Thursday, October 27, 2011

Konvensyen Keluarga Melayu Muslim 2011

Salam w.b.t.
Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia, Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda.Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana kasih dan sayangNya, dapatlah entri berikutnya dilakar lagi untuk dijadikan manfaat kepada para pembaca.InsyaAllah.Di kesempatan yang ada ini, saya ingin melafazkan rasa kesyukuran kepadaNya kerana memilih saya sebagai salah seorang peserta Konvensyen Keluarga Melayu Muslim 2011 yang telah diadakan di Dewan Auditorium D8, Parcel D, Presint 1,Putrajaya pada 23 Oktober 2011.Alhamdulillah.

         InsyaAllah akan saya kongsikan serba sedikit informasi yang telah saya perolehi sepanjang konvensyen ini berlangsung yang bertemakan ‘Membudayakan Perencanaan dalam Keluarga Melayu Muslim’.Konvensyen kali ini meletakkan beberapa objektif untuk dicapai bersama.Antaranya:
  1. Memberi pendedahan berkaitan isu semasa permasalahan keluarga Melayu Muslim masa kini.
  2. Menjelaskan kedudukan Melayu Muslim dari perspektif sejarah dan sosiologi.
  3. Menjelaskan kepentingan Keluarga Melayu Muslim serta hala tuju dalam menyumbang kepada keutuhan Masyarakat Malaysia.
  4. Memberi pendedahan metodologi kepada pembentukan sebuah keluarga Melayu Muslim yang berjati diri.


"Wahai orang-orang beriman, selamatkanlah dirimu dan keluargamu dari neraka, sedangkan bahan bakarnya adalah manusia dan batu...."
(At-Tahrim:6)

         Untuk pengetahuan pembaca, penganjuran konvensyen ini dianggap salah satu langkah pemulihan dan pembaikan ke arah yang lebih baik dengan meletakkan budaya perencanaan sebagai salah satu unsur utama dalam kejayaan sesebuah keluarga Melayu muslim abad ini.Melihat pada statistik yang dikeluarkan oleh JAKIM pada tahun 2009 cukup membimbangkan di mana kami diberitahu bahawa satu kes penceraian berlaku di kalangan pasangan suami isteri Islam di negara ini dalam tempoh setiap 15 minit.Percaya atau tidak inilah hakikat yang perlu kita hadapi dan perlu kita atasi.Statistik yang ditunjukkan bagi menilai kadar penceraian mengikut setiap negeri pada tahun 2008 pula jelas memaparkan bahawa terlalu ramai yang menghadapi krisis rumahtangga.Negeri Selangor mendahului dengan catatan sebanyak 3,558, diikuti Kedah 2,407 ,Johor 2,329 , Kelantan 2,266 dan Perak 1,951 kes.

         Ucaptama oleh Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman jelas mempunyai agenda untuk membawa hadirin melihat kembali dan membangun jati diri ummah dari asasnya.Pembangunan yang dimaksudkan bermula dari usaha membangunkan diri sendiri, seterusnya keluarga dan masyarakat khususnya.Hingga kini kita diperlihatkan dengan bencana yang menimpa sesetengah rumahtangga yang di mana didapati bahawa institusi kekeluargaan itu tidak berfungsi seperti yang dikehendaki dan gagal mengikut lunas-lunas Islam yang sepatutnya.

         Tambah beliau lagi, dalam peradaban Islam keluarga adalah sebahagian daripada profil seseorang.Setiap orang akan berbangga dengan identiti keluarga mereka kerana ia membawa identiti yang hebat yang diwarisi secara turun-temurun.Oleh sebab itu, perlulah setiap daripada kita menjuarai sifat-sifat unggul seperti yang telah dipertontonkan oleh nenek moyang kita yang terdahulu agar dapat diperturunkan sifat-sifat ini kepada generasi yang seterusnya.

          Jelas beliau lagi, Islam meletakkan perencanaan sesebuah keluarga pada wujudnya lelaki yang beriman, kuat dan soleh dan memahami tanggungjawab risalah agama Allah di atas muka bumi ini.Bermula daripada keluarga yang beriman inilah akan terlahirlah kabilah-kabilah dan bangsa-bangsa yang kemudian silih berganti memainkan peranan dalam mendaulatkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.
_________________________________ 


           Seterusnya, konvensyen diteruskan dengan ucapan oleh Prof. Dr. Badrulhisham Abd Aziz  dengan tajuk,'Peranan Bapa Sebagai Tonggak Keluarga Beragenda'.Menurut beliau, pemantapan jati diri anak-anak perlu diperkasakan untuk agama Allah kerana kita perlu buka mata bahawa saat ini , musuh Islam telah menguasai politik, ketenteraan , ekonomi dan pendidikan.InsyaAllah, selagi ada lagi muslim-muslim yang kuat keimanannya, berwawasan jauh dan bermatlamat tinggi, agama Islam ini akan tertegak di serata dunia.Terdapat beberapa ciri-ciri keluarga Muslim berjaya yang disenaraikan.Antaranya:
  1. Agenda keluarga yang jelas untuk melahirkan modal insan.
  2. Sakinah(ketenangan)
  3. Mawaddah(kasih sayang)
  4. Rahmah
        Beliau juga menyatakan rahsia hidup dan kebangkitan bangsa yang sebenar.Baginya, lelaki (rijjal) adalah rahsia hidup sesebuah bangsa dan menjadi faktor utama yang menentukan kebangkitan mereka.Sirah manusia sebenarnya adalah sejarah kelahiran lelaki-lelaki yang berketerampilan dan memiliki jiwa serta kemahuan yang tinggi dalam menuntut ketamadunan bangsanya.Tambah beliau lagi, kekuatan dan kelemahan sesebuah bangsa juga diukur dengan melihat sejauh mana bangsa ini mampu melahirkan lelaki yang kuat dan hebat.

         Terdapat juga beberapa tips yang beliau kongsikan khasnya buat para suami/ lelaki yang mengimpikan keluarga/ummah yang beragenda.Antaranya:

  1. Perancangan mendirikan rumahtangga perlu berobjektif dan bermatlamat.
  2. Perlu menambah ilmu dan kuat iltizam untuk menjadi contoh terbaik.
  3. Memilih calon isteri yang mempunyai pegangan agama.
  4. Mendidik isteri berkenaan agenda Islam, dan mengamalkan kesederhanaan dalam menjalani kehidupan dunia.
  5. Mendidik anak-anak mengikut cara Islam dan sentiasa memberi perhatian kepada anak-anak.
  6. Membudayakan amalan syurga serta menjadi pendengar yang baik.
Syeikh Mustafa Masyhur ada mengatakan :

"Untuk itu, para pemuda dan pemudi Islam harus dan patut bersungguh-sungguh serta bersegera membangun rumahtangga Muslim teladan yang mampu menjadi model keluarga Islam sejati...juga untuk menjadi contoh teladan bagi generasi baru.Itulah salah satu langkah penting dan mendasar di jalan dakwah Islamiah".

       


_______________________________

Resolusi yang ingin dicapai daripada konvensyen ini adalah seperti berikut:
  1. Institusi keluarga merupakan asas penting dalam membina keluarga Muslim.
  2. Keluarga(ibu bapa) perlulah merancang program tarbiah anak-anak agar mereka mendapat pentarbiahan yang berterusan.
  3. Keluarga perlu mengurus hal ehwal keewangan dengan terancang.
  4. Bapa sebagai tonggak keluarga harus terlibat secara keseluruhan dan komited dalam memastikan pendidikan isteri dan anak-anak diberi secara berterusan.Selain pendidikan, nilai , akhlak dan keperluan mereka juga perlu dititikberatkan.
  5. Mewujudkan dasar mewajibkan agensi kerajaan dan swasta untuk mengadakan program pembangunan keluarga.
  6. Media juga perlu melebihkan paparan keluarga Melayu Muslim dalam usaha merancang perubahan mereka ke arah pembentukan keluarga yanng cemerlang dan diredhai oleh Allah SWT.
Sekian sahaja untuk entri hari ini.Jam di dinding tepat menunjukkan jam 1.oo pagi.Saya perlu bangun esok untuk melaksanakan tugas sebagai seorang pelajar.Doa saya, semoga kita semua sentiasa berada dalam lindungan rahmatNya.Semoga apa yang tertulis ini, jika tidak dapat dilaksanakan secara mendadak, berusahalah untuk mencapainya berperingkat-peringkat.Saya juga mengingatkan diri ini.Seperti biasa saya suka mengingatkan...kehidupan yang sebenar adalah kehidupan yang mengkhendaki kita untuk berjuang kuat demi agama tercinta iaitu agama Islam.Renung-renungkan dan selamat beramal.




No comments:

Post a Comment

PerJaLaNaN HiDuP iNi

PerJaLaNaN HiDuP iNi
Dalam jauh sebuah perjalanan,Allah amanahkan sebuah perjuangan,terimalah dengan kekuatan,kadang-kadang sakit yang mendatang,kadang-kadang teman tak sehaluan,namun itulah ujian mencari iman yang teguh,moga terus bersabar di jalanNya

Muhasabah buat semua

"Walau jauh kita pergi, ingatlah kita pernah di tarbiah dan TARBIAH tidak akan berhenti dan berakhir . Walau sesibuk manapun kita, jangan kita lupa tanggungjawab MUSLIM yang pasti akan ditanya kelak.Walau sebebas manapun kita, jangan kita lupa kita adalah MAKHLUK yang pastinya adalah milik Allah".-peringatan juga buat diriku.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails