Sunday, September 25, 2011

Kontrak Sosial:Retorik atau Realiti?


Salam w.b.t
Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia , Rasulullah SAW, ahli keluarga dan sahabat handai Baginda.Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana mengizinkan hati menguntai bicara kata di teratak ini.

          Pertamanya entri kali ini sebenarnya nak membawa kita kembali berfikir adakah kontrak sosial yang telah lama terjalin ini sekadar RETORIK atau REALITI semata-mata?Entri ini merupakan pendapat yang saya dah lama cuba nak lontarkan dan diharapkan jika ada yang tidak bersetuju sila perbetulkan saya.Saya sedia menerimanya....percayalah;-)Sekali lagi ianya hanya pandangan saya berkenaan isu kontrak dan jika ada non-muslim yang membaca entri ini, maafkan saya, saya tak berniat untuk menafikan hak kalian...tetapi izinkan saya berkongsi hakikat sebenar berkenaan isu ini.Pendapat saya ini juga berpandukan kajian yang telah dilakukan oleh Pn. Ku Hasnan Ku Halim,yang merupakan seorang pensyarah di Jabatan Kemanusiaan ,Fakulti Sains Sastera dan Warisan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia(UTHM).

           Sebelum itu ,izinkan saya jelaskan maksud sebenar RETORIK dan REALITI.Retorik di dalam kamus Dewan Bahasa ianya bermaksud seni atau pemakaian bahasa yang indah dan menarik untuk memujuk atau mempengaruhi pemikiran pendengar atau lebih mudah jika didefinasikan sebagai bahasa yang dibuat-buat atau bahasa yang dibesar-besarkan.Realiti pula bermaksud keadaan yang nyata dan bukan khayalan.






             'Kontrak sosial' atau 'Pakatan Murni' adalah merupakan satu pakatan atau tuntutan daripada orang Melayu dan bukan Melayu.Pandangan dan pakatan ini telah membawa kepada pemikiran oleh Suruhanjaya Reid dan terhasilnya satu perlembagaan yang dikenali Perlembagaan 1957 yang telah digubal dan membawa kepada tercapainya kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.Penghasilan kajian yang telah dijalankan oleh Pn.Ku Hasnan ini adalah bertujuan memberi kefahaman yang lebih mendalam mengenai konsep kontrak sosial yang diamalkan di Malaysia.Dapatan kajiannya membawa kepada kefahaman dan pemikiran kita mengenai konsep kontrak sosial bagi memastikan kepentingan majoriti dan minoriti yang perlu diambil kira tanpa menjejaskan hak dan kepentingan masing-masing.
          

          Jika dilihat secara mendalam, sebenarnya kontrak ini merupakan suatu titik tolak kepada perubahan rentak politik di Malaysia di mana rakyat pada masa itu bersatu padu  dan amat bertoleransi terutamanya kaum majoriti dan kaum asal iaitu kaum Melayu.Kaum Melayu yang merupakan kaum asal di Tanah Melayu sanggup memberikan ruang dan peluang kepada kaum lain yang merupakan kaum pendatang bagi memastikan kemerdekaan tercapai.


        Kesepakatan yang berlaku bukanlah suatu yang mudah untuk dicapai atau dibeli jika tiada nilai toleransi yang tinggi dalam diri kaum Melayu itu sendiri.Perjanjian ini juga mempersetujui untuk menghargai dan menunjukkan satu tanda terima kasih yang tidak ternilai kepada masyarakat Melayu, Cina dan India.Antaranya, mereka bersetuju untuk mengiktiraf hak-hak keistimewaan Melayu seperti yang berlaku dalam sistem kuota pendidikan , pembiayaan biasiswa,peluang pekerjaan dalam sektor kerajaan dan sebagainya.Selain itu, mereka juga bersetuju dalam mematuhi kedaulatan raja berpelembagaan,mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi dan juga menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.Secara keseluruhannya , kontrak sosial ini adalah tiang seri kepada pembentukan Perlembagaan Malaysia dan ia sama sekali tidak dapat dipisahkan daripada Perlembagaan Malaysia yang diamalkan hingga kini.Kontrak ini penting bagi menjamin keadilan dan hak kesaksamaan antara 3 kaum majoriti di Malaysia terutamanya kaum Melayu yang merupakan kaum asal Tanah Melayu.


         Secara mudahnya, isu kontrak sosial ini hanyalah bersandarkan kepada 2 asas, iaitu Hak Keistimewaan Orang Melayu dan juga Hak Kewarganegaraan.Perkara ini hangat diperdebatkan kerana sesetengah pihak kurang bersetuju mengenai keistimewaan yang diterima oleh penduduk Bumiputera, iaitu Melayu, orang Asli, peribumi Sabah dan juga peribumi Sarawak.Ada yang menyalahkan pemimpin-pemimpin terdahulu yang seolah-olah mengambil jalan mudah untuk memperoleh kemerdekaan negara.Isu ini tidak harus dipandang sebagai suatu ketidakadilan kepada orang bukan Bumiputera.Ini adalah kerana, kesemua penduduk samaada Bumiputera atau bukan, saling menerima kebaikan daripada kontrak sosial ini.


           Seharusnya sosial ini harus dipelihara sepanjang zaman tanpa disalahertikan oleh rakyat Malaysia.Perbezaan budaya dan agama bukanlah alasan untuk rakyat bertikam lidah sesama sendiri, malah mereka perlu merasa bangga dengan keunikan etnik dan bangsa negara ini.Iktibar daripada peristiwa 13 Mei 1969 yang menjadi igauan ngeri kepada warisan negara ini perlulah diambil dan diharapkan ianya tidak akan berulang kembali.Keraguan terhadap pemimpin terdahulu serta hilangnya sikap hormat-menghormati antara satu sama lain hanya membalikkan kesan negatif kepada masyarakat negara ini sendiri yang menjadi tunjang kegemilangan negara pada masa hadapan.


Retorik Kontrak Sosial:
Pernahkah kita mendengar suatu teori aneh pada masa dahulu yang mengaitkan sistem pemerintahan negara Malaysia berdasarkan sistem nama R.A.H.M.A.N?Teori ini akan kedengaran lebih-lebih lagi ketika menghadapi detik-detik pilihan raya.Tahukah kita apakah itu teori R.A.H.M.A.N.?Teori ini bermaksud Perdana Menteri Malaysia yang pertama adalah bermula dengan nama Tunku Abdul Rahman(R),diikuti Tunku Abdul Razak(A),Tun Hussien Onn(H),Tun Dr. Mahathir(M),Tun Abdullah(A), dan yang terakhir iaitu Dato Sri Najib(N).


         Susunan abjad ini jika dilihat seimbas pandang bagaikan satu susunan intonasi abjad yang indah, sama ada secara kebetulan atau telah dirancang dari awal lagi.Sepanjang pemerintahan insan yang memiliki abjad ini,dikatakan kontrak sosial akan berjaya dipertahankan dan kontrak ini akan mula tergugat setelah berakhirnya 6 orang insan ini.Adakah ini suatu retorik atau realiti?


           Dalam realiti politik sekarang pemimpin politik Melayu hendaklah berpijak di bumi yang nyata.Sifat rakus pada kekuasaan dan pangkat bagi mengukuhkan kekuasaan diri, bukan kaum dan rakyat keseluruhan akan membuatkan kaum Melayu memiliki suara minoriti dalam bilangan majoriti di tanah air sendiri.Sedar dan setujukah kita seandainya dinyatakan bahawa Melayu dalam dilema antara 'Malayfirst' atau 'Malayphobia'?Dalam persidangan Parlimen bertarikh 28 September 2010, Lim Kit Siang memuji mereka yang berani mengisytiharkan diri sebagai "I'm Malaysian first" dan "Malay second" iaitu mengutamakan diri sebagai rakyat Malaysia terlebih dahulu dan menjadikan bangsa sebagai elemen kedua.Kenyataan sebegini jelas mengenetepikan hak-hak keistimewaan orang Melayu seperti yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial dan amat bertentangan dengan Fasal 153 yang menyentuh tentang hak keistimewaan orang Melayu.


           Tiada maknanya jika kita berhempas pulas menjaja ke sana ke mari tentang hak ketuanan Melayu, menyingkap nostalgia kepahlawanan Hang Tuah dan kehebatan keris Taming Sari serta ungkapan tidak Melayu hilang di dunia sedangkan realitinya orang Melayu yang majoritinya adalah pekerja kilang bermajikan bukan Melayu.Saya tidak menyebut kesemua orang Melayu berada dalam lingkungan ini, tetapi jika kita teliti perlunya lagi orang Melayu yang sedar kita sebenarnya tidak boleh sentiasa pada situasi 'terlebih selesa'.Bangsa Melayu akan terus wujud jika orang Melayu tidak terus terpinggir di dalam negara sendiri.Sebab itu perlunya kita mengikut jejak langkah Rasulullah SAW yang menjadikan perniagaan sebagai kerjaya di samping menjalankan dakwah kepada umatnya.Baginda juga berfirman yang di mana 9 daripada 10 rezeki adalah datangnya dari sumber perniagaan.Kita seharusnya berusaha ke arah itu agar dapat menjadikan agama Islam dan bangsanya tertegak kukuh di negara ini.


         Kesimpulannya, hak-hak keistimewaan orang Melayu perlu dipelihara, isu agama Islam dan kedaulatan sultan Melayu perlu diteruskan tetapi ia perlu melalui saluran yang sewajarnya.Betullah seperti apa yang telah diperkatakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad di mana "Melayu mudah lupa".Anda pula bagaimana? sokong atau tidak kontrak sosial ini?Jika saya mengatakan tidak, bagaimana? Jika saya mengatakan sokong, bagaimana?Sebenarnya jawapan itu ada pada diri anda sendiri.Isu ini perlu dianggap serius oleh semua lapisan masyarakat yang berbilang kaum.Renung-renungkan dan fikir-fikirkanlah;-)







No comments:

Post a Comment

PerJaLaNaN HiDuP iNi

PerJaLaNaN HiDuP iNi
Dalam jauh sebuah perjalanan,Allah amanahkan sebuah perjuangan,terimalah dengan kekuatan,kadang-kadang sakit yang mendatang,kadang-kadang teman tak sehaluan,namun itulah ujian mencari iman yang teguh,moga terus bersabar di jalanNya

Muhasabah buat semua

"Walau jauh kita pergi, ingatlah kita pernah di tarbiah dan TARBIAH tidak akan berhenti dan berakhir . Walau sesibuk manapun kita, jangan kita lupa tanggungjawab MUSLIM yang pasti akan ditanya kelak.Walau sebebas manapun kita, jangan kita lupa kita adalah MAKHLUK yang pastinya adalah milik Allah".-peringatan juga buat diriku.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails