Monday, August 22, 2011

I-Medic

Salam w.b.t
Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia Rasulullah SAW, ahli keluarga dan sahabat handai Baginda.Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi , sekali lagi jari-jemari pemberianNya ini diberi kekuatan untuk menulis pada saat ini.Terima kasih Ya Allah.

          Pada 20 Ogos 2011, bersamaan hari Sabtu telah diadakan Konvensyen Sains Perubatan dan Iftar Perdana I-Medic di PKNS Bangi(Dewan Cempaka, Tingkat 4, Bangunan PKNS).Bersyukur sangat kerana dapat hadir ke sana.Alhamdulillah perjalanan pergi dan balik selamat dan nak dijadikan cerita, ada sesuatu yang tidak dijangkakan terjadi pada hari konvensyen itu.Saya sangat terkejut dan teruja.Sekali lagi , mungkin inilah yang Allah mahukan untuk saya lebih mengerti kehidupan yang sebenar dengan mendidik hambaNya sifat sabar...sabar...dan sabar.Cerita itu berkenaan cerita kereta saya yang tersangkut di tengah-tengah bazar Ramadhan di Bangi.Huh!! malu-malu...tapi itulah keadaan sebenar yang telah berlaku ke atas saya time tu.Saya tak perasan yang ada board tertulis :

"Sila alihkan kereta anda selepas jam 2.00 petang kerana Bazar Ramadhan akan dibuka di tapak ini.Harap maklum".

Dah tu saya pula memang tak turun dari bangunan PKNS tu dari pagi hingga ke petang disebabkan khusyuk sangat mendengar talk.Saya dan sepupu bercadang untuk pulang awal ke batu pahat disebabkan ada komitmen lain yang perlu dilaksanakan.Selesai slot yang terakhir iaitu slot "Forum I-Medic", saya bersama sepupu terus pulang kira-kira jam 5 petang.Kami pergi ke bahagian car park tempat di mana kami parking kereta pada pagi itu.Cari punya cari, saya sangat terkejut melihat kereta saya berada betul-betul di tengah Bazar tersebut.Malunya hanya Allah je yang tahu.Memang kalau nak keluarkan kereta time tu tak boleh sebab tempat itu tidak terlalu besar.Jika reverse atau forward kereta tu, memang ia akan melanggar gerai-gerai di situ.

Cuba anda bayangkan..
Sekadar gambar hiasan.Kiranya kereta saya berada ditengah-tengah tapak ini.Tapi kitaorang berani mati tinggalkan kereta kat situ saat beratus orang yang berkunjung di bazar.Tapi syukur sangat kepada Allah kerana barang-barang beharga dalam kereta selamat.Terima kasih Ya Allah.Malam tu selepas berbuka, kami kembali ke tapak tersebut untuk mengeluarkan kereta.Dan saya melihat ,di atas kereta saya terdapat secawan air berisi ice diletakkan oleh ...%$# peniaga yang saya sendiri tidak sengaja membloknya.Amaran mungkin....So, for the next time beware ye;-)
______________________________________

Habis sudah berceloteh tentang kejadian di bazar.Sekarang ini izinkan saya berkongsi serba sedikit pengalaman dan info yang dapat saya pelajari dari konvensyen ini.



Slot 1: Cabaran Kerjaya dan Tanggungjawab Sosial
--------oleh Dr Mohd Nor Sundari

Kata beliau, "Tidak kira apa jua bidang kerjaya sekalipun samada sebagai seorang pelajar, doktor perubatan , doktor pergigian, pegawai farmasi , jururawat , malah apa jua bentuk pekerjaan sekalipun  kita tidak akan lari dari cabaran.Sebenarnya cabaran bermula dari saat persenyawaan janin berlaku dan berterusan di alam persekolahan, belajar di pusat pengajian tinggi sehinggalah kita bekerja dalam profession masing-masing hingga ke akhir hayat kita.Sebagai seorang insan kita seharusnya mempunyai perancangan kerjaya yang boleh diukur dan dinilai yang akhirnya kerjaya hanya jalan untuk mendapat keredhaan Allah SWT".


Slot ke-2 : Isu Kontemporari dalam Bidang Perubatan dan Farmasi
---------oleh Dr. Murizah bt Mohd Zain dan Dr. Azizi bin Ayob



Ada beberapa isu yang cuba dibentangkan  oleh beliau.Antaranya ialah isu pendermaan gamete, pendermaan embryo ,IVF(In vitro fertilization)/ kaedah bayi tabung uji,hukum penyimpanan gamete/embryo  dan kes  ibu tumpang.Sejujurnya, keinginan untuk mempunyai zuriat adalah satu fitrah semulajadi dalam diri manusia.Dalam kitab suci Al-Quran , Allah telah berfirman yang maksudnya:

“Dan orang-orang yang berkata, “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati,….” (25:74)

Walaubagaimanapun , kekuasaan Allah mengatasi segala-galanya.Setinggi manapun keinginan,usaha, dan ikhtiar satu-satu pasangan  untuk mendapatkan zuriat, jika Allah tidak mengizinkan mereka mempunyai zuriat, maka redha dan bersabarlah dengan ketentuan dari Ilahi ini .Anggaplah ini semua adalah ujian yang mampu menaikkan darjat kita di sisiNya .InsyaAllah.

“Allah menciptakan apa yang Dia kehendaki, memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki, dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki, atau Dia menganugerahkan jenis lelaki dan perempuan, dan menjadikan mandul kepada siapa yang dikehendakinya.Dia Maha Mengetahui , Maha Kuasa”.
(42:49-50)

KES A:
Pendermaan gamete atau embryo sebenarnya tidak dibenarkan oleh Islam dan ia menimbulkan banyak konflik etika.Dalam agama Islam , seperti  yang telah dibincangkan , nasab atau keturunan adalah satu perkara yang perlu dititikberatkan.Penggunaan sperma atau ovum dermaan menyerupai penzinaan dan menyebabkan kecelaruan nasab dan keturunan.

KES B:
Kes bantuan reproduksi melalui kaedah tabung uji (IVF)sekiranya pasangan menghadapi masalah infertility.Kaedah ini tidak bertentangan dari sudut etika dan agama dengan syarat:
i)ianya melibatkan pasangan yang telah berkahwin
ii) menggunakan benih dari suami yang sah untuk inseminasi(dimasukkan) ke dalam rahim isterinya yang sah    
iii)proses memasukkan embryo dilakukan ketika institusi perkahwinan masih utuh. Sekiranya , pada masa pembentukan embryo itu, pasangan suami isteri bercerai/meninggal, maka sperma yang disimpan(frozen sperm) tersebut tidak boleh digunakan lagi.
iv)Jumlah embryo yang dimasukkan semula ke dalam rahim perlulah bersesuaian dan tidak terlalu banyak hingga boleh menimbulkan komplikasi pada janin dan ibu.
v)Lebihan embryo yang terhasil boleh disimpan untuk kegunaan masa hadapan tetapi embryo ini tidak boleh didermakan kepada pasangan mandul yang lain.

KES C:
Seterusnya ialah kaedah kelahiran menggunakan kaedah ‘ibu tumpang’ atau surrogacy  dibincangkan.Kebiasaanya di  sesetengah negara barat , kaum wanita banyak melahirkan anak yang bukan dari benihnya untuk menjana sumber pendapatan dalam kehidupan.Lain pula ceritanya jika dipertimbang dari sudut hukum Islam itu sendiri.

Ibu tumpang digunakan di dalam keadaan di mana pasangan perempuan tidak berupaya untuk mengandung disebabkan oleh beberapa masalah  misalnya tiada rahim atau rahim tidak normal  dan tidak boleh menampung kehamilan hingga boleh menyebabkan komplikasi kepada ibu jika proses kelahiran diteruskan.

Banyak undang-undang diseluruh dunia juga tidak membenarkan prosedur ibu  tumpang.Di negara yang membenarkan prosedur ibu tumpang, prosedur undang-undang mengesahkan bahawa ibu yang melahirkan walaupun bukan ibu kandung sebenar/biologi tetapi hakikatnya mereka adalah ibu yang sah.Ibu bapa kandung sebenar/biology perlu melakukan prosedur pendaftaran anak angkat kepada anak yang dilahirkan.

Slot ke-3: Etika Pengamal Perubatan dan Kesihatan
-----Oleh Dr. Mohamed Hatta bin Mohamed Tramizi.

Beliau membacakan ikrar pengamal perubatan Islam yang telah diperkenalkan oleh Pertubuhan Antarabangsa Perubatan Islam pada Januari 1981.Terdapat sedikit perbezaan etika perubatan Islam dan sekular yang cuba beliau utarakan.Beliau mengatakan bahawa etika perubatan sekular bertunjang atas asas moral kemanusiaan dan hak asasi manusia sejagat.Ia menitikberatkan karektar, moral, kejujuran mengikut konsep kemanusiaan sahaja.Etika Islamik pula meletakkan konsep penghambaan kepada Allah yang Maha Kuasa dan 'ihsan' dalam pengamalan perubatan.

Konsep etika perubatan Islam berasaskan dari apa yang dibenarkan Allah dari sumber seperti Al-Quran dan As-Sunnah.Maka oleh itu, perundangan dalam etika perubatan Islam sentiasa konstant dan tidak senang dipengaruhi oleh kehendak manusia.Manakala, etika perubatan sekular tidak terikat kepada kehendak Ilahi, tetapi bertunjangkan hawa nafsu dan kehendak majoriti.Sebagai contoh yang dapat dilihat iaitu berkenaan hubungan homosexual yang dulunya dianggap salah, tetapi hari ini, oleh kerana tekanan majoriti, ia dibenarkan oleh sesetengah kerajaan Barat atas dasar hak asasi manusia.

Dari sudut perubatan Islam, seseorang pengamal perubatan itu mesti meletakkan unsur AKHLAK dalam amalan harian mereka.Pengamal perubatan berfahaman sekular tidak meletakkan moral dalam rawatan mereka.Sebagai contoh , seorang pesakit liver cirrhosis, doktor sekular akan merawat simptom-simptom dan gejalanya sahaja dengan alat canggih lagi moden tanpa menegur sifat sosial pesakit yang menyebabkan penyakit itu.Manakala doktor Islam mesti menegur dan menasihati pesakit agar menjauhkan diri dari perkara-perkara yang dilarang Allah seperti minum arak dan berdakwah kepadanya supaya memberhentikan maksiat tersebut.

Beliau menyimpulkan bahawa setiap daripada kita perlu ingat tugas kita di muka bumi Allah ini, beribadat kepada Allah dan berterusan mencari dan menggapai keredhaanNya.Jadikanlah tugas anda sebagai ibadah untuk mencapai objektif tersebut.Letakkanlah keikhlasan dalam hati semasa bertugas.Kuatkan hubungan diri dengan Allah dan manusia.Cabaran masa depan akan menjadi lebih rumit dan yang hanya mampu bermujahadah dan cekal sahaja boleh menanganinya, dengan izin Allah.

Slot ke-4: Syarahan Utama Az-Zahrawi(Pembangunan Sahsiah dan Ilmiah Perubatan: Dari Perspektif 'Az-Zahrawi')
-----Oleh Dr. Zulkifli Yusof

Pada slot ini, beliau cuba mengetengahkan contoh qudwah terbaik yang boleh kita teladani.Beliau tidak membataskan kepada kehebatan al-Zahrawi sahaja, tetapi juga membentangkan kehebatan dan sumbangan ahli sains perubatan muslim sezaman dengannya seperi Ibn Sina , al-Razi , Ibn al-Nafis dan Imam Ghazali.

a)Saintis hebat perubatan pertama adalah Al-Zahrawi.Dikenali sebagai Abulcasis di barat, dilahirkan di El-Zehra, Sepanyol.Al-Zahrawi adalah seorang pengamal perubatan yang mementingkan etika dan bersungguh-sungguh mendapatkan diagnosis yang tepat sebelum memberikan rawatan.Beliau menekankan aspek hubungan baik antara doktor dengan pesakit dan melayani mereka tanpa mengira soal darjat dan pangkat.Kebolehan beliau dalam bidang pembedahan adalah amat menakjubkan.Beliau menjelaskan teknik-teknik pembedahan seperti teknik cauteri, kelahiran bayi , pembedahan arteri temporal, alihan salur kencing dan pembedahan katarak.

 b)Seterusnya pula ialah Ibn Sina(Avicenna).Beliau dilahirkan di Asfahan, Bukhara.Beliau menghafaz Al-Quran pada umur 10 tahun dan kemudiannya kerap mengembara keserata kota ilmu Islam.Pada umur 17 tahun , beliau menyembuhkan penyakit raja Bukhara yang sukar diubati.Ibn Sina menjadi pakar perubatan yang terkenal pada usia yang muda dan telah menghasilkan 99 penulisan meliputi falsafah, theologi, perubatan , matematik,geometrik ,astronomi,fizik dan beberapa ilmu lain.

c) Berikutnya ialah Mohammad Ibn Zakaria al-Razi.Beliau dilahirkan di Ray, Iran dan memulakan karier perubatan di Hospital Diraja Ray sebelum berpindah ke Baghdad.Beliau adalah seorang pakar perubatan, hakim, ahli kimia dan falsafah.Menghasilkan 200 karya termasuk karya perubatan 'Kitab al-Mansoori' ymag mengandungi 10 jilid dan al-Hawi yang merupakan ensiklopedia perubatan paling lengkap ketika itu.

d)Abu Hamid al-Ghazali atau lebih dikenali sebagai Imam Ghazali juga tidak dilupakan.Beliau dilahirkan di Khurasan, Iran.Menguasai banyak ilmu, seperti ilmu fiqh, falsafah,mantik,perundangan,maematik, fizik dan pelbagai cabang ilmu syariat dan keduniaan.Selepas kematian gurunya, beliau menjadi mahaguru di Nizamiyyah, sebuah universiti di Baghdad.Imam Ghazali telah menghasilkan banyak karya agung termasuk 'Ihya' Ulumiddin' sehingga beliau digelar 'Hujjatul Islam'.Beliau mengatakan ilmu perubatan adalah fardhu kifayah dan "lebih baik mendalami ilmu perubatan dari membuang masa mendalami isu fiqh yang belum tentu gunanya".

*Itulah kualiti-kualiti yang ada pada saintis perubatan muslim di Zaman Keemasan.Mereka mempunyai pengetahuan yang pelbagai dan mendalam dalam bidang mereka.Mereka juga berupaya menghasilkan penemuan baru dan karya-karya agung yang digunapakai dalam tempoh yang lama serta menjadi pemangkin kepada kebangkitan ilmu di Barat.Secara ringkasnya, saintis-saintis perubatan Islam silam boleh diumpamakan sebagai 'ruhbanufillail, fursanu finnahar'.Mereka diumpamakan sebagai seorang abid(ahli ibadah) di malam hari dan pejuang berkuda di siang hari.Satu gambaran keperibadian yang kuat hubungannya dengan Allah dan pada masa yang ama berusaha keras memakmurkan dunia.*

Tambahan beliau, terdapat beberapa ciri-ciri yang perlu ada pada pengamal perubatan muslim masa kini:
  • Memperbetulkan niat kenapa berada di medan ini.
  • Aqidah yang mantap.
  • Menganggap bahawa kerja yang dilakukan adalah satu ibadah dan kemuliaan.
  • Akhlak yang mulia.
  • Menunaikan tanggungjawab kesihatan mereka dengan cara yang paling sempurna.
  • Menjadi contoh kepada rakan sekerja dan pesakit.
  • Hendaklah mahir di dalam hukum fikah yang berhubung dengan kerjaya.
  • Menjaga ibadah khususnya sembahyang.
  • Sentiasa mengikuti perkembangan terkini di dalam bidang perubatan.
  • Sentiasa merendah diri dan mengharap kepada Allah di dalam merawat pesakit.



Slot ke-5 dan Slot ke-6, iaitu "Sesi bersama The Young and Talented I-Medic" dan Forum I-Medic(Langkah Bermula Bersama I-Medic di Arus Perdana)


Kedua-dua sesi menceritakan pengalaman dan cabaran yang digalas sebagai H/O, M/O, nurse, farmasi dan lain-lain.We dont want to compete each other but we must complement with each other.InsyaAllah moga I-Medic ini mampu menjadi perintis untuk kami bakal-bakal pengamal perubatan untuk lebih menyedari tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.Apa yang penting objektif dan agenda perlu diselarikan agar matlamat kita untuk melahirkan pengamal perubatan yang lebih faham Islam tercapai sekaligus memberi impak yang besar pada Islam itu sendiri.


No comments:

Post a Comment

PerJaLaNaN HiDuP iNi

PerJaLaNaN HiDuP iNi
Dalam jauh sebuah perjalanan,Allah amanahkan sebuah perjuangan,terimalah dengan kekuatan,kadang-kadang sakit yang mendatang,kadang-kadang teman tak sehaluan,namun itulah ujian mencari iman yang teguh,moga terus bersabar di jalanNya

Muhasabah buat semua

"Walau jauh kita pergi, ingatlah kita pernah di tarbiah dan TARBIAH tidak akan berhenti dan berakhir . Walau sesibuk manapun kita, jangan kita lupa tanggungjawab MUSLIM yang pasti akan ditanya kelak.Walau sebebas manapun kita, jangan kita lupa kita adalah MAKHLUK yang pastinya adalah milik Allah".-peringatan juga buat diriku.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails