Sunday, October 30, 2011

Jom Reformasi Diri

Salam w.b.t.
Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia, Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda.Setinggi-tinggi kesyukuran saya rafa'akan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnianya dapatlah saya bertinta kembali pada hari ini.Di tengah kelesuan memerhati kehidupan manusia sekeliling, saya cuba ambil iktibar dan memanifestasikan rasa kehambahaan sebagai seorang hamba kepada  Allah SWT.Subhanallah memang saya amat bersyukur melihat keadaan fantasi di pentas dunia yang di mana dari situ saya belajar memahami erti kasih sayang, erti cinta , suka duka, dan yang penting erti penghambaan seorang hamba yang hina kepada Pencipta Yang Maha Esa.

            Sebenarnya saya baru habis membedah sebuah buku karangan saudara Hilal Asyraf yang bertajuk "FANZURU".Melalui buku ini banyak benda yang boleh diambil pengajaran sebagai bekal pemuda dan pemudi yang melaksanakan tugas dai'e saat ini.Kiranya buku ini boleh menjadi penyumbang ke arah kekuatan seseorang yang ditimpa kebuntuan dalam perjalanan menuju Tuhan.Untuk hari ini, izinkan saya berkongsi kepada para pembaca satu tajuk di dalam buku ini yang menyentuh sanubari hati agar melihat isu ini benar-benar dengan mata hati.Tajuk yang dimaksudkan adalah "Mulakan Dengan Reformasi Diri".

            Sehingga hari ini, kita banyak diperlihatkan tentang masalah umat Islam yang semakin bercelaru jika kita memikirkannya dalam jangka masa yang panjang.Contoh mudah yang dapat kita lihat seperti isu permasalahan Palestin.Mahu tidak mahu, sebenarnya kitalah generasi yang perlu berhadapan dengan situasi ini dan jika difikir secara logika, tiada cara lain untuk menyelesaikan masalah umat hari ini melainkan dengan melakukan reformasi terhadap diri kita sendiri.

Islah nafsak.....!islah nafsak.....!islah nafsak....!
(perbaiki diri.....!perbaiki diri....!perbaiki diri.....!)

          Jika kita perhatikan sejenak, jelas diperlihatkan bahawa orang Islam dan Islam kian terpinggir dan terhimpit di dalam dunia yang luas.Kita telah dipermainkan dengan agenda musuh-musuh Allah yang sememangnya mendeklarasikan perang ke atas Islam.Lihatlah hari ini,Palestin masih dijajah.Umat Islam dilabel sebagai pengganas walaupun sudah jelas peristiwa 11 September bukan perbuatan umat Islam.

        Dalam merentasi hinaan demi hinaan ini, kita umat Islam menuding jari kepada Amerika Syarikat.Kita menuding jari kepada Israel.Kita menuding jari kepada Eropah.Kita menuding jari kepada musuh-musuh Allah.Saya berpendapat bahawa tidak perlulah menuding jari kepada mereka , tetapi perlulah diketahui bahawa salahnya adalah kita.Kerana kita, imej dan wadah ummah kian runtuh...kerana kita juga imej dan wadah juga mampu untuk gah kembali.Semua terletak pada diri setiap individu itu sendiri.Anggaplah musuh-musuh Islam itu sebagai ujian dan cubaan buat kita dalam menghadapi liku-liku keimanan kepada Allah.

         Adakah kejatuhan khilafah dahulu adalah disebabkan oleh pemimpin yang tidak baik ketika itu?Sedarlah.Pemimpin yang baik sahaja tidak mencukupi jika rakyat tidak berusaha untuk menjadi baik juga.Pernah sekali , Saiyidina Ali ditanya oleh seorang rakyatnya, 

"Wahai Amirul Mukminin, kenapa rakyat pada zaman Uthman baik-baik, manakala rakyat pada zaman engkau rosak-rosak?"Dia bertanya untuk memperesndakan pemerintahan Sayidina Ali.

Saiyidina Ali yang bijaksana menjawab ringkas,

"Kerana rakyat pada zaman Uthman adalah seperti aku dan rakyat pada zaman aku adalah seperti kamu."

            Melihat keadaan ini...marilah kita lihat kembali diri kita.Adakah kita telah melaksanakan Islam secara total dalam kehidupan kita?Bagaimana kita bergerak menuju Allah dalam kehidupan kita?Di manakah kita meletakkan Islam dalam kehidupan kita?Bagaimana hubungan kita dengan Pencipta kita?Sehingga ke tahap mana kita hendak redha dengan penghinaan ke atas agama Allah pada hari ini?

           Maka, jika jarang-jarang soalan ini berlingkar dalam kotak fikiran kita.Ayuh , mulakan dengan kembali reformasi diri ke arah pembaikan diri yang sebenar.Ketahuilah , bahawasanya kita semua punya saham atas jatuh bangun umat ini.Hakikatnya, kunci kemenangan adalah pada kita.Bergeraklah memperbaiki diri.Hidupkan kembali hati dan jiwa kita.Kita ambil semula Islam,dan terjemahkannya dalam kehidupan kita.

Thursday, October 27, 2011

Konvensyen Keluarga Melayu Muslim 2011

Salam w.b.t.
Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia, Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda.Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana kasih dan sayangNya, dapatlah entri berikutnya dilakar lagi untuk dijadikan manfaat kepada para pembaca.InsyaAllah.Di kesempatan yang ada ini, saya ingin melafazkan rasa kesyukuran kepadaNya kerana memilih saya sebagai salah seorang peserta Konvensyen Keluarga Melayu Muslim 2011 yang telah diadakan di Dewan Auditorium D8, Parcel D, Presint 1,Putrajaya pada 23 Oktober 2011.Alhamdulillah.

         InsyaAllah akan saya kongsikan serba sedikit informasi yang telah saya perolehi sepanjang konvensyen ini berlangsung yang bertemakan ‘Membudayakan Perencanaan dalam Keluarga Melayu Muslim’.Konvensyen kali ini meletakkan beberapa objektif untuk dicapai bersama.Antaranya:
  1. Memberi pendedahan berkaitan isu semasa permasalahan keluarga Melayu Muslim masa kini.
  2. Menjelaskan kedudukan Melayu Muslim dari perspektif sejarah dan sosiologi.
  3. Menjelaskan kepentingan Keluarga Melayu Muslim serta hala tuju dalam menyumbang kepada keutuhan Masyarakat Malaysia.
  4. Memberi pendedahan metodologi kepada pembentukan sebuah keluarga Melayu Muslim yang berjati diri.


"Wahai orang-orang beriman, selamatkanlah dirimu dan keluargamu dari neraka, sedangkan bahan bakarnya adalah manusia dan batu...."
(At-Tahrim:6)

         Untuk pengetahuan pembaca, penganjuran konvensyen ini dianggap salah satu langkah pemulihan dan pembaikan ke arah yang lebih baik dengan meletakkan budaya perencanaan sebagai salah satu unsur utama dalam kejayaan sesebuah keluarga Melayu muslim abad ini.Melihat pada statistik yang dikeluarkan oleh JAKIM pada tahun 2009 cukup membimbangkan di mana kami diberitahu bahawa satu kes penceraian berlaku di kalangan pasangan suami isteri Islam di negara ini dalam tempoh setiap 15 minit.Percaya atau tidak inilah hakikat yang perlu kita hadapi dan perlu kita atasi.Statistik yang ditunjukkan bagi menilai kadar penceraian mengikut setiap negeri pada tahun 2008 pula jelas memaparkan bahawa terlalu ramai yang menghadapi krisis rumahtangga.Negeri Selangor mendahului dengan catatan sebanyak 3,558, diikuti Kedah 2,407 ,Johor 2,329 , Kelantan 2,266 dan Perak 1,951 kes.

         Ucaptama oleh Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman jelas mempunyai agenda untuk membawa hadirin melihat kembali dan membangun jati diri ummah dari asasnya.Pembangunan yang dimaksudkan bermula dari usaha membangunkan diri sendiri, seterusnya keluarga dan masyarakat khususnya.Hingga kini kita diperlihatkan dengan bencana yang menimpa sesetengah rumahtangga yang di mana didapati bahawa institusi kekeluargaan itu tidak berfungsi seperti yang dikehendaki dan gagal mengikut lunas-lunas Islam yang sepatutnya.

         Tambah beliau lagi, dalam peradaban Islam keluarga adalah sebahagian daripada profil seseorang.Setiap orang akan berbangga dengan identiti keluarga mereka kerana ia membawa identiti yang hebat yang diwarisi secara turun-temurun.Oleh sebab itu, perlulah setiap daripada kita menjuarai sifat-sifat unggul seperti yang telah dipertontonkan oleh nenek moyang kita yang terdahulu agar dapat diperturunkan sifat-sifat ini kepada generasi yang seterusnya.

          Jelas beliau lagi, Islam meletakkan perencanaan sesebuah keluarga pada wujudnya lelaki yang beriman, kuat dan soleh dan memahami tanggungjawab risalah agama Allah di atas muka bumi ini.Bermula daripada keluarga yang beriman inilah akan terlahirlah kabilah-kabilah dan bangsa-bangsa yang kemudian silih berganti memainkan peranan dalam mendaulatkan kalimah Allah di atas muka bumi ini.
_________________________________ 


           Seterusnya, konvensyen diteruskan dengan ucapan oleh Prof. Dr. Badrulhisham Abd Aziz  dengan tajuk,'Peranan Bapa Sebagai Tonggak Keluarga Beragenda'.Menurut beliau, pemantapan jati diri anak-anak perlu diperkasakan untuk agama Allah kerana kita perlu buka mata bahawa saat ini , musuh Islam telah menguasai politik, ketenteraan , ekonomi dan pendidikan.InsyaAllah, selagi ada lagi muslim-muslim yang kuat keimanannya, berwawasan jauh dan bermatlamat tinggi, agama Islam ini akan tertegak di serata dunia.Terdapat beberapa ciri-ciri keluarga Muslim berjaya yang disenaraikan.Antaranya:
  1. Agenda keluarga yang jelas untuk melahirkan modal insan.
  2. Sakinah(ketenangan)
  3. Mawaddah(kasih sayang)
  4. Rahmah
        Beliau juga menyatakan rahsia hidup dan kebangkitan bangsa yang sebenar.Baginya, lelaki (rijjal) adalah rahsia hidup sesebuah bangsa dan menjadi faktor utama yang menentukan kebangkitan mereka.Sirah manusia sebenarnya adalah sejarah kelahiran lelaki-lelaki yang berketerampilan dan memiliki jiwa serta kemahuan yang tinggi dalam menuntut ketamadunan bangsanya.Tambah beliau lagi, kekuatan dan kelemahan sesebuah bangsa juga diukur dengan melihat sejauh mana bangsa ini mampu melahirkan lelaki yang kuat dan hebat.

         Terdapat juga beberapa tips yang beliau kongsikan khasnya buat para suami/ lelaki yang mengimpikan keluarga/ummah yang beragenda.Antaranya:

  1. Perancangan mendirikan rumahtangga perlu berobjektif dan bermatlamat.
  2. Perlu menambah ilmu dan kuat iltizam untuk menjadi contoh terbaik.
  3. Memilih calon isteri yang mempunyai pegangan agama.
  4. Mendidik isteri berkenaan agenda Islam, dan mengamalkan kesederhanaan dalam menjalani kehidupan dunia.
  5. Mendidik anak-anak mengikut cara Islam dan sentiasa memberi perhatian kepada anak-anak.
  6. Membudayakan amalan syurga serta menjadi pendengar yang baik.
Syeikh Mustafa Masyhur ada mengatakan :

"Untuk itu, para pemuda dan pemudi Islam harus dan patut bersungguh-sungguh serta bersegera membangun rumahtangga Muslim teladan yang mampu menjadi model keluarga Islam sejati...juga untuk menjadi contoh teladan bagi generasi baru.Itulah salah satu langkah penting dan mendasar di jalan dakwah Islamiah".

       


_______________________________

Resolusi yang ingin dicapai daripada konvensyen ini adalah seperti berikut:
  1. Institusi keluarga merupakan asas penting dalam membina keluarga Muslim.
  2. Keluarga(ibu bapa) perlulah merancang program tarbiah anak-anak agar mereka mendapat pentarbiahan yang berterusan.
  3. Keluarga perlu mengurus hal ehwal keewangan dengan terancang.
  4. Bapa sebagai tonggak keluarga harus terlibat secara keseluruhan dan komited dalam memastikan pendidikan isteri dan anak-anak diberi secara berterusan.Selain pendidikan, nilai , akhlak dan keperluan mereka juga perlu dititikberatkan.
  5. Mewujudkan dasar mewajibkan agensi kerajaan dan swasta untuk mengadakan program pembangunan keluarga.
  6. Media juga perlu melebihkan paparan keluarga Melayu Muslim dalam usaha merancang perubahan mereka ke arah pembentukan keluarga yanng cemerlang dan diredhai oleh Allah SWT.
Sekian sahaja untuk entri hari ini.Jam di dinding tepat menunjukkan jam 1.oo pagi.Saya perlu bangun esok untuk melaksanakan tugas sebagai seorang pelajar.Doa saya, semoga kita semua sentiasa berada dalam lindungan rahmatNya.Semoga apa yang tertulis ini, jika tidak dapat dilaksanakan secara mendadak, berusahalah untuk mencapainya berperingkat-peringkat.Saya juga mengingatkan diri ini.Seperti biasa saya suka mengingatkan...kehidupan yang sebenar adalah kehidupan yang mengkhendaki kita untuk berjuang kuat demi agama tercinta iaitu agama Islam.Renung-renungkan dan selamat beramal.




Wednesday, October 26, 2011

Sekitar HIMPUN


Salam w.b.t.Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia, Rasulullah SAW , ahli keluarga dan sahabat handai Baginda.Setinggi-tinggi kesyukuran saya rafa'akan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnianya dapatlah saya menaip kembali bait-bait seruan keazaman memartabatkan Islam yang saya rasa perlu dikongsikan kepada para pembaca.

           Alhamdulillah...akhirnya saya berpeluang mengikut ISMA Melaka bersama pelajar-pelajar dari Melaka Manipal Medical College dan beberapa lagi pelajar dari KUIM untuk hadir bersama-sama ke HIMPUN yang diadakan di Stadium Shah Alam pada 22 Oktober 2011 iaitu pada hari Sabtu.Sesuatu yang mengujakan saya apabila saya dapat melihat dan menilai sendiri matlamat dan objektif yang mahu dicapai melalui HIMPUN ini.Pada mulanya, sebelum pergi ke sana , ramai yang menghalang kerana takut akan berlakunya rusuhan.Sejujurnya, selepas hadir ke sana, saya menerima pencerahan pandangan saya berkenaan HIMPUN.

          Untuk pengetahuan para pembaca, ada kisah disebalik HIMPUN ini diadakan.Hal ini berikutan rentetan daripada pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) ke atas majlis Thanksgiving Dinner yang diadakan oleh Gereja Methodist Damansara Utama pada awal Ogos lepas.Melalui pemeriksaan ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mengeluarkan titah dan melahirkan rasa amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan aqidah orang Islam di negeri Selangor itu.Pensyarah UIAM , Profesor Dr. Abdul Aziz Bari yang memberi komen tentang kewajaran titah Sultan Selangor itu telah dikelar hebat oleh banyak pihak dan terbaru beliau telah dipanggil oleh polis untuk disoalsiasat.Berikutan peristiwa ini , dikatakan hampir 1000 pertubuhan bukan kerajaan turun padang untuk menyokong usaha menyelamatkan aqidah umat Islam.

         Sememangnya jika saya lihat secara penglihatan kasar, benar...memang benar jumlah orang Islam  yang hadir tidak seperti yang mereka katakan pada awalnya.Tetapi pada saya, saya percaya keyakinan dan sokongan padu mereka yang sedikit ini mampu menghalang usaha ke arah memurtadkan orang Islam.Saya yakin , mereka yang hadir pada hari tersebut adalah mereka yang masih mengambil tahu tentang sensitiviti orang Islam dan mereka yang tidak hadir pula bukanlah bermakna mereka tidak menyokong usaha ini , tetapi pada masa yang sama juga mereka mendoakan dari jauh agar perjalanan program ini dipermudahkan.

Kata Imam Syahid Hassan Al-Banna:"Andai Islam spt sebuah bngunan yg hampir roboh, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda, aku tidak ingin mengutip dgn ramai bilangan mereka, tapi aku inginkan hati-hati yg ikhlas utk membantuku mbina kembali bngunan usang itu menjadi sebuah bngunan yg tesergam indah."
_____________________________________________


          Baru pagi tadi saya menjengah ke beberapa laman blog saudara seIslam, banyak yang menjadikan deklarasi HIMPUN ini sebagai entri terbaru mereka.Tidak kurang juga ada yang mengatakan bahawa HIMPUN ini tidak akan berjaya walau dihimpunkan berjuta-juta orang pun sekiranya aqidah dalam jiwa dan hati mereka itu sendiri(mereka yang hadir) belum tertegak kukuh.

         Saya sangat-sangat terpukul dengan kata-katanya.Pada saya, jika kita benar-benar faham kejadian insan yang diciptakan oleh Allah itu benar-benar sempurna, kita perlu memahami maksud kesempurnaan itu.Seharusnya anugerah kesempurnaan yang  diberikan Allah kepada kita yang bergelar hamba menjadikan kita faham erti kehambaan yang seikhlasnya hanya kepada Allah semata.Perkataan hamba itu sebenarnya mengingatkan kita ini tiada apa-apa, dan lantaran itu terkadang kita mudah lupa dan hanyut dalam buaian dunia.Itulah manusia, imannya boleh bertambah dan berkurang.Sebab itu kita berharap sepenuh pergantungan pada Allah dan berikhtiar semampunya agar kita sentiasa dilindungi olehNya.

         Samala juga jika saya katakan aqidah seseorang itu juga perlu didik dan diajar agar seseorang yang beraqidah dapat dilahirkan.Kami yang hadir dalam HIMPUN ini pun tak mampu menilai setinggi mana aqidah kami, yang dapat menilainya adalah Allah.Kehadiran kami ke HIMPUN sebagai bukti di hadapan Allah bahawa kami berusaha dan berikhtiar  untuk memperbaiki kelemahan diri dan menyokong segala usaha dalam menyekat kuasa pihak tertentu yang tidak pernah putus asa dalam melaksanakan agenda memurtadkan orang Islam.Hal ini kerana kami sayang dan cintakan agama Allah.Penyekatan yang dilakukan bukanlah beerti kami inginkan rusuhan, tetapi kami mahu suara kebangkitan menghalang isu murtad ini didengar dan seterusnya diambil tindakan oleh pihak tertentu sebagai tanda menghormati hak-hak dan keistimewaan orang Melayu itu sendiri.

Dalam soal ini, kelompok itu perlu diperingatkan mengenai firman Allah SWT dalam surah Al-Mukminun ayat 52-54 yang bermaksud; Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu - agama yang satu (asas pokoknya) dan Akulah Tuhan kamu, maka bertakwalah kamu kepada-Ku. Kemudian mereka menjadikan agama mereka berpecah-belah kepada beberapa aliran, setiap golongan bergembira dengan apa yang ada pada mereka. Maka biarkanlah mereka tenggelam dalam kesesatan itu sehingga ke sesuatu masa.''
______________________________________

Berikut merupakan 10 deklarasi yang dikemukakan :
  1.  Menyeru agar semua pihak menghormati dan mendokong peranan Raja-raja Melayu untuk melaksanakan amanah sebagai ketua dan payung kepada pentadbiran Islam di Negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh negeri.
  2. Kerajaan yang memerintah baik diperingkat pusat mahupun negeri mestilah memastikan bahawa sensitiviti yang tertinggi di dalam Islam dan perlembagaan sebagai pedoman yang tertinggi di dalam Negara ini dihormati. Sebarang bentuk pelanggaran termasuk menghina dan mencabar kedudukan Islam hendaklah dihukum berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.
  3. Menuntut supaya kerajaan dalam usaha memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri hendaklah memastikan supaya UNDANG-UNDANG PENCEGAHAN yang tegas dan kukuh untuk memelihara kemuliaan Islam di dalam perlembagaan dapat dimasukkan sebagai kandungan utama.
  4.  Menuntut supaya KERAJAAN mengambil langkah segera menggubal undang-undang khusus untuk mencegah dan membendung gejala murtad dan kegiatan memurtadkan umat Islam selaras dengan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.
  5. Menuntut agar sistem pendidikan Negara disemak semula untuk memastikan tidak ada unsur yang boleh mendedahkan pelajar kepada penghakisan aqidah. Kami menggesa pihak KEMENTERIAN PELAJARAN DAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada Aqidah Tauhid dan penerapan aqidah yang berkesan kepada pelajar-pelajar.
  6.  Meminta kerajaan supaya mengadakan program-program penerangan yang menyeluruh dan berkesan di setiap saluran supaya masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Negara kita dapat memahami Islam dan kedudukannya di dalam Negara untuk menghilangkan prasangka buruk dan kekeliruan terhadap Islam.
  7. Menyeru kepada seluruh pertubuhan politik dan bukan politik supaya meletakkan Islam sebagai agenda tertinggi dan utama melebihi kepentingan yang lain serta mengambil sikap yang serius terhadap sebarang usaha untuk mengganggu-gugat kesucian Islam.
  8.  Menyeru semua institusi dalam masyarakat terutamanya IBUBAPA mengambil tanggungjawab yang tegas di dalam mendidik anak-anak dengan kefahaman Islam yang syumul agar dapat membentengi anak dan waris terdekat daripada terjebak di dalam aktiviti pemesongan aqidah.
  9. Menggesa kerajaan supaya memantau dan mengawal aktiviti pihak media samada media cetak, media elektronik dan media baru. Sebarang bentuk penyiaran yang menyimpang dan menyentuh sensitiviti umat Islam dan keharmonian bernegara perlulah diambil tindakan yang tegas mengikut peruntukan undang-undang yang ada.
  10. Menyeru seluruh umat Islam yang hadir dalam perhimpunan ini mahupun yang tidak dapat hadir, melupakan segala perbedaan fahaman politik dan lain-lain hambatan untuk bersama-sama BERSATU menyongsong tugas berat mempertahan dan menyelamatkan aqidah umat daripada sebarang bentuk pencerobohan.
Walaupun kita berlainan parti , namun dalam hal-hal yang menyentuh sensitiviti orang Islam seperti yang pernah berlaku pada kisah Natrah, diharapkan kita bersatu hati agar kelestarian beragama dapat dicapai.Walau pun kita mempunyai berjuta wajah , diharapkan pada masa yang sama kita sentiasa kembali kepada keperibadian jati diri Islam yang sebenar dan berusaha mempertahankan identiti umat Islam agar tidak dicairkan sewenang-wenangnya oleh pihak yang tidak bertanggungjwab.Toleransi kepada agama ada batasnya .Sebab itulah kita perlu mempertahankannya.MANTAPKAN AQIDAH , SELAMATKAN UMMAH!!!

Wednesday, October 19, 2011

Sutera Kasih Kehidupan


Salam w.b.t
Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia , Rasulullah SAW, ahli keluarga dan sahabat handai Baginda.Alhamdulillah, ternyata kecintaan kepada Allah SWT , Pencipta Sekalian Alam mungkin tidak akan kita capai jika Rasulullah SAW tidak diutus ke dunia sebagai mentor terbaik ikutan sepanjang zaman. 



             Segala puji bagiMu, berkekalan, kesyukuran padaMu, berkekalan Ya Tuhanku.Alhamdulillah yang memberi kami hidayah, dan tidak kami mendapat petunjuk jika bukan kerana Allah, para Rasul yang membawa kebenaran.Allahumma lakal hamd…Allahumma lakal hamd…Allahumma lakal hamd.Ya Allah, terimalah daripada kami solat dan amalan kami, serta kami mengaku kekurangan kelemahan kedhaifan dan banyaknya kesalahan.Ya Allah, bangkitkan kami bersama Rasul termulia, serta mendapat syafaat daripada Junjungan Mulia, Rasulullah SAW pada masa bertemu denganMu Ya Allah.Ya Allah , hidupkan kami dalam iman,matikan kami dalam Islam dan Ihsan.

              Ya Allah maafkan saya kerana saya mudah lupa.Sungguh saya ingin memiliki keimanan seteguh Siti Khadijah, Sumaiyah , Ummu Imarah dan sesiapa sahaja yang telah banyak berkorban demi agama Allah.Terima kasih Ya Allah, kerana Engkau masih hadirkan sahabat-sahabat seperjuangan untuk memberi kekuatan kepada diri ini agar langkah ke arah perubahan diri dapat dicerna sekaligus menjadikan saya seorang hamba yang taat dan patuh dalam melaksanakan syariat Allah.

              Sudah lama tidak berpena di teratak ini.Di kesempatan yang ada, saya cuba untuk berkongsi pengalaman serta nasihat yang telah saya perolehi sepanjang program minggu lepas.Yang pastinya, ceritanya tidaklah terlalu panjang.Harapan saya, walaupun ia sekadar kisah pendek berkenaan diri saya, moga-moga pengajarannya dapatlah dihayati bersama-sama.
____________________________________

15 Oktober 2011(Sabtu)

               Saya dan kakak saya pergi melawat adik-adik di Madrasah Arabiah Kluang, Johor.Pada  masa yang sama juga, tujuan kami ke sana kerana memenuhi jemputan walid di madrasah tersebut untuk menghadiri majlis, “Majlis Mahabbah Rasulullah SAW oleh Syeikh Dr. Mahmud Al-Husaini dari Madinatul Munawwarah”.Sangat tenang melihat adik-adik perempuan yang bertudung labuh dan adik-adik lelaki yang memakai serban.Subhanallah, tidak saya nafikan suasana tarbiah di sana sangat-sangat membantu adik-adik ini dalam membentuk jati diri mereka sebagai seorang mukmin yang sejati.Di bibir mereka tidak lekang dari berzikir kepada Allah dan selawat kepada Rasulullah SAW…dan saat saya menulis ini, masih lagi terasa aura ketenangan itu.Benarlah dikatakan dengan mengingati Allah , hati-hati akan menjadi tenang.

               Untuk pengetahuan pembaca, sekolah ini merupakan salah satu sekolah di Johor yang benar-benar dijaga oleh Sultan Johor.Pernah suatu ketika dahulu, pihak kerajaan mahu menjadikan sekolah ini bernaung di bawahnya, maka ketika itu juga Sultan Johor tidak membenarkan kerana mahu menjaga adab-adab antara pelajar lelaki dan perempuan dan mahu sekolah ini mendidik para pelajar dengan kalam Allah tidak seperti yang berlaku dikebanyakan sekolah.Kiranya segala-galanya memang dijaga.Hinggakan jika ada seorang wakil pelajar lelaki yang mahu berjumpa dengan wakil pelajar perempuan pun, mereka dilatih untuk bercakap bertabir tanpa melihat wajah sesama mereka.Sejujurnya keadaan sekolah ini tidaklah terlalu mewah seperti SBP atau MRSM yang juga melahirkan pelajar-pelajar yang berkaliber dan berketerampilan…dan jika boleh saya katakan di sini, sungguhpun sekolah ini seperti pondok buruk, tetapi dengan kehadiran pelajar-pelajar yang berusaha mendekati Allah, maka suasana tenang dan jauh dari memikirkan hal-hal keduniaan akan dirasakan bagi sesiapa sahaja yang berada di situ.Saya juga tidak kecuali dari merasakan kenikmatan ketenangan itu.Baru-baru ini juga seramai 10 orang pelajar lelaki tingkatan 1 dipilih untuk mempelajari ilmu perubatan.Seawal dari tingkatan 1, mereka ini dididik dengan ilmu berkenaan fiqh perubatan dan sains, biologi, fizik, dan kimia juga diajarkan.Mereka juga perlu menghafaz 30 juzuk Al-Quran dan menjadikan tokoh-tokoh perubatan Islam terdahulu seperti Al-Huarizmi dan Ibnu Sina sebagai ikutan.Doa saya, moga-moga suatu hari nanti madrasah ini mampu berkembang maju menjadi kolej seterusnya mampu diiktiraf sebagai salah sebuah universiti terunggul di Malaysia.InsyaAllah.

              Berbalik kepada Syeikh Dr. Mahmud Al-Husaini.Syeikh ini sebenarnya adalah dari keturunan Rasulullah SAW.Syeikh ini mengatakan , dalam menghadapi situasi akhir zaman, inilah salah satu cara yang unggul yang boleh dilakukan iaitu membacakan serta menerangkan hadis-hadis Nabi Rasulullah SAW juga menceritakan keistimewaan yang dimiliki oleh Baginda Rasulullah SAW kepada anak-anak didik di madrasah ini .Bagi syeikh ini, virus tsunami zalim(budaya yang tidak menepati aturan Islam/hiburan yang TERLALU melalaikan dari golongan yahudi)  kian mudah menular dalam kalangan masyarakat kita.Contoh terdekat dengan kanak-kanak ataupun remaja ialah hiburan dan yang memberi impak yang paling besar dalam pembentukkan sahsiah seseorang adalah media itu sendiri.Hal ini sememangnya tidak dapat dinafikan.

                 Syeikh juga mengatakan bahawa hingga saat ini kita diperlihatkan perbagai ragam manusia.Ada manusia yang berjaya hingga ke peringkat PHD , tetapi sebenarnya mereka tidak berjaya.Ada manusia yang hidupnya suka berlebih-lebihan dalam sesuatu perkara keduniaan, sedangkan akhirat yang bakal tiba tidak pernah diambil peduli walau sesaat.Ada manusia terlalu suka untuk menceritakan perbuatan buruk yang dilakukan oleh orang lain , tetapi tidak pernah menyingkap keburukan dirinya sendiri.Ada pemimpin yang ketika mana mereka memimpin terlalu mengejar sokongan orang bawahan atau rakyat untuk menyokong usahanya dalam memajukan sesuatu persatuan, tetapi mereka lupa matlamat utama mereka memimpin adalah bagaimana mahu membawa rakyat mengenal Allah SWT secara keseluruhannya, Tuhan Pencipta Sekalian Alam. Hal ini semuanya berlaku kerana manusia tidak mampu membezakan di antara cahaya dan zulmat.Jasad mereka hidup, tetapi sebenarnya mereka mati kerana dalam hatinya tidak banyak mengingat  Allah dan hubungan dengan Allah semakin hambar.

                 Selain daripada itu, Syeikh mengingatkan, bagi penuntut ilmu, barangsiapa yang ego dengan ilmunya, maka tiada gunanya dia keluar berdakwah.Seharusnya , bagi seorang penuntut ilmu, kita perlulah bersikap sopan dan sentiasa tawaduk walaupun ilmu kita melebihi yang lain.Bekalan terbaik kita adalah taqwa kerana Allah menilai seseorang itu pada ketaqwaannya bukan pada pangkat yang didapati ketika hidup di dunia.Tambahnya lagi, seseorang itu wajiblah berterusan mentalaah ilmu dan berterusan mengaji kerana penyakit manusia itu sentiasa pelupa.Ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu-ilmu yang bermanfaat seperti ilmu sanad/ ilmu hadis kerana ilmu-ilmu ini yang akan menemani kita semasa kita berada di alam kubur.
________________________________

16 Oktober 2011(Ahad)

                 Saya mengikut Dr. Lai ke Kempen Derma Darah yang diadakan Batu Pahat Mall.Seperti biasa , saya bertindak sebagai pelajar yang menjaga kaunter Haemoglobin dan Blood Grouping.Alhamdulillah , kali ini kami dapat mengumpulkan 200 lebih bag darah.Kuasa Allah kerana kebetulan Makmal Patologi Hospital Batu Pahat kekurangan darah untuk ditranfuse kepada pesakit.Saya melihat, ramai orang Cina hadir menderma darah berbanding orang Melayu.Pada saya , orang Cina mengamalkan pemakanan yang seimbang dalam kehidupan mereka, sebab itu mereka tidak mudah sakit.Mereka lebih tahu kebaikan menderma darah ini dan mengapa mereka perlu menderma.Orang Melayu pula, bila diajak menderma darah, sesetengahnya lebih rela menyimpan darah lama dalam badan sebab takut kena cucuk.Alahai…orang Melayu;-(
__________________________________

17 Oktober 2011(Isnin)

Ketika itu saya sedang melakukan test ‘Urine FEME’ di Lab Haematologi.Tiba-tiba phone yang berbunyi di lab di angkat oleh seorang staf.Tiba-tiba nama saya dipanggil dan saya diberitahu:

“Diyanah , sila pergi ke A&E (Jabatan Kecemasan dan Trauma) sekarang kerana mak anda berada di bahagian kecemasan.Arahan tegas dari MA yang bertugas.”

Saat itu, saya terkejut mendengar berita itu lantas saya bergegas mendapatkan ummi saya di wad kecemasan.Saya tahu kebelakangan ini, ummi nampak letih.Ummi mudah batuk-batuk dan sukar tidur malam.Saya tahu ummi terlalu memikirkan masalah keluarga.Angah harap ummi kuat dan tabah mengharungi ujian ini.Cukuplah ummi tahu bahawa akak akan sentiasa berada di sisi ummi abila akak sudah memulakan kerjaya sebagai MLT nanti.Langkahan semakin laju ke arah ummi dan sebaik sahaja melihat ummi duduk di atas kerusi roda, hati akak rasa sayu sangat.Akak terus memeluk ummi.Alhamdulillah , kini ummi beransur pulih dan akak dapat kembali melihat ummi tersenyum.Syukur Ya Allah.
__________________________________

18 Oktober 2011(Selasa)

                Terlihat satu situasi yang membuatkan saya kagum.Ketika saya dalam perjalanan pulang ke rumah, kelihatan seorang nenek tua cina yang bongkok menyorong basikal ke arah stesen minyak.Sangkaan saya ketika itu nenek itu mahu berehat sebentar di situ memandangkan cuaca agak terik ketika itu.Saat kejadian ini berlaku, saya berada di dalam kereta dan sedang menunggu trafic light kembali hijau.Tanpa diduga, kelihatan seorang pemudi cina keluar dari kereta Mazda lalu memberi duit kepada nenek tua itu.Sungguh…saat itu saya berkata dengan diri saya sendiri, “Mengapa tidak aku yang membantu nenek tua itu, sedang dari tadi aku asyik memandangnya…Ya Allah maafkan aku.”Terasa saya masih perlu memperbaiki diri dengan mendidik diri untuk lebih ambil berat terhadap kesusahan orang lain.
____________________________________

19 Oktober 2011(Rabu)

Pagi tadi dalam perjalanan menuju ke hospital, kelihatan seorang bapa berbangsa Melayu memukul dan membelasah anak lelakinya yang tidak mahu ke sekolah.Kejadian ini berlaku betul-betul depan sekolah rendah itu(sekolah anak lelaki tersebut).Naluri saya kuat menyatakan bahawa mungkin ada sebab mengapa anak itu tidak mahu ke sekolah. Tolonglah faham wahai BAPA!!!.Bukan begitu caranya mendidik anak!!!Terkadang saya melihat perlakuan orang bukan Islam , saya melihat mereka lebih mementingkan hubungan kekeluargaan dan amat mengambil berat berkenaan isu-isu kemanusiaan, sedangkan umat Islam sendiri kurang faham istilah Islam pada dirinya dengan hanya menjadikan Islam pada nama tetapi bukan pada jiwa dan roh mereka.

              Sekian sahaja cerita yang ingin saya kongsikan pada kali ini.Moga-moga kita mendapat manfaat bersama.Yang baik dijadikan tauladan dan yang buruk dijadikan sempadan.Semoga kita semoga sentiasa berada di dalam lindungan rahmat Ilahi.InsyaAllah.

Life is struggle, accept it
God give us grace to accept with serenity the things that cannot be changed, courage to change the things which should be changed and the wisdom to distinguish the one from the other.


Monday, October 10, 2011

Kita Lupa



Salam w.b.t
Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia , Rasulullah SAW, ahli keluarga dan sahabat handai Baginda.Alhamdulillah...hingga kini Allah mengizinkan saya menukilkan lagi ungkapan nasihat yang boleh dijadikan iktibar kita bersama.

          Sedarkah kita bahawa segala yang ada di bumi ini adalah milikNya dan tiada yang layak menandingi kekuasaanNya.Doa saya, semoga kita semua sedar bahawa kehidupan ini tidak lain hanyalah sekadar ujian untuk kita yang bergelar hamba dalam menyediakan bekalan untuk bertemu denganNya kelak.Janganlah melebihkan urusan dunia semata tanpa menyediakan diri untuk berhadapan dengan urusan Allah kerana dari situ amal kita akan dihitung satu-persatu.Yang penting jangan pernah berputus harap dengan Allah.Yakinlah walaupun kita telah melakukan banyak perbuatan dosa, jangan ditangguhkan taubat kerana percayalah bahawa Allah itu bersifat dengan Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

Rasulullah bersabda , maksudnya:"Bertaqwalah kamu di mana sahaja berada, iringilah setiap perbuatan dosa dengan amalan kebaikan yang akan memadamkan dosa itu dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang terpuji.
"(Hadis riwayat At-Tirmizi)

         Apabila kita bercerita tentang seseorang yang baik , maka adakah kita benar-benar meyakini kebaikan yang telah beliau lakukan kepada kita.Boleh sahaja, di kaca mata seorang manusia, beliau dilihat seorang yang baik, tetapi tidak pada kaca mata Allah.Hal ini boleh sahaja terjadi apabila niat kita lari daripada tujuan asal.Semoga Allah menjaga hati kita dari berprasangka buruk kepada orang lain.

        Wahai sahabat-sahabat yang amat saya kasihi, marilah kita bersama-sama bermuhasabah kembali jika kita merasakan kita telah lari dari kehidupan yang sememangnya perlu menghambakan sepenuh diri kita kepada Allah SWT.Lihat sahaja pada contoh teladan terbaik yang ditunjukkan oleh Rasulullah kepada kita , sayangnya Baginda kepada kita umatnya dibuktikan apabila perkataan "ummatku" dilafazkan keluar dari mulut Baginda ketika wafat.Baginda telah meninggalkan 2 pusaka kepada kita yang InsyaAllah apabila kita berpegang teguh padanya selama-lamanya, kita tidak akan sesat.Dua pusaka yang dimaksudkan itu adalah Al-Quran dan As-Sunnah.Sedarkah kita jika selama ini kita lebih menyayangi dan menyanjungi artis-artis , pemain bola sepak  dan juga para pelakon yang jika kita teliti secara keseluruhannya mereka-mereka ini bukanlah dapat memberi syafaat kepada kita pada hari akhirat.Hakikatnya,  Baginda Rasulullah SAW yang akan memberi syafaat kepada kita pada hari perhitungan kelak.

        Pernah diriwayatkan dalam sebuah hadis di mana menceritakan berkenaan "Siapa hamba Allah yang mulia?"

Ketika itu Rasulullah SAW duduk bersama-sama sahabatnya , lalu Baginda menanyakan kepada sahabatnya:

"Wahai sahabatku, tahukah kalian siapakah hamba Allah yang paling Mulia di sisi Allah?"

Salah seorang dari sahabat berkata:

"Ya Rasulullah adakah malaikat itu hamba Allah yang paling mulia itu?"

Rasulullah SAW menjawab:

"Sudah tentu malaikat itu mulia, mereka dekat denganku dan sentiasa bertasbih kepadaku.Tetapi ada lagi hamba yang paling mulia."

Sahabat seterusnya berkata lagi:

"Jika begitu, adakah para Nabi yang merupakan insan yang paling mulia itu?"

Rasulullah SAW menjawab:

"Para Nabi itu utusan Allah dan menyebarkan syiar Islam kepada seluruh umat manusia, tentulah mereka mulia.Tetapi ada lagi hamba Allah yang paling Mulia."

Seorang sahabat bangun lalu mengatakan :

"Jika begitu, adakah kami ini yang bergelar sahabatmu adalah hamba yang paling mulia?"

Rasulullah SAW menjawab:

"Kalian sudah tentu mulia, kalian dekat dengan aku, kalian sentiasa bersama-samaku dalam berjuang di jalan Allah tidak kira dalam keadaan susah mahupun senang...semestinya kalian juga mulia.Tetapi ada lagi hamba Allah yang paling mulia."

Seorang sahabat bertanya lagi: 

"Jika begitu Ya Rasulullah, siapakah hamba Allah yang paling Mulia itu, bagitahulah kami Ya Rasulullah."


        Tidak semena-mena , tiba-tiba Baginda Rasulullah SAW menundukkan wajahnya ke bawah dan apabila mendongakkan kembali wajahnya ke arah sahabat-sahabat yang amat disayanginya, riak wajah Baginda kelihatan sedih.Lalu Baginda mengatakan:

"Tahukah kalian mereka yang PALING mulia itu adalah mereka yang hidupnya selepas wafatnya aku, mereka duduk jauh dariku tidak seperti kalian yang dapat merasakan hidup dekat denganku.Mereka tidak pernah melihat wajahku , tetapi mereka sentiasa taat kepada segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan Allah.Dan ketahuilah bahawa, saat ini aku juga benar-benar rindu kepada mereka, mereka itulah hamba Allah yang PALING mulia, mereka itulah ummatku."

_______________________________

          Oleh itu, marilah kita kembali merenung siapa sebenarnya diri kita.Sedarkah kita sebenarnya hanya insan hina yang pernah melakukan perbuatan dosa.Tetapi tahukah kita bahawa kitalah insan yang paling mulia yang disebutkan oleh Rasulullah dalam riwayat hadis di atas.Jadi , teruskanlah bertaubat dan janganlah pernah berputus asa dengan rahmat Allah.Sebagaimana Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya Allah Ta'ala kasih akan
hamba-Nya yang banyak bertaubat
dan kasih akan hamba-hamba-Nya yang menyucikan diri."
[Surah al-Baqarah : 222]



Saya juga mengingatkan juga diri ini.Sebelum berundur , sedikit perkongsian rasa yang saya merasakan terkadang perasaan itu hadir dalam diri kita tanpa kita sedari.Semoga sama-sama mendapat manfaatnya.InsyaAllah.


Kita bangga bila pakaian kita cantik dari yang lain...
Kita selesa bila kita berada di atas dari yang lain...
Kita teruja bila kita lebih berjaya dari yang lain...
Kita suka bila kita terima lebih dari yang lain...


Sedang kita lupa...


Mungkin pakaian itu tiada untuk yang lain,
tetapi rezeki pinjaman dari Allah untuk kita yang memilikinya...
Mungkin kedudukan itu bukan untuk yang lain,
tetapi rezeki pinjaman dari Allah untuk kita yang memilikinya...
Mungkin kejayaan itu belum untuk yang lain,
tetapi rezeki pinjaman dari Allah untuk kita yang dapat memilikinya...
Mungkin anugerah itu tidak untuk yang lain,
tetapi rezeki pinjaman dari Allah kepada kita...


Tidak salah untuk kita menikmati segala pemberianNya 
dengan tawa dan gembira


Namun...
Jangan sesekali dibiarkan orang yang lain berduka dan nestapa tanpa terbela...
(Diari Sufi)

PerJaLaNaN HiDuP iNi

PerJaLaNaN HiDuP iNi
Dalam jauh sebuah perjalanan,Allah amanahkan sebuah perjuangan,terimalah dengan kekuatan,kadang-kadang sakit yang mendatang,kadang-kadang teman tak sehaluan,namun itulah ujian mencari iman yang teguh,moga terus bersabar di jalanNya

Muhasabah buat semua

"Walau jauh kita pergi, ingatlah kita pernah di tarbiah dan TARBIAH tidak akan berhenti dan berakhir . Walau sesibuk manapun kita, jangan kita lupa tanggungjawab MUSLIM yang pasti akan ditanya kelak.Walau sebebas manapun kita, jangan kita lupa kita adalah MAKHLUK yang pastinya adalah milik Allah".-peringatan juga buat diriku.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails