Tuesday, January 12, 2010

Indahnya Bumi Ciptaan Tuhan




Keseimbangan Sempurna Bumi

Sehingga abad keenam belas, iaitu 500 tahun dahulu, walaupun sebahagian bangsa Yunani telah memikirkannya, secara umumnya manusia masih tidak mengetahui Bumi ini adalah sebuah planet. Pemerhatian yang dilakukan pada masa tersebut membantu manusia mengetahuinya. Pada abad ke-20, manusia telah pasti kedudukan Bumi di dalam Sistem Suria. Bumi adalah planet ke tiga jauhnya daripada matahari dan planet kelima terbesar.



Pakar sains percaya Bumi mempunyai kerak besi yang mempunyai suhu 7,500°C. Ia jauh lebih panas daripada suhu permukaan matahari. Tetapi, disebabkan kamu tidak pernah merasa sedikit pun daripada kepanasan ini, kamu dapat duduk di dalam kelas kamu sambil mendengar guru kamu atau tidur dengan nyenyak di atas katil. Lapisan kulit Bumi menghalang kita daripada kepanasan ini. Allah Maha Pengasih kepada kita kerana itu Dia menjadikan lapisan Bumi yang cukup tebal untuk menghalang kepanasan ini menembusinya. Di samping itu, Allah juga menjadikan kita atmosfera yang mesra alam. Dia juga memberikan tumbuh-tumbuhan beberapa ciri yang membolehkannya mengekalkan keseimbangan oksigen-karbon dioksida.


Suhu dalaman Bumi mencapai setinggi 7,500°C tetapi di permukaan Bumi kita tidak pernah merasa kepanasan ini.

Struktur Bumi dan beberapa keseimbangan lain menunjukkan Bumi telah direka khusus untuk manusia tinggal di dalamnya.
Daripada atmosfera ke geografinya, daripada jaraknya daripada matahari kepada semua bentuk keseimbangan, Bumi adalah sebuah planet yang dijadikan khas untuk menampung hidupan. Contohnya, kita dapat menyamakan Bumi kita dengan akuarium. Sebuah akuarium menyediakan keadaan-keadaan paling sesuai untuk ikan. Sebuah termostat mengawal suhu air, terdapat satu motor untuk mengalirkan udara dan pasir yang ditempatkan di bahagian bawah. Terdapat pil khas diletakkan di dalam air, terdapat penutup pelindungan akuarium, satu sistem penapis yang berterusan menapis air, dan pembekal makanan… Semua ini menampung hidup ikan-ikan di dalam akuarium.


Bagaimanapun, ikan-ikan di dalam akuarium tidak menyedari persekitaran buatan ini. Mereka menyangka mereka hidup di "alam semula jadi" atau alam yang terbentuk secara spontan. Mereka tidak menyedari ada orang yang menyediakan termostat dan mengawal paras air atau fungsi motor pengalir udara. Mereka juga tidak tahu siapa yang memberikan makanan yang muncul tiba-tiba di permukaan air. Sedangkan, puncanya
adalah jelas; pemilik akuarium tersebut yang telah memberikan keperluan ikan-ikan tersebut.
Sudah tentu, kehidupan di Bumi memerlukan sistem yang lebih rumit daripada kehidupan di dalam sebuah akuarium.Menyimpan ikan di dalam sebuah akuarium memerlukan penjagaan yang teliti. Atmosfera memberikan penjagaan ini kepada Bumi.


Seorang yang bijak tidak akan mensia-siakan hidupnya di dalam kejahilan seperti ikan-ikan di dalam sebuah akuarium. Dia percaya Bumi "sedia ada" untuknya dan ia tidak mempunyai satu Pencipta dan Pentadbir. Sudah tentu, Allah yang telah menjadikan keseimbangan dan aturan yang sempurna yang memungkinkan kehidupan di Bumi. Manusia yang bijak mahu mengenali Tuhan yang memberikan segala kenikmatan ini kepadanya dan untuk mempelajari apakah yang dituntut-Nya daripadanya. Di dalam Al-Quran, Allah membenarkan kita mengenali-Nya dan memaklumkan kepada kita apa yang dituntut-Nya daripada kita.



Jelaslah, Allah menjadikan keseimbangan dan aturan yang sempurna untuk memungkinkan kehidupan di dunia. Allah memberitahu kita tentang perkara ini di dalam Al-Quran:

Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani. Dan Kami telah menjadikan langit sebagai bumbung yang terpelihara dan terkawal, sedang mereka (yang kafir itu) berpaling tidak memerhatikan tanda-tanda (kekuasaan Kami) yang ada padanya. (Surah Al-Anbiyaa':31-32)


Allah mencipta, mengimbangi, dan mengharmonikan setiap perkara di Bumi untuk menjadikannya tempat untuk kita diami. Sesiapa yang menyedari fakta ini mesti beriman dengan Allah, menyaksikan kuasa tidak terbatas-Nya dan bersyukur untuk setiap apa yang telah diberikan-Nya kepadanya.


Sekarang, mari kita kaji beberapa keseimbangan yang Allah, Pencipta kita jadikan di planet kita dan menyaksikan kekuatan-Nya yang tidak terbatas.


Kedudukan Bumi Di Dalam Cakerawala ini




Apa akan berlaku jika Bumi kita ini berada sedikit lebih hampir kepada matahari? Jawapannya sudah jelas, semua orang tahu kepanasan matahari boleh membakar. Disebabkan oleh kepanasan melampau ini juga, kita tidak akan mempunyai atmosfera atau lautan seperti sekarang… Suhu akan menjadi terlalu tinggi menyebabkan kebanyakan air di Bumi akan mengewap. Dalam keadaan ini, tidak akan ada air lagi di Bumi. Bumi akan menjadi kering seperti gurun.




Contohnya,  planet Zuharah berada lebih hampir dengan matahari daripada planet kita. Oleh itu, suhu planet Zuharah lebih tinggi daripada Bumi. Suhunya boleh meningkat sehingga 475°C. Untuk menggambarkan ketinggian suhu ini, fikirkan apabila kamu meletakkan sedikit air di dalam plat logam yang panas, ia akan mendidih pada suhu 100°C.


Jika matahari sedikit hampir kepada planet kita, Bumi akan terbakar seperti sebuah gurun, seperti yang ditunjukkan oleh gambar di atas. Jika matahari lebih jauh, maka Bumi akan diseliputi oleh ais.


Sekarang fikirkan sebaliknya. Bagaimana jika Bumi sedikit lebih jauh daripada matahari? Dalam keadaan ini, Bumi kita akan menerima kurang kepanasan. Bayangkan jika keadaan ini berlaku, sebahagian besar daripada Bumi akan beku dan bertukar menjadi ais. Permukaan Bumi akan menjadi seperti permukaan Marikh yang kering dan berais, iaitu sebuah planet yang jauh sedikit daripada matahari daripada Bumi. Kita dapat membuat kesimpulan daripada keadaan-keadaan ini: Bumi kita terletak pada tempat yang paling tepat! Bagaimana ini berlaku? Apakah secara kebetulan Bumi ini berada pada tempat yang betul? Sudah tentu tidak. Bumi adalah planet yang mati dan tidak bernyawa. Sudah tentu mustahil untuknya memilih tempat yang paling sesuai sendiri, atau secara kebetulan. Fakta Bumi berada pada kedudukan paling sesuai adalah petanda kesempurnaan ciptaan Allah.



Penemuan astronomi terkini telah membuktikan kepentingan wujudnya planet-planet lain kepada Bumi. Contohnya, saiz Musytari dan kedudukannya adalah mustahak. Sebagai sebuah planet paling besar di dalam sistem ini, Musytari menjadikan orbit Bumi lebih stabil.


Jika sebuah planet yang besar seperti Musytari tidak ada, Bumi akan menjadi sasaran meteor dan komet yang berselerak di angkasa. Ringkasnya, Musytari adalah seperti sebuah perisai yang melindungi Bumi. Jika Musytari berada di orbit lain, planet kita dan kita sendiri tidak akan wujud hari ini.


Seorang bijak yang mengetahui semua ini, memahami bahawa tidak ada sesuatu pun di dalam cakerawala ini dijadikan tanpa tujuan. Kefahaman ini diceritakan di dalam Al-Quran seperti berikut:


Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Surah Ali 'Imran:190)



Seperti yang disebutkan di dalam ayat ini, kita perlu memikirkan penciptaan langit dan bumi. Apa yang telah kamu pelajari menggambarkan penciptaan Allah terhadap alam ini. Apabila kamu memikirkan pengetahuan ini, kamu akan dapat pemahaman lebih baik tentang kekuasaan Allah.



Disebabkan tarikan graviti Musytari lebih kuat daripada Bumi, meteor-meteor bertaburan di angkasa akan tertarik ke Musytari. Ini seperti tarikan satu magnet yang kuat. Tarikan kuat Musytari ini melindungi Bumi, dan juga kita, daripada ancaman-ancaman ini.



Bentuk Bumi Kita Di Dalam Al-Qur'an






Bumi kita ini berbentuk bulat. Terima kasih kepada teknologi yang telah mendedahkannya, kenyataan ini juga dapat dilihat di dalam gambar fotografi yang diambil daripada angkasa. Al-Quran yang Allah turunkan kepada kita 1,400 tahun dahulu memberikan beberapa kenyataan yang membimbing ahli sains Muslim memahami Bumi ini bulat:


Ia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar; Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya)... (Surah Az-Zumar:5)


"Takwir" perkataan yang digunakan untuk "melingkari", di dalam bahasa Arab, bererti "menutup sesuatu sebagai penutup". Maklumat yang diberikan di dalam ayat ini tentang malam melingkari siang, takwir juga menyebabkan seseorang berfikir dunia ini adalah sebuah glob.


Bagaimanapun, sebelum itu manusia percaya Bumi ini bukan bulat tetapi sama rata. Semua kiraan dan penjelasan pakar sains berdasarkan kepada pendekatan salah ini. Ketika itu, manusia sangat jahil tentang angkasa sehinggakan ada yang percaya dengan kepercayaan pelik bahawa Bumi ini berada di antara dua tanduk lembu jantan.






Kamu telah mengetahui bahawa maklumat-maklumat yang hanya para pakar sains peroleh berabad-abad selepas Al-Quran diturunkan, telah pun diceritakan Allah di dalam Al-Quran sejak lama dahulu. Ini adalah salah satu bukti nyata Al-Quran adalah Kalam Allah, Yang telah menjadikan seluruh alam ini dan Yang mengetahui segala perkara.


Suhu Bumi


Tahukah kamu suhu biasa di angkasa? -270°C! Suhu seperti ini menjadikan hidupan mustahil. Suhu biasa Bumi kita ialah di antara 15°C dan 20°C. Suhu ini berubah apabila seseorang naik ke lapisan atmosfera yang lebih tinggi.


Contohnya, benua Afrika adalah sebuah kawasan panas. Apa kata jika saya bertanya kepada kamu, "Bolehkah kamu membuat orang salji di Afrika?". Kamu sudah tahu jawapan kamu. Mungkin kebanyakan kamu akan menjawab, "Untuk membuat orang salji, kamu memerlukan salji. Disebabkan mustahil untuk mendapatkan salji di kawasan panas, tidak mungkin kita dapat membuat orang salji". Tetapi, kamu salah, kerana kamu boleh membuat orang salji di benua Afrika bila-bila masa yang kamu suka, walaupun ia dikenali sangat panas. Untuk melakukannya, kamu perlu memanjat gunung Kilimanjaro, yang mempunyai kemuncak tertinggi di benua tersebut. Bahagian atas gunung ini, yang berada agak tinggi daripada paras laut, sentiasa diliputi salji. Kerana, apabila bergerak ke atas dari bawah, suhu akan menurun. Suhu jatuh hampir ke -50°C di dalam lapisan atmosfera yang dinamakan "stratosfera". Apabila naik lebih tinggi, cuaca menjadi panas semula. Terima kasih kepada perlindungan yang Allah berikan kepada kita, tidak ada perbezaan suhu yang ketara di Bumi.




Pengekalan suhu ini bergantung kepada jumlah kepanasan yang matahari pancarkan begitu juga dengan jarak di antara Bumi dan matahari. Di dalam bab lepas, kita telah menyentuh topik ini. Kami akan membincangkan topik ini dengan terperinci di sini. Berdasarkan kiraan, penurunan 10 peratus sahaja daripada tenaga yang diberikan matahari boleh menyebabkan permukaan Bumi diliputi lapisan-lapisan ais setebal beberapa meter. Tetapi, jika tenaga matahari ditingkatkan sedikit, semua hidupan akan terbakar dan mati.


Disebabkan wujudnya berbagai ketinggian di Bumi, pada satu ketinggian manusia dapat berenang dan berjemur, sementara pada ketinggian yang lebih tinggi di kawasan yang sama mereka boleh bermain bola salji dan meluncur.


Kelajuan putaran Bumi juga membantu suhu berada di dalam keadaan seimbang. Bumi melakukan satu putaran setiap 24 jam. Kerana itu, jangka masa siang dan malam adalah pendek. Kerana ia pendek, perbezaan suhu di antara siang dan malam adalah kecil.


Kepentingannya dapat dilihat di dalam contoh Utarid, di mana sehari berlangsung selama setahun dan perbezaan di antara suhu waktu siang dan malam ialah 1,000°C.


Geografi juga membantu mengimbangi kepanasan di Bumi. Perbezaan di antara kawasan kutub dan khatulistiwa di Bumi ialah kira-kira 100°C. Jika perbezaan seperti ini berlaku di satu tempat yang sama, hasilnya ialah angin liar yang akan menyapu apa sahaja yang berada di hadapannya.
Sebaliknya, Bumi dipenuhi rintangan-rintangan geografi yang menghalang pergerakan angin besar yang boleh menyebabkan perbezaan suhu berlaku. Rintangan-rintangan itu ialah rantaian gunung-ganang seperti yang menganjur dari barat ke timur, bermula dengan Himalaya di China dan bersambung dengan gunung-ganang Taurus di Anatolia dan Alps di Eropah. Kita telah mempelajari bagaimana Bumi kita mengekalkan suhunya, walaupun suhu di angkasa lepas ialah sekitar -270°C. Jika suhu Bumi terlalu sejuk atau terlalu panas, yang menjadi ancaman kepada manusia, kita tidak akan hidup. Oleh itu, paras suhu yang sederhana adalah rahmat Allah. Balasan kepada rahmat-Nya, kita hendaklah mensyukuri Allah, Yang telah menjadikan keadaan paling sempurna untuk hidup kita. Ini adalah perkara paling penting yang mesti kita ingat.


Rantaian gunung-ganang yang merentangi Bumi mencegah ribut-ribut ganas di kawasan kutub daripada menghasilkan kekacauan di Bumi, dan membantu mengekalkan suhu planet ini di dalam keadaan seimbang.


Saiz Bumi Dan Perlindungannya Daripada Objek-Objek Angkasa Lain



Sekarang kita bandingkan Bumi kita dengan planet-planet lain dari segi saiz. Kita mulakan dengan membuat perumpamaan berikut: Bayangkan Bumi kita sebagai sebiji kacang hijau. Dalam keadaan ini, Utarid adalah sebiji biji bijan, Zuharah adalah sebiji kacang hijau seperti Bumi kita, Marikh sebiji biji tembikai, Musytari sebiji oren, Zuhal adalah sebiji buah limau, Uranus dan Neptun adalah buah ceri, dan Pluto adalah biji bijan. Matahari pula adalah sebiji bola yang lebih besar daripada sebiji bola keranjang di bandingkan dengan kacang hijau kita.


Adakah saiz Bumi dibandingkan dengan planet-planet lain "secara kebetulan"? Atau, disengajakan?


Jika kita mengkaji saiz Bumi, kita akan dapati planet kita telah direka menjadi sebesar ini.

Jika Bumi sedikit kecil, graviti menjadi lemah dan menjadikannya terlalu lemah untuk menahan atmosfera di sekelilingnya. Tanpa atmosfera ini, dunia kita akan terdedah kepada meteor dan sinaran bahaya daripada angkasa. Tambahan pula, kehilangan oksigen menyebabkan hidupan mati. Jika Bumi terlalu besar, tarikan graviti akan bertambah dengan hebatnya, menukarkan atmosfera ini menjadi satu campuran bahaya kerana ia mengandungi gas-gas beracun.


Di samping jirimnya, dalaman Bumi juga telah direka khas. Lapisan-lapisan kerak bergerak mengelilingi antara satu sama lain, dan pergerakan ini menghasilkan medan magnet bumi. Medan magnet ini mempunyai peranan penting dalam memelihara hidupan. Terletak jauh daripada permukaan Bumi, medan ini melindungi Bumi daripada kesan sinaran bahaya daripada angkasa.




Setiap benda yang dihasilkan oleh seorang tukang kasut, tukang kayu atau tukang tembaga adalah satu rekaan istimewa kepada tukang-tukang ini. Mereka merancang setiap peringkat kerja mereka dan melakukan ukuran dengan cermat. Tiada siapa dapat mendakwa bahawa hasil kerja seni ini telah muncul secara spontan, tanpa rekaan atau perancangan. Begitu juga, adalah tidak masuk akal untuk mendakwa bahawa berbilion-bilion galaksi, planet-planet dan bintang-bintang di dalam alam ini telah wujud secara spontan.


Penemuan saintifik lain menunjukkan kepada kita alam ini tidak ditinggalkan begitu sahaja. Sebaliknya, Allah, Tuhan sekalian alam Yang Maha Pencipta, mengawal seluruh alam, dan menjadikan dan menahan galaksi-galaksi, bintang-bintang dan planet-planet di bawah kekuasaan-Nya.



Planet biru yang kita diami ini adalah ciptaan istimewa Allah. Di dalam Al-Quran, Allah menggambarkan ciptaan hebat ini di dalam ayat ke-2 surah Al-Furqan dengan kata-Nya: "... dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna." Mungkin kenyataan ini menjadikannya jelas, seperti ayat-ayat lain di dalam Al-Quran, bahawa di planet ini, Allah menjadikan segala yang diperlukan manusia.

Mulai sekarang kita akan menjelajahi Bumi. Mula-mula, kita kaji punca mengapa Allah menjadikan lautan biru dan pelajari nikmat yang diberikan kepada kita.


Lautan




71 peratus permukaan Bumi dipenuhi air. Bumi adalah satu-satunya planet yang airnya berada di dalam bentuk cecair. Air berkumpul di dalam lubang besar yang membentuk lautan, yang amat penting kepada kehidupan manusia.


Contohnya, ia mencegah kepelbagaian di dalam suhu atmosfera dan membantu hidupan hidup pada kadar suhu yang stabil. Ia juga melembutkan iklim. Tambahan pula, lautan membentuk pantai-pantai melalui hakisan. Tidak ada planet lain yang mempunyai sistem seperti ini.Makanan laut yang enak adalah di antara nikmat yang telah Allah jadikan untuk kita di dalam laut.




Lebih dari itu, lautan juga menawarkan berbagai jenis ikan dan makanan laut kepada kita. Memakan makanan laut yang lazat, berenang di dalam laut dan mengembara dengan bot adalah nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada kita.


 Allah telah menjadikan semua yang kita perlukan dengan sempurna. Di samping benda-benda yang indah ini, terdapat juga perkara-perkara berbahaya seperti gunung berapi yang kadangkala meletup, walaupun selalunya ia tidak bergerak. Sekarang kita akan tumpukan perhatian kepada gunung berapi.




Gunung Yang Menyemburkan Magma




Kerana magma, atau batu cair, di bawah lapisan bumi berada dalam bentuk cecair, ia sering mencari jalan keluar melalui rekahan-rekahan di lapisan Bumi dan akhirnya akan meledak. Kejadian menakutkan ini dinamakan letupan gunung berapi.


Selalunya dengan satu letupan yang hebat, gunung berapi meledak memuntahkan bertan-tan debu dan abu ke atmosfera. Letupan ini membentuk awan-awan hitam yang besar di langit. Kemudian magma mula mengalir di permukaan Bumi, menyapu bersih hutan dan bandar-bandar.


Magma yang mengalir daripada gunung berapi ke Bumi dinamakan "lava". Tidak lama kemudian, lava akan menjadi sejuk di atas permukaan Bumi dan menjadi keras, membentuk batu-batu. Sepanjang sejarah, banyak bandar-bandar musnah kerana bencana seperti ini. Contohnya, pada abad pertama, letupan gunung berapi telah melenyapkan bandar Pompeii, sebuah bandar Rom yang makmur, daripada muka bumi ini. Kejadian itu terlalu mengejutkan sehinggakan mereka tidak berpeluang untuk melarikan diri. Lava sampai ke bandar Pompeii dan menimbus seluruh bandar, menyebabkan semua penduduknya mati.


Ledakan gunung berapi menunjukkan bahawa dalaman planet kita adalah panas. Jika Bumi tidak berada di bawah perlindungan Allah, kita terpaksa menghadapi letupan-letupan gunung berapi yang hebat.


Tiada satu nyawa pun selamat; penduduk Pompeii, yang dikenali dengan keingkaran mereka terhadapan suruhan Allah dan tidak berakhlak, telah mati serentak. Kematian yang tidak dapat dielakkan adalah mirip dengan kaum yang digambarkan di dalam Al-Quran seperti berikut:

Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. (Surah Al-'Ankabut:40)

Ayat ini menunjukkan bahawa Allah mempunyai kuasa ke atas semua benda dan Dia boleh memusnahkan apa sahaja di Bumi jika Dia mahu. Tiada siapa selamat daripada hukuman-Nya. Bagaimanapun, Allah juga sangat Pengasih dan Penyayang kepada hamba-hamba-Nya. Di dalam buku ini, kita telah melihat banyak bukti kasih sayang Allah yang tidak terbatas. Letupan gunung berapi yang hanya berlaku kadang-kadang ini adalah satu lagi nikmat Allah jika kita dapat memikirkannya.


Atmosfera


Pernahkah anda terfikir apa yang sedang berlaku di langit apabila kamu melihat ke atas? Kami pasti kamu semua pasti ingin tahu tentangnya. Mari kita tumpukan perhatian kita ke langit!


Lapisan udara di sekeliling langit dikenali sebagai "atmosfera". Atmosfera terdiri daripada tujuh lapisan. Setiap lapisan terdiri daripada gas-gas berbeza, semuanya berada di dalam keadaan harmoni.

"Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat- tingkat"


(Surah Nuh:15)


Di dalam al-Quran, Allah menyatakan bahawa Dia membahagikan langit ini kepada tujuh:


Lalu Ia menjadikannya tujuh langit, dalam dua masa; dan Ia memberitahu kepada tiap-tiap langit akan urusan dan keperluannya masing-masing. Dan Kami hiasi langit yang dekat (pada pandangan mata penduduk bumi) dengan bintang-bintang yang bersinar cemerlang serta memelihara langit itu dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui. (Surah Fussilat:12)




Perkataan "samaawaat" yang digunakan di dalam banyak ayat al-Quran bererti langit. Ia juga merujuk kepada berbeza kedalaman angkasa seperti juga dengan langit Bumi. Jika kita mengambil kira pengertian kedua, ia menunjukkan di dalam ayat ini bahawa langit Bumi iaitu atmosfera terdiri daripada tujuh lapisan. Sudah tentu ada maksud lain ayat ini, tetapi amat menarik apabila kami mengkaji langit, kami mendapati ia terdiri daripada tujuh lapisan:



Setiap satu daripada tujuh lapisan yang terdapat di dalam atmosfera Bumi mempunyai kepekatan dan fungsi yang berbeza. Allah, yang menjadikan atmosfera yang membolehkan planet kita boleh dihuni, juga telah menjadikan satu perisai perlindungan untuk Bumi.



Troposfera (Troposphere): Ini adalah bahagian paling hampir dengan permukaan Bumi. Ketebalan lapisan ini berubah-ubah berdasarkan kepada iklim. Suhu akan menurun apabila ketinggian bertambah, dan suhu ketinggian paling tinggi adalah sekitar -51°C dan -79°C.


Stratosfera (Stratosphere): Lapisan di atas troposfera. Suhu bertambah apabila seseorang naik ke atas.


Mesosfera (Mesosphere): Lapisan di atas stratosfera. Di sini, suhu jatuh kepada -73°C.


Termosfera (Thermosphere): ini adalah lapisan di atas mesosfera. Suhu meningkat pada kadar perlahan. Perbezaan suhu di antara siang dan malam lebih 100°C.

Eksosfera (Exosphere): Lapisan yang bermula pada ketingian 500 kilometer (310 batu) di atas permukaan Bumi.


Ionosfera (Ionosphere): Gas-gas di dalam kawasan ini ditemui dalam bentuk ion. Gas-gas ion ini memberikan lapisan ini namanya.


Magnetosfera (Magnetosphere): Disebabkan medan magnet Bumi terletak di sini, ia dikenali sebagai Magnetosfera. Lapisan ini yang bertindak sebagai perisai perlindungan, terletak kira-kira 3,000 dan 30,000 kilometer (1,850 dan 18,500 batu) di atas permukaan Bumi. Seperti yang kami terangkan sebelum ini, kawasan ini yang melindungi Bumi daripada pancaran bahaya dari angkasa, ia digelar lingkungan Van Allen.




Untuk memahami dengan lebih baik kepentingan atmosfera kepada kita, biar kita lihat planet-planet lain. Katakanlah kita berada di atas planet Utarid. Tidak ada atmosfera di atas planet ini. Bagaimanapun, atmosfera amat penting kepada kehidupan. Setakat ini, saya telah menyebutkan kepentingan gas-gas di dalam atmosfera, seperti gas oksigen, atau ciri-ciri perlindungan atmosfera. Bagaimanapun, terdapat juga berat atmosfera, yang penting untuk kehidupan manusia.


Atmosfera diperbuat daripada udara ringan.






Ini tidak bererti atmosfera tidak mempunyai berat. Sebenarnya, lapisan-lapisan ini yang tebalnya beberapa kilometer yang berada di atas kita adalah sangat berat.


Berdasarkan penyelidikan, atmosfera memberikan tekanan bertan-tan berat pada tekanan di atas setiap kita. Ia digelar "tekanan udara". Sekarang kamu boleh mengemukakan soalan, "Mengapa kita tidak hancur?". Kita tidak hancur kerana tubuh kita dijadikan dengan kekuatan untuk menahan berat atmosfera. Kita tidak akan hidup atau wujud di dalam persekitaran yang mempunyai tekanan udara rendah. Kerana, tanpa tekanan ini, aliran darah di dalam badan kita akan memberikan tekanan yang kuat di dalam pembuluh darah kita. Melainkan diimbangi oleh tekanan atmosfera, pembuluh darah kita akan pecah pada tekanan yang tinggi ini.


Oleh itu, adalah mustahil untuk manusia hidup di dalam persekitaran seperti Utarid, yang tidak mempunyai atmosfera.


Terdapat satu atmosfera di planet Zuharah. Kerana tekanan di Zuharah adalah sembilan puluh kali lebih hebat daripada tekanan di atmosfera Bumi, ia tidak menyediakan keadaan yang sesuai untuk kehidupan manusia. Daripada maklumat ini, kita faham bahawa tiada kehidupan yang wujud di atas planet Zuharah kerana di bawah tekanannya semua hidupan akan hancur.


Mari kita lihat kembali fakta-fakta yang telah kita sebut tadi: Atmosfera adalah salah satu keperluan untuk hidup di Bumi. Atmosfera mempunyai berbagai fungsi, sebahagiannya telah diterangkan secara ringkas di atas. Jika kamu masih ingat, salah satunya ialah kepentingan gas-gas yang membentuk atmosfera untuk kehidupan manusia. Jika atmosfera tidak wujud, hidupan tidak dapat hidup, dan kerana itu, tidak akan ada hidupan di Bumi.


UVB (Medium-wavelength Ultraviolet Radiation/Sinaran Ultra Ungu Jarak Sederhana) 70 peratus daripada sinaran UVB matahari diserap oleh atmosfera.


UVC (Short-wavelength Ultraviolet Radiation/ Sinaran Ultra Ungu Jarak Pendek) 100 peratus sinaran UVC matahari diserap oleh atmosfera.


Atmosfera kita melindungi planet kita daripada meteor-meteor dan pancaran bahaya matahari. Cahaya ultra ungu yang sampai ke Bumi telah ditapis oleh atmosfera.


Fungsi lain atmosfera ialah untuk memelihara Bumi kita daripada ancaman-ancaman dari angkasa lepas, seperti meteor. Atmosfera menghalang meteor daripada jatuh ke Bumi dan merosakkannya.


Atmosfera juga menghalang sinaran bahaya daripada angkasa. Terima kasih kepada atmosfera, hanya 7 peratus daripada sinaran bahaya ini sampai ke Bumi. Ini satu lagi topik untuk difikirkan: Sinaran yang mampu membantu hidupan di Bumi ialah sinaran yang diterima oleh Bumi. Kamu tentu masih ingat, jarak di antara Bumi dan matahari adalah tepat, tidak terlalu jauh dan tidak terlalu dekat.


Bolehkah atmosfera yang amat penting kepada kehidupan kita ini, terbentuk dengan sendirinya, secara kebetulan?

Satu perumpamaan yang membuktikan bahawa ia adalah mustahil, seperti berikut: Fikirkan tentang kek manis yang lazat. Apakah yang memberikan kek ini kelazatannya? Sudah tentu kerana ibu kamu telah mencampurkan ramuan dengan kadar yang tepat ke tepung, menguli adunan dengan baik dan kemudian membakarnya pada suhu yang tepat. Apakah kamu akan percaya seorang yang menyatakan, "Kamu tidak perlukan ibu kamu untuk kek-kek yang sedap ini; mereka dapat masak dengan sendirinya secara spontan?" Sudah tentu kamu akan mendapati ia tidak masuk akal. Dalam keadaan ini, bolehkah atmosfera di sekeliling kamu wujud secara spontan? Kita telah sedia maklum ia adalah mustahil.


Adakah kamu akan percaya jika kamu diberitahu bahawa kek lazat yang kamu sukai itu telah muncul secara spontan? Mengetahui ibu kamu yang membuat kek ini, kamu akan dapati pendapat ini tidak masuk akal. Begitu juga, alam ini tidak dapat wujud secara tidak sengaja, kerana ia mempunyai Pereka dan Pencipta.


Orang yang mengetahui perkara ini akan berkata seperti berikut apabila dia melihat ke langit, "Kalaulah Allah tidak menjadikan atmosfera, sudah tentu mustahil untuk hidup di Bumi". Atau, dia akan berfikir sendiri, "Allah Maha Kuasa, jika Tuhan kita tidak melindungi Bumi kita, meteor gergasi akan melanggar Bumi dan memusnahkannya sama sekali". Kamu boleh mempertimbangkan maklumat-maklumat yang telah kamu pelajari ini dengan cara yang sama. Ini juga satu cara untuk menunjukkan kesyukuran kamu kepada-Nya





No comments:

Post a Comment

PerJaLaNaN HiDuP iNi

PerJaLaNaN HiDuP iNi
Dalam jauh sebuah perjalanan,Allah amanahkan sebuah perjuangan,terimalah dengan kekuatan,kadang-kadang sakit yang mendatang,kadang-kadang teman tak sehaluan,namun itulah ujian mencari iman yang teguh,moga terus bersabar di jalanNya

Muhasabah buat semua

"Walau jauh kita pergi, ingatlah kita pernah di tarbiah dan TARBIAH tidak akan berhenti dan berakhir . Walau sesibuk manapun kita, jangan kita lupa tanggungjawab MUSLIM yang pasti akan ditanya kelak.Walau sebebas manapun kita, jangan kita lupa kita adalah MAKHLUK yang pastinya adalah milik Allah".-peringatan juga buat diriku.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails