pembinaan jati diri sebenar seorang muslim itu sendiri.Percayalah bila kita sudah berhubung baik dengan Allah SWT , maka secara tidak langsung hubungan kita dengan makhluk Allah SWT yang lain dapat dilestarikan dengan sebaiknya yang mampu mengundang redha dariNya.InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment

PerJaLaNaN HiDuP iNi

PerJaLaNaN HiDuP iNi
Dalam jauh sebuah perjalanan,Allah amanahkan sebuah perjuangan,terimalah dengan kekuatan,kadang-kadang sakit yang mendatang,kadang-kadang teman tak sehaluan,namun itulah ujian mencari iman yang teguh,moga terus bersabar di jalanNya

Muhasabah buat semua

"Walau jauh kita pergi, ingatlah kita pernah di tarbiah dan TARBIAH tidak akan berhenti dan berakhir . Walau sesibuk manapun kita, jangan kita lupa tanggungjawab MUSLIM yang pasti akan ditanya kelak.Walau sebebas manapun kita, jangan kita lupa kita adalah MAKHLUK yang pastinya adalah milik Allah".-peringatan juga buat diriku.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails